Mengeluh Tak Datang Awal

22 Apr

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


MINGGU Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 yang berlangsung di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru di sini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada lapisan masyarakat yang berminat untuk meneroka lebih banyak perkara menarik di 206 gerai pameran disediakan.

Jumlah pengunjung turut berganda berbanding hari sebelumnya dengan kehadiran Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustafa dan dua anak Johor yang menempa nama di bidang hiburan iaitu Asmawi Ani (Mawi) dan Mohd Faizal Maas (Ajai).

Lebih menarik, pemandangan di sekitar tapak pameran dan kaunter pelaburan tidak hanya menampakkan wajah golongan dewasa dan berumur saja, tetapi turut dipenuhi pelajar sekolah berpakaian biru putih serta berseluar hijau dengan kemeja kemas.

Ini menunjukkan jumlah orang awam ke tapak MSAM semakin meningkat dan berkembang dari satu lapisan ke lapisan masyarakat yang lain.

 

 

Jika sebelum ini petugas di setiap gerai MSAM tidak menang tangan menerima sambutan luar jangkaan pengunjung, situasi semalam pula bertambah rancak dengan pelbagai aktiviti dan lawatan ke ruang pameran.

Ramai pengunjung bukan saja memuji kelengkapan visual dan penerangan telus daripada pegawai serta kakitangan bertugas, malah ada yang mengeluh berikutan tidak datang awal ke gerai MSAM sejak ia mula dibuka Sabtu lalu.

Secara amnya, seminar khas kewangan dan MSAM adalah antara program pendidikan bersepadu yang dijayakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi manfaat masyarakat dan pelabur.

Matlamat utamanya ialah pelabur dan masyarakat keseluruhan akan lebih faham mengenai aspek pelaburan dan perancangan kewangan selain lebih peka dengan konsep pelaburan sebenar.

Aktiviti semalam lebih tertumpu kepada agenda bersama Dr Sheikh Muszaphar yang berkongsi pengalaman manis sebagai angkasawan pertama negara.

Kebanyakan pengunjung selesa melepaskan penat di Sudut Pelancaran Produk sambil mendengar celoteh Dr Sheikh Muszaphar serta mengikuti program Potret Kejayaan Anak Johor yang menampilkan Mawi dan Ajai selepas berkunjung ke ruang tapak pameran, kaunter dan gerai.

Golongan belia pula lebih tertumpu kepada ceramah mengenai kerjaya sambil bersantai dengan mengikuti permainan menguji minda yang disediakan di Studio Kerjaya.

Bagi pengunjung yang ingin merebut hadiah lumayan berbentuk motosikal, komputer riba dan basikal, mereka tidak melepaskan peluang meneliti maklumat yang disediakan di sepanjang ruang pameran sambil mencari jawapan bagi soalan kuiz yang disediakan penganjur.

Pengunjung, Abd Rahman Mustapha, 61, berkata daya tarikan MSAM cukup bagus sehingga mampu menarik kunjungan ramai masyarakat sekitar.

“Saya kagum dengan sambutan yang diberikan masyarakat sekitar apalagi remaja yang dilihat semakin kurang berminat mengikuti pameran sebegini.

“Ini masa paling sesuai untuk generasi muda mendalami pelbagai ilmu dan asas pelaburan untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Faridah Dalail, 30, berkata MSAM pentas terbaik untuk warga negara ini menambah pengetahuan dalam bidang pelaburan.

“Jika diperhatikan, banyak perkara berkaitan pelaburan yang nampak mudah, tetapi kita tidak faham dan sering membuat tanggapan salah.

“Kunjungan ke MSAM pasti banyak membantu masyarakat khususnya untuk golongan muda merancang masa depan keluarga dan pendidikan anak-anak mereka,” katanya.

Menurut Faridah, pendekatan kuiz juga bagus berikutan ia mampu menarik minat pengunjung untuk membaca dan mengetahui latar belakang serta asas pelaburan.

“Secara tidak langsung, pengunjung yang menyertai kuiz berkenaan menambah pengetahuan mereka mengenai pelaburan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: