Cukup Berbaloi

22 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

JULFEKAR begitu tekun memberi arahan kepada penyanyi BIBH sambil dibantu jurutera rakaman, Jay Wow.

Finalis Bintang Idola Berita Harian yang dicungkil ketika jelajah promosi ABPBH bakal keluarkan single tidak lama lagi

DULU mereka hanya insan biasa yang tak pernah mengenal erti jemu mengasah bakat seni yang ada, yang tak gentar bersaing mempertaruhkan alunan vokal kurniaan Ilahi dalam usaha merebut tempat dan gelaran di dalam sesebuah pertandingan nyanyian.

Hakikatnya, finalis Bintang Idola Berita Harian (BIBH) ini pernah mencuba nasib menyertai pelbagai program nyanyian termasuklah program realiti popular seperti Akademi Fantasia, Gang Starz, Bintang RTM dan One In A Million.

Jauh sekali berputus asa dan pantang berundur sebelum mencipta kejayaan, dunia nyanyian kini semakin sebati dalam hidup mereka. Kini, impian mereka bukan lagi dongeng atau hanya omong kosong semata-mata kerana penat lelah selama ini memberi hasil yang cukup berbaloi .

Bagai sebuah rahmat dan rezeki terpijak, platform BIBH menjadi sandaran bermakna hingga mampu memberi keajaiban sekelip mata. Sedar atau tidak, lapan finalis BIBH termasuk juaranya, Nazatul Farahin Mohd Hussin kini dalam misi merentas onak duri bergelar artis.

Berkat menyertai BIBH, sokongan Berita Harian dan kesungguhan Millenium Art Sdn Bhd (MASB) milik komposer Julfekar, mereka sudah diberi single setiap seorang. Begitulah kalau sudah rezeki tak akan ke mana.

Kata Julfekar, lagu yang diberikan kepada mereka baru saja dihasilkan dalam tempoh dua minggu lalu dibantu beberapa penulis lirik.

Baginya artis BIBH berbakat besar, malah tidak keterlaluan ada yang lebih hebat berbanding bintang program realiti lain. Mereka kini adalah artis naungan MASB terdiri daripada bakat semuda 15 tahun hinggalah ke usia 27 tahun dan angka itu dilihat masih sesuai untuk menyahut cabaran bergelar penyanyi arus perdana.

“Album kompilasi ini dijangka memuatkan lapan buah lagu dan buat peringkat awal (praproduksi), syarikat saya laburkan wang untuk mereka membiasakan dengan lagu yang diberi seperti apa yang dilakukan hari ini (ketika fotografi ini dijalankan).

“Insya-Allah selepas ABPBH ini proses rakaman menyeluruh akan diadakan dan album ini besar kemungkinan berada di pasaran sekitar Mei depan. Setiap lagu yang diberi lapan finalis berdasarkan kesesuaian karakter, perwatakan dan bentuk vokal masing-masing,” kata Julfekar ketika ditemui di Studio One Zero One, Petaling Jaya awal minggu ini.


Gambar (atas); IRWAN menerima sokongan isteri dan anak-anak. (bawah); Nurlida Ab Rahman.

Ketika fotografi dan rakaman single, cuma Syaifaana Mohamed Subri saja yang tidak hadir kerana masalah peribadi. Lalu, kesempatan yang diberikan kepada Nazatul, Nurlida Ab Raman, Muhamad Zaki Zainal, Muhammad Irwan Othman dan Mohamad Syahrul dimanfaat sebaik mungkin.

Tak ketinggalan hadir ialah naib juara BIBH, Nurul Syazwanie Mohd Basri dan Faralyna Mohamad, pemenang ketiga. Turut sama memberi sokongan ialah ahli keluarga mereka yang begitu teruja melihat si anak buat julung kali merakamkan lagu di studio dibantu jurutera rakaman, Jay Wow. Artis baru Julfekar, Heela pun turut hadir memberi sokongan.

Bagi Muhammad Irwan Othman, kehadiran keluarga mentua, isteri tercinta, Nor Ain Johari dan dua anak tersayang, Muhammad Danish Irfan, 3 dan Muhammad Danish Iqram, 3 bulan memberi semangat berganda kepadanya. Memilih untuk berkahwin di usia 20 tahun, bapa muda berusia 24 tahun ini tidak melihat status dirinya sebagai penghalang.

“Saya yakin peminat dan masyarakat sekarang lebih terbuka dan tidak menjadikan status perkahwinan sebagai alasan untuk tidak meminati golongan selebriti. Idola saya, Faizal Tahir membuktikan apa yang saya katakan tadi dan boleh berjaya mencipta fenomena.

“Tak mustahil, saya boleh mencapai tahap seperti diiringi usaha, nasib dan rezeki. Saya harus berterima kasih kepada Berita Harian dan Julfekar kerana membantu saya merealisasikan impian selama ini,” kata Irwan yang menerima lagu berjudul Hanya Sahabat berentak pop rock sebagai single pertamanya.

Rasa bagaikan bermimpi

BINTANG Idola Berita Harian, Nazatul masih seperti berada di alam mimpi apabila menerima ganjaran cukup lumayan kerana selain merakamkan single genre pop berjudul Suara Rindu, gadis berusia 20 tahun dan berasal dari Sungai Petani itu berpeluang untuk membuat persembahan di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April lalu.

“Memang saya tak pernah mimpi semua ini. Bukan saja dapat membuat persembahan pada malam kemuncak anugerah berprestij Berita Harian tetapi berpeluang menggayakan rekaan pereka tersohor Calvin Thoo. Saya juga bergandingan dengan dua penyampai radio Hot FM, Kieran dan AG sebagai penyampai trofi,” katanya yang beruntung mendapat tunjuk ajar Julfekar.

Mengenai hala tujunya selepas ini, kata Nazatul perlu berdepan dengan pelbagai pancaroba dunia seni. Selain mahu mengembangkan bakat yang ada, Nazatul berharap kehadirannya dapat memeriahkan liga seni.

“Banyak persaingan di luar sana dan tersilap langkah saya tahu ia akan menjerat diri. Banyak benda yang perlu saya pelajari dan pelihara termasuklah soal penampilan dan imej. Begitu juga cara perhubungan awam dan berdepan dengan pihak media serta orang ramai. Mungkin juga saya perlu mempertimbangkan cadangan untuk memakai pendakap gigi,” katanya yang sering dipanggil Fara di kampung halamannya.

Manakala juara BIBH Zon Utara, Nurlida Ab Raman, 27, tidak akan menjadi alasan bertudung untuk menoktahkan perjuangannya sebagai penyanyi. Baru saja menjawat jawatan tetap sebagai Pembantu Tadbir Rendah Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang, anak kelahiran Taman Tun Sardon ini diserahkan lagu berjudul Jauh Di Mata berentak rancak bersesuaian dengan tona vokal serak-serak basahnya.

“Saya mula bertudung sejak tahun lalu dan apa yang dilakukan atas tuntutan agama. Bertudung bukan satu masalah kerana ia bertitik tolak kepada niat saya sebenarnya untuk terus pergi jauh sebagai penyanyi. Begitu juga dengan usia, ia hanyalah nombor dan lihat saja Jaclyn Victor membikin album pun di usia saya.

“Rozita Che Wan dikenali pun di usia yang agak lanjut, namun rezeki yang tertulis atas kehendak-Nya. Mungkin juga rezeki saya datang ketika ini dan saya tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Peluang ini mungkin datang sekali dalam seumur hidup. Saya harap dapat melangkah penuh bergaya memberi variasi kepada industri seni negara kita,” katanya yang pernah mendapat tempat ketiga Bintang RTM 2005 dan Naib Juara Bintang Klasik RTM 2006.

Nurul Syazwanie menerima single berjudul Tak Terkata, Faralyna (Mama Marah), Syahrul (Peri Bintang), Zaki (Tak Perlu Dijelaskan) dan Syaifaana (Selamat Jalan). Pastinya kehadiran single masing-masing itu membuatkan mereka tersenyum sepanjang masa dan membayangkan pacuan kerjaya yang harapnya akan memberi sinar.

Moga langkah yang disusun indah itu akan memberi impak kepada persada seni yang begitu dahagakan fenomena baru. Tidak mahu hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam, harapnya kehadiran bakat baru ini akan terus menjadi realiti dan tidak sekadar angan kosong.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: