Terima Lamaran Rio

20 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Cari keserasian dalam persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana pada 22 April bersama 20 selebriti popular

DALAM keadaan pasaran muzik yang tenat dek kelembapan ekonomi yang melanda seluruh negara hingga ada syarikat rakaman yang terpaksa ‘bungkus’ daripada terus beroperasi dan menjana pendapatan sektor itu, penyanyi berstatus janda, Azharina Azhar tegar untuk meneruskan hasrat mengeluarkan album mini yang diterbitkan syarikat miliknya.

Mengendalikan Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment, dia yang mesra dengan sapaan Nina kini dalam perkiraan untuk melancarkan single sulungnya berjudul Rawan di negara seberang. Bukan omong kosong kerana single itu bakal diedarkan menerusi sebuah syarikat bernama Lima Dua Belas.

Syarikat yang menguruskan beberapa nama besar seperti Rossa itu menjadi pilihan Nina selepas beberapa perbincangan sejak awal Mac lalu. Pertemuan serampang dua mata itu juga memberikan ruang baru kepada Nina apabila penyanyi Rio Febrian menyatakan keinginan untuk berduet.

Sebagai permulaan, Nina dan Rio akan berduet buat julung kalinya menerusi persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana yang menampilkan 20 selebriti lelaki popular pada 22 April ini.

“Nina sendiri tak menyangka yang Rio menyatakan hasrat untuk berduet ketika pertemuan kami di sana. Semuanya masih dalam perancangan dan Nina anggap itu semua bagaikan rezeki terpijak. Nina sedar keadaan pasaran memang mungkin membantutkan hasrat penyanyi untuk membikin album penuh. Pendekatan melahirkan album mini atau menerbitkan single antara pendekatan selamat yang diguna pakai kini.


Azharina dan Rio Febrian

“Tapi Nina sedar setiap usaha yang dilakukan berbalik kepada tuah dan rezeki. Lagipun selepas empat tahun tidak muncul dengan album, Nina berasakan 2009 sebagai permulaan yang baik untuk kembali melancarkan kerjaya nyanyian.

“Untuk projek istimewa di Indonesia itu, judul lagu dan perkataan Rawan akan ditukar kepada perkataan lain. Ini kerana tafsiran rawan di sana membawa maksud yang lain iaitu sebuah daerah yang tidak selamat dan merbahaya. Di Indonesia pun penjualan single lebih cenderung kerana penjualan album penuh tidak mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di Hotel Istana minggu lalu.

Nina lepas geram terhadap lelaki

SELEPAS meledak dengan lagu Rawan ciptaan komposer Hazami, Nina kini mempertaruhkan Rasa ciptaannya sendiri dibantu sepupunya, Keyneed. Selain itu, antara lagu yang bakal diisi di dalam albumnya seperti Hey Lelaki, Primadona, Sakarat dan lagu lama yang diberi nama baru dipetik daripada filem Do Re Mi berjudul Gitar Berbunyi. Istimewa juga sebagai hadiah kepada peminatnya, Nina menyelitkan enam lagu yang sama dalam versi karaoke.

Klip video dihasilkan sendiri menerusi syarikatnya dan ada beberapa lagu yang diilhamkan daripada pengalamannya sendiri, rakan dan pengamatannya dalam menjalani kehidupan. Katanya, ada lagu yang begitu dekat dengan dirinya dan boleh dikaitkan dengan orang lain.

“Lagu itu adalah karya yang dihasilkan berdasarkan apa yang dirasa. Ia sekadar lagu yang mungkin kebetulan dirasai orang lain, yang mungkin mengalami perkara yang sama. Lagu Hey Lelaki contohnya saya bawakan dalam versi hip hop dan berkemungkinan akan menampilkan kolaborasi dengan Mimi daripada One Nation Emcees. Lagu itu lebih kepada arah sinikal terhadap golongan lelaki dan lepas geram. Lagu Primadona pula Nina tujukan kepada semua insan yang bergelar lelaki yang pernah mendekati diri ini,” katanya.

Ungkapnya lagi, album mini itu didedikasikan kepada bekas suaminya seorang usahawan, Datuk Shukri Mohamed. Biarpun sudah berpisah sejak Februari tahun lalu, hubungan mereka masih erat seperti tiada apa yang terjadi. Malah, Nina memberitahu tahun lalu dia, bekas suami dan pekerjanya ada makan malam pada 26 Jun tahun lalu.

Mengakui kecewa dengan perpisahan yang berlaku, Nina sendiri tidak menyangka persahabatan yang terjalin selama sembilan tahun dan tiga tahun untuk ikatan perkahwinan berakhir tanpa diduga. Enggan terus dihimpit kenangan lalu, Nina menjelaskan belum bersedia mencari pengganti, malahan cukup bahagia melewati kehidupan bersendiri.

“Dia (Datuk) sendiri bertanya kenapa Nina tidak membikin album. Atas alasan itu, ia membakar semangat Nina untuk muncul setidak-tidaknya dengan album mini. Single Rawan pun sebenarnya membabitkan campur tangannya kerana ia adalah luahan hatinya kepada Nina mengenai apa yang sudah terjadi kepada kami. Apa juga takdir yang sudah tertulis, Nina tetap menghormatinya sebagai sahabat dan rakan kongsi.

“Dugaan hidup menjanda cukup berat dan hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan Nina berdepan dengan cacian, tohmahan dan kritikan orang luar. Bagaimanapun, ia tidak terus menjadi kudis, Nina harus memandang ke depan dan tetap bahagia biar apa juga orang kata. Nina pun tak selalu mengkelaskan diri sebagai janda dan menganggap diri masih solo.

“Kehidupan Nina kini cukup baik, apa lagi yang Nina boleh harapkan selain mendapat rahmat-Nya. Rezeki Nina juga semakin murah dan perniagaan yang dijalankan turut berkembang maju. Mungkin ada rahmat di sebalik apa yang Nina hadapi, ia ibarat azimat yang terus menguatkan Nina menghadapi masa mendatang. Kalau kenang perkara lalu pun tiada guna, buat sakit hati saja,” kata Nina yang belum terbuka pintu hatinya untuk mencari pengganti.

Petikan menarik:

Secara tulus Nina mengatakan yang dia serik untuk berkahwin lagi namun pilihan lelakinya nanti mesti tahu apa yang dituturkan dan cakap serupa apa yang dibikin. Selain itu, lelaki itu mesti jujur dan berpengetahuan agama yang baik.

Tekanan dilahirkan dalam keluarga bermasalah antara punca yang membuatkan penyanyi Elegi Sepi ini terus kuat menghadapi dugaan hidup. Katanya, keruntuhan rumah tangga yang dialami ibu dan bapanya antara sebab dia terus tegar melalui permasalahan yang tidak diundang.

Nina tidak dilahirkan dalam keluarga yang biasa. Usiknya, dia datang dalam keluarga yang cukup luar biasa. Sikap keras kepala dan bermulut lantang diakuinya diwarisi daripada ibu bapanya.

Kalau ada calon kekasih yang meminatinya, Nina mempelawa mana-mana lelaki itu untuk bertemu dulu bekas suaminya. Mungkin juga Nina mahu bekas suaminya merestui siapa pun kemungkinan pilihannya nanti.

Persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana adalah tahun keempat di mana Nina menerima undangan membuat persembahan. Beberapa tahun sebelum ini, Nina pernah menjayakan Minggu Setiausaha di Singapura sekitar 2004 dan pernah membuat persembahan bersama M Nasir di PWTC (2005).

Info Minggu Setiausaha Hotel Istana membabitkan 20 Selebriti Lelaki Popular

Tarikh: 22 April ini

Di mana: Ballroom Grand Mahkota

Masa: 11 pagi hingga 4 petang

Harga sekepala: RM350 dan RM290

Turut mendapat kerjasama Lord’s Tailor

Tiga selebriti Indonesia yang diundang untuk membuat persembahan ialah Rio Febrian, Irwansyah dan Delon (Indonesian Idol)

Turut menampilkan penyanyi seperti Faizal Tahir dan Imran Ajmain sebagai penyedap halwa telinga

Dikendalikan oleh hos popular, AC Mizal, Afdlin Shauki dan Ally Iskandar

Tiga bunga, Azharina, Jaclyn Victor dan juara Bintang Idola Berita Harian, Nazatul Farahin sama-sama membuat persembahan nanti. Azharina dan Jaclyn Victor masing-masing akan berduet dengan Rio Febrian, manakala, Nazatul diberi kesempatan berharga berduet dengan Faizal Tahir. Jaclyn Victor pernah berduet dengan Rio Febrian menerusi album Jaclyn sendiri berjudul Inilah Jac.

Aktor popular tanah air yang sudah mengesahkan kehadiran menyeri majlis ini ialah Samuel Rizal, Didi Riyandi, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli, Fizo Omar.

Satu kelainan pada tahun ini, dengan penampilan artis seberang, iat turut merubah menu makanan yang bakal dihidangkan nanti. Menunya berkonsepkan Makanan Padang Sumatera Barat.

Untuk tempahan tiket, boleh hubungi hotline talian 03-21419988 (sambungan 3667).

Laman sesawang: http://www.hotelistana.com.my

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: