Pengalaman Luar Biasa Konsert Rohani

22 Apr

wanasr@hmerto.com.my

Rap
PENONTON yang hadir menyaksikan Konsert Malam Seribu Karya bukan saja dihiburkan menerusi beberapa lagu popular, malah melodi indah berunsur rohani yang memberi kesedaran.

Dari permulaan sehingga penghujung konsert bertemakan Rock Rohani diterapkan dengan penuh penghayatan dan mesej tersendiri berunsur dakwah, kemasyarakatan dan cinta.

Biarpun tanpa penonton yang ramai, konsert yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu lalu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding ribuan penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pertembungan Selangor menentang Perlis bagi saingan Piala FA di stadium bersebelahan.

Ia juga berbeza daripada konsert sebelum ini yang lebih tertumpu kepada artis yang menjayakan persembahan mahupun mensasarkan keuntungan. Penampilan barisan artis terkenal tanah air seperti Ramli Sarip, Amy Search selain Raja Pop, Jamal Abdillah dan Mawi cukup dinantikan peminat.

Selain mempertaruhkan nama besar itu, konsert dianjurkan Karya Hadani Sdn Bhd (KHSB) itu turut menampilkan Nazrey Johany dan artis KHSB antaranya Yantzen, Rahmat Mega, Sham Barongan, Razak Ahmad, Ezam Akar dan Kumpulan Manik.

Tidak terkecuali menjayakan persembahan konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu ialah penampilan istimewa pengasas KHSB, Harun Mat Saat atau lebih dikenali Ustaz Harun.

Razak menyifatkan penganjuran konsert berkenaan ternyata berbeza daripada konsert sedia ada kerana menerapkan unsur dakwah dalam hiburan.

“Saya berpuas hati dengan persembahan ini selepas melakukan persiapan sejak beberapa bulan lalu. Saya gugup apabila ketika latihan menyampaikan lagu Renung, pasti ada lirik akhir yang kurang lancar.

“Begitupun, ia berjaya dilaksanakan dengan baik ketika kemuncak konsert. Mungkin juga bantuan daripada sistem bunyi yang memudahkan intonasi ketika menyanyi.

“Saya percaya dengan penganjuran konsert ini, lebih ramai yang akan mengetahui mengenai konsep Rock Rohani. Tidak mustahil jika satu hari nanti konsep ini dapat diterima semua golongan masyarakat,” kata Razak yang menyampaikan lagu Renung, Pesanan Untuk Ibu dan Kiamat.

 

 

Rahmat yang pernah popular bersama kumpulan Mega menerusi lagu Bayangan Gurauan mengakui seronok dapat menjayakan konsert berkenaan. Sebagai artis KHSB dia terharu dan gembira kerana diberi peluang menjayakan konsert berkenaan. Rahmat yang cukup popular dengan lagu berentak rock menyampaikan Laksamana dan Warkah Untuk Isteri.

Kemunculan rocker terkenal, Amy Search dari sudut tempat duduk penonton menerusi lagu Tiada Lagi ternyata mencuri perhatian. Amy turut menyampaikan lagu Isi dan Kulit. Penampilan Jamal dengan aksi santai menyanyikan lagu popularnya, Ghazal Untuk Rabiah.

Kemunculan Mawi menyampaikan lagu Kian turut mendapat sorakan gemuruh daripada penonton. Gelagat pengacara, Isma Halil Hamzah dan Aidiel Abdul Ghafar menerusi ulasan berkonsep rohani turut membawa maksud tersendiri.

Tidak ketinggalan, persembahan bertenaga Ramli menerusi lagu Pernyataan. Sementara Nazrey menghiburkan dengan lagu Wahai Kaum Muslimin dan Antara Dua Cinta.

Turut menjayakan persembahan, kumpulan Kulit dianggotai Mahdi (vokalis), Beb (dram), Fiqri (bass) dan Sham (gitar). Paling istimewa penampilan khas Ustaz Harun di samping beberapa artis jemputan yang menyampaikan lagu Kaulah Pujaan, Insaf serta Sedih Dalam Kebahagiaan sebagai penutup persembahan.

Persembahan di bawah pimpinan pengarah muzik, Shaharil Shamsuddin turut diiringi Stone sebagai pemain gitar utama di samping khidmat dua pemain dram, Zul dan Ujang, Habib (perkusi), Mohar (seruling) serta Uda (accordian).

Pengarah Urusan KHSB merangkap penerbit konsert, Raja Iskandar Raja Ibrahim memaklumkan merasai pengalaman yang luar biasa daripada persembahan konsert sebelumnya.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan konsert yang berskala kecil atau sebahagian daripada agenda promosi bagi album Rock Rohani I dan II di Kota Bharu, Kelantan dan Keningau, Sabah tahun lalu. Konsert ini ternyata lebih besar dan membabitkan banyak pihak termasuk kru dan artis.

“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan sambutan diberikan. Malah kami mendapat maklum balas baik daripada peminat sehingga dimaklumkan ada yang menyentuh perasaan ketika mengikutinya.

“Menerusi konsert ini juga ia sebagai strategi kami mempromosi dan memperkenalkan KHSB sebagai platform untuk orang ramai khususnya generasi muda mempelajari ataupun mengetahui mengenai agama dan kesenian,” katanya.

Raja Iskandar atau lebih dikenali dengan gelaran Is Wow turut memaklumkan konsert sama bakal di langsung di beberapa daerah seperti Utara atau Selatan jika segalanya berjalan lancar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: