Jual Bohsia!

23 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Filem kedua sentuhan Syamsul Yusof dan lakonan Nabila Huda jengah pawagam mulai hari ini, nasihat remaja jangan pilih jalan hitam

LAIN benar karakter anak bujang Datuk Yusof Haslam, Syamsul ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini. Dia lebih ceria, suka mengusik dan banyak berceloteh. Jauh beza dari karakternya dulu, berwajah angkuh dan tidak begitu peramah.

Bukan seorang dua yang perasan perubahan sutradara muda berusia 25 tahun ini. Mereka yang pernah bertemu dengannya sebelum ini rata-rata mengakui perubahan sikap Syamsul selepas putus cinta dengan pelakon cantik Diana Danielle sejak penghujung tahun lalu.

Kami ramai-ramai mengusik jejaka ini, jika cinta mengubahnya menjadi seorang yang serius dan sukar didekati, lebih baik dia hidup sendirian supaya fikirannya tidak kusut gara-gara memikirkan soal cinta.

Teman wanita Syamsul dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam terbitan Skop Productions dan Grand Brilliance Sdn Bhd, Nabila Huda juga mengakui perubahan sikap Syamsul.

“Ketika kami sama-sama menjalani penggambaran Bohsia tahun lalu, Syamsul tidak banyak cakap seperti sekarang. Dulu dia memerlukan sedikit masa untuk rapat dengan orang tetapi kini sikapnya memang berbeza,” kata Nabila yang turut hadir menjayakan sesi fotografi bagi mempromosikan filem Bohsia yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 23 April ini.


Syamsul Yusof (kiri) dan Nabila Huda.

Syamsul pula bagaikan kurang setuju dengan kenyataan kami, berkali-kali dia memberitahu kami sikapnya dulu mahupun sekarang sama saja. Tidak ada perbezaan ketika bercinta mahupun sesudah putus.

Kami membuat andaian, barangkali ketika bercinta, banyak perkara yang difikirkan dan digaduhkan sehingga mengganggu emosinya termasuklah hal berkaitan kerja. Tetapi apabila sendirian, mungkin tidak ada apa perlu dikusutkan jejaka ini yang mungkin menjadi salah satu faktor kenapa dia lebih ceria sekarang.

“Bila bercinta saya mengaku memang seorang yang setia. Cinta saya letakkan di tangga pertama dalam hati kemudian diikuti dengan kerja. Apabila menyayangi seseorang, saya akan menyayanginya sepenuh hati saya. Jika sudah berkeluarga kelak, keluarga akan menjadi keutamaan saya,” kata pelakon dan juga pengarah filem Bohsia itu.

Bohsia adalah karya kedua Syamsul selepas Evolusi KL Drift yang mendapat sambutan hangat penonton. Masih lagi berkaitan dengan permotoran, Syamsul berkata ia tidak ada kena mengena dengan minatnya sebaliknya idea itu lahir kerana melihat isu bohsia yang tidak pernah selesai sehingga kini.

Lagipun katanya, belum pernah mana-mana penerbit filem mengupas isu mengenai gejala yang merosakkan akhlak anak muda itu dengan mendalam. Bagi memastikan pengisiannya jitu, Syamsul serius membuat kajian dengan berkunjung ke lokasi yang sering dikunjungi mat rempit dan bohsia seperti di Dataran Merdeka dengan bergaul bersama mereka.

Ramai yang sudah pun menonton filem arahan Syamsul itu memuji hasil kerjanya, pengisiannya teliti dan menarik sehingga satu saat pun penonton tidak akan berasa bosan, kecuali penggunaan bahasa yang pada sesetengah penonton kedengaran agak kasar.

“Saya mengaku bahasa yang digunakan agak kasar, tetapi itu hanyalah 70 peratus daripada kehidupan sebenar mat rempit dan bohsia. Bahasa mereka sebenarnya lebih kasar daripada apa yang ditonjolkan dalam filem. Saya tidak berani nak tonjolkan semua kerana bahasa mereka terlalu kotor.

“Walaupun isu bohsia ini sebenarnya isu lama, namun saya rasa bertanggungjawab untuk diketengahkan supaya dapat dijadikan pengajaran kepada penonton. Saya juga berterima kasih kepada pelakon kerana mereka turut menyumbang kepada filem ini dengan melakukan kajian mendalam terhadap watak masing-masing,” katanya.

Biarpun pertama kali bekerja dan bergandingan dengan Syamsul, Nabila Huda Suhaimi, anak dara kepada penyanyi Amy Search ini tidak mempunyai sebarang masalah bekerja di bawah pengarah muda itu.

Katanya, dia juga tidak menghadapi masalah menghayati watak bohsia bernama Tasya walaupun karakter yang dibawakan tercetus hasil imaginasi semata-mata. Bagaimanapun kata Nabila, dia kini mahu selektif soal watak, tidak mahu dilabel sebagai pelakon stereotaip.

“Watak yang saya mahukan sekarang lebih kepada watak yang positif. Jika asyik membawakan watak yang sama, nanti bimbang pula dilabel sebagai pelakon stereotaip. Jiwa saya sekarang lebih cenderung kepada drama berat, saya merasa lebih puas membawakan watak sedemikian,” katanya yang bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami kerjayanya sebagai pelakon.

Ujar Nabila, suaminya tidak pernah campur tangan dalam kerjayanya. Biarpun sudah berumah tangga, Nabila tidak merasa terkongkong untuk mengembangkan lagi kerjayanya.

“Saya seorang pelakon, sekalipun sudah memegang status isteri saya amat mementingkan kerjaya. Bagi saya apabila membataskan watak, saya bukanlah seorang pelakon yang mencabar. Nasib baik suami memahami dan tidak pernah campur tangan dalam soal memilih watak,” katanya yang berharap penonton tidak akan membesarkan adegan berkemban di dalam filem Bohsia kerana ia hanyalah teknik kamera dan lakonan semata-mata.

Bohsia mengisahkan Amy dan Tasya dua remaja yang menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman. Tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga yang sempurna, mereka memilih jalan hitam untuk menjalani hidup masing-masing.

Syamsul pindah rumah, Nabila tinggalkan suami

SEJAK beberapa bulan yang lalu, Syamsul meninggalkan banglo mewah milik keluarga kerana ingin hidup berdikari. Katanya dia melakukan demikian setelah mendapat kebenaran keluarga, bukannya suka-suka meninggalkan rumah tanpa keizinan.

“Saya tahu keluarga berat untuk membenarkan saya tinggal sendiri. Tetapi saya sudah terlebih dulu minta maaf pada papa. Saya cuma mahu rasa hidup berdikari.

“Apabila tidak ada sebarang kerja, saya suka tulis skrip. Di rumah saya berasa terkurung, jadi saya perlu banyak berjalan untuk mendapatkan idea. Disebabkan itu saya perlu tinggal sendiri supaya ada sedikit kebebasan.

“Walaupun sudah tidak lagi tinggal dengan keluarga, saya tetap pulang ke rumah menjenguk keluarga. Bukanlah saya ambil kesempatan dan tidak meninjau mereka langsung,” katanya.

Rezeki yang mencurah sejak berumah tangga menyebabkan waktu Nabila untuk bersama dengan suami terbatas. Sesibuk mana sekalipun, seboleh mungkin Nabila cuba meluangkan masa bersama suami tercinta. Katanya, walau pulang selewat mana sekalipun, dia tetap mempunyai waktu untuk bergelak tawa dengan suami.

“Jika penggambaran tamat awal, saya akan segera pulang ke rumah untuk bersama suami. Jadual saya memang padat tetapi setiap hari saya berpeluang habiskan masa dengan suami.

“Sementara rezeki tengah murah, saya kenalah terima tawaran yang datang. Lagipun tawaran tidak selalu datang seperti ini,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: