"Linda Nak Terus Nikah"

21 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Tidak mahu bazir wang, masa untuk bertunang, akui hadiri kursus untuk dapatkan sijil kahwin

MEMANG benar andai ditafsir wanita tinggi lampai bernama Rozlindah Onn ini begitu serius untuk memikirkan soal masa depan terutamanya dalam berumah tangga. Malahan, semangat penyampai radio Sinar FM, bernama komersial Linda Onn ini untuk berkahwin sudah ada sejak tahun lalu.

Namun apakan daya, yang dirancang tak semestinya menjadi kerana pada akhirnya ia adalah ketentuan Tuhan apabila hubungan dengan seorang pelakon berakhir tanpa diduga. Umum tahu, pelakon itu adalah bekas teman tapi mesranya, Fahrin Ahmad.

Andaian yang kembali tepat mengatakan dia sedang melalui rona bahagia dalam kehidupan ialah sejak Januari lalu ketika menghadiri majlis resepsi Mawi dan Ekin di Hotel Palace of Golden Horses bersama jejaka mat saleh dikenali sebagai James Gibbs.

Tidak menafikan hubungan antaranya dengan Gibbs di peringkat yang boleh dilabelkan agak serius sejak beberapa bulan lalu. Kalau mahu disingkap, persahabatan mereka sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu. Dalam kenyataannya sebelum ini, usahawan berjaya ini juga pernah memuji dan senang dengan peribadi Gibbs.

Finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini sekali lagi mengundang kejutan apabila gambarnya ketika menghadiri kursus praperkahwinan di Setiawangsa, Kuala Lumpur sejak dua tiga minggu lalu dipaparkan di laman web premis terbabit. Langkah Linda ke situ, sekali lagi mengandaikan dia memang benar-benar sedang ke arah menamatkan zaman bujang.

“Tak Linda nafikan memang ada menghadiri kursus yang dihebahkan itu. Kursus dua hari selama 13 jam itu Linda hadiri bersama kawan. Pada mulanya, Linda sendiri agak terkejut kerana tiba-tiba pusat kursus kahwin itu menyiarkan nama dan gambar Linda di laman webnya tanpa kebenaran.

“Linda tak fikir pusat itu berniat ingin mensabotaj dan selepas mereka memohon maaf serta menarik kembali gambar Linda daripada terus tersiar di laman web, Linda lupakan saja perkara itu. Linda ke situ sebagai langkah awal Linda untuk kahwin dan setidak-tidaknya Linda sudah ada sijil,” katanya yang tidak menolak takdir andai jodoh kuat mengatakan dia akan berkahwin tahun ini.

Lalu, persoalan di sini siapa pula calon suami Linda Onn? Biarpun agak telus membicarakan soal peribadi, Linda masih belum mampu memberi jawapan pasti siapa lelaki yang bakal bertakhta di hatinya atau mungkin Gibbs yang menjadi pilihan Linda sebagai bakal suami. Semuanya masih menjadi tanda tanya, biar ada kemungkinan besar lelaki bukan Melayu dari Wales, United Kingdom itu yang mungkin sudah menawan hatinya.

“Selanjutnya Linda tak berani nak komen. Tunggu sajalah dan Linda juga seperti wanita lain yang ingin bahagia. Dengan siapa pun jodoh Linda nanti, janji dia baik dan pastinya Linda takkan berselindung perkara yang baik.

“Pada pandangan Linda, jika boleh Linda tak mahu membazir masa dan wang ringgit untuk bertunang. Kalau sudah menjadi apa yang dirancang dan jumpa yang sesuai, Linda nak terus nikah,” katanya yang melaram sakan rekaan Nazreen Idris pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April lalu.

Linda ditemui Hip baru-baru ini ketika meraikan rakan media di premis My Asam Pedas Shop, Dataran Pandan Prima berdekatan Tesco Ampang. Acara rutin yang sering dianjurkan membabitkan Linda dan rakan wartawan ini bukanlah perkara asing dan ia antara pengerat silaturahim dengan wartawan.

“Hubungan Linda dan rakan wartawan sangat baik. Kalau ada sekali pun artikel negatif membabitkan Linda di surat khabar dan majalah, Linda ambil daripada sudut positif. Tak dinafikan kalau ada membaca cerita kontroversi boleh berderau juga darah tapi Linda harus kembali relaks.

“Publisiti yang baik atau tidak tetap bernama publisiti. Lebih baik ada cerita daripada tiada langsung. Tak boleh dinafikan kekuatan mata pena rakan wartawan dalam membantu Linda terus membina nama, kerjaya dan perniagaan yang diceburi. Linda tak pernah ambil hati langsung dengan penulisan wartawan,” kata Linda sambil memberitahu menu menarik yang ada di restorannya itu seperti asam pedas, ikan bakar, air sirap bandung dan air asam boi,

Kata Linda, alang-alang hendak memperkenal serta merasmikan pembukaan premis yang dibuka sejak Ogos tahun lalu, Linda memberitahu dia terdetik mengadakan majlis apresiasi kepada rakan media di samping niat asalnya menghebahkan kewujudan restoran itu.

Selain menjemput rakan media menjamu selera, Linda turut mengadakan sesi karaoke membabitkan wartawan yang hadir. Linda juga sempat mengusik rakan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob yang sudah penuh kuota empat isteri sedangkan dia belum ada suami lagi.

Pelawak dan pelakon itu turut menyumbangkan suara menyanyikan dua buah lagu sebelum mengambil tempat menjadi pengkritik persembahan bersama Linda. Mereka mengadili pertandingan karaoke ala pengkritik Akademi Fantasia dan One In A Million. Malah di akhir majlis, Linda turut mendendangkan lagu I Will Survive dengan gaya tersendiri.

Turut sama membuat penampilan khas ialah penari cilik yang diberi nama Morning of Ghostdance dan acara cabutan bertuah. Wartawan Rap Harian Metro, Norhadiani Baharom diumum sebagai juara karaoke dan memenangi pen jenana Mont Blanc, manakala wartawan portal, Murai.com, Haswari Ali di tempat kedua memenangi beg sandang, Bonia.

Sementara itu, Hip sempat mendapatkan komen bapa kesayangan tauke restoran My Mom’s Chicken Rice itu mengenai hasrat dan keinginan anaknya untuk ke fasa perkahwinan. Kata Onn Chik, 76, dia dan isterinya hanya mengharapkan kebahagiaan terus kekal menjadi milik anaknya.

“Hal ini pasti terjawab, mungkin pada suatu hari nanti. Siapapun pilihan dia, pakcik berserah. Semuanya terpulang kepadanya kerana jodoh pertemuan di tangan-Nya dan setiap yang baik datang daripada-Nya. Kami merestui siapa pun pilihannya nanti.

“Pakcik tak nak komen lebih-lebih pula kerana salah cakap siapa yang malu. Yang mana baik buatnya, Insya-Allah baiklah kepada kami sekeluarga. Pakcik berdoa dia akan ditemukan dengan jodoh yang baik,” kata Onn.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: