'Macam Artis Ditipu Penganjur'

23 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Amylea sangat terkilan tidak berpeluang teruskan persembahan bertemakan ‘In Concert’

AMYLEA AZIZAN mengaku dia berasa cukup terkilan apabila dirinya diumumkan peserta yang tersingkir daripada persaingan pertandingan One In A Million Jumaat lalu. Bukan kecewa kerana gagal merebut RM1 juta yang ditawarkan, sebaliknya dia terkilan setelah tidak berpeluang mengadakan persembahan pada minggu yang bertemakan In Concert.

Katanya, dia amat menunggu detik muncul di pentas pada minggu terbabit, berikutan segala keringat sudah dicurahkan untuk menonjolkan kelainan. Pada minggu itu, semua peserta diminta mempersembahkan nyanyian yang kononnya dipetik daripada sebuah konsert bakal mereka pentaskan pada masa depan.

Menurut Amylea, dia berasakan seperti ‘artis yang ditipu penganjur persembahan’ apabila tidak berpeluang menunjukkan segala apa yang dirancang pada minggu berkenaan selepas muncul peserta kelapan disingkirkan daripada program terbabit.

“Pada malam ini (Jumaat lalu), saya memang ingin menonjolkan sesuatu yang rasanya belum pernah dipersembahkan artis Malaysia kepada peminat dalam konsert mereka. Hanya Tuhan yang tahu, betapa banyak tenaga saya curahkan untuk menjayakannya. Sebab itu, saya amat terkilan apabila diumumkan terkeluar daripada saingan,” katanya ketika ditemui selepas siaran langsung program itu di Sri Pentas 2, Shah Alam.

Ditanya apakah dia tidak terfikir langsung akan tersingkir pada minggu itu, Amylea memberitahu, pada setiap minggu sebenarnya dia berasakan sedemikian.

“Namun, saya tidak menjangkakan impaknya begitu hebat seperti yang rasakan ketika ini,” katanya yang merancang persembahan berjudul Growing Into My Music, dengan medley lagu Yesterday Once More daripada Carpenters, Fallin’ (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

Pada satu pertanyaan lain peserta berusia 22 tahun itu berkata, jauh di sudut hati tentunya dia turut menyimpan impian bergelar juara, seterusnya menggunakan wang kemenangan untuk menampung pengajian ke institusi pengajian muzik terkemuka seperti Kolej Muzik Berklee.

“Wang terbabit juga boleh saya kongsi bersama insan seni yang berbakat besar dalam penghasilan album, serta sama-sama berjuang memartabatkan muzik tempatan untuk bersaing dengan produk negara luar seperti Indonesia. Saya teringin sekali berkongsi kejayaan itu bersama pemuzik muda lain yang mempunyai keupayaan tinggi. Kejayaan pada OIAM bukanlah untuk mengejar glamor mahupun populariti,” ujar wanita muda ini.

Justeru, dia agak sedih apabila wawasannya itu tidak tercapai setelah gagal meneruskan saingan dengan hanya dua minggu saja lagi pertandingan berbaki.

Meskipun begitu, Amylea tidak pulang dengan tangan kosong. Setelah banyak berkorban – berjauhan dengan keluarga dan rakan – dia banyak menimpa pengetahuan dan pengalaman baru sepanjang kira-kira lima bulan pembabitannya dalam pertandingan berkenaan.

“Apabila berada dalam pertandingan ini, baru saya dapat rasakan betapa besarnya keghairahan saya terhadap muzik. Pentas itu bagaikan milik kita. Ia satu pengalaman yang sukar sekali hendak digambarkan dengan kata-kata,” katanya yang sempat menciptakan lagu Aku & Mimpi, lagu tema siri Merah dan Puteh sebelum bersaing dalam OIAM3.

Ketika ditanya peserta ramalannya untuk bergelar juara, Amylea tanpa berselindung memilih Tomok untuk mengungguli pertandingan itu, walaupun cabaran hebat diberikan Esther, Aweera dan Nine, tiga lagi peserta yang turut memboloskan diri ke peringkat separuh akhir.

Katanya, dia sudah lama mengenali Tomok dan cukup menyedari betapa peserta berkenaan sentiasa bekerja keras untuk menampilkan persembahan berbeza setiap kali muncul di pentas.

Tomok tak pernah rasa selesa

WALAUPUN sering mendapat pujian juri serta peminat sendiri memberikan sokongan padu kepadanya sepanjang penyertaan dalam OIAM3, Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 24, tidak pernah berasakan dirinya berada dalam keadaan selesa berbanding peserta lain yang turut bertanding.

Sememangnya Tomok tidak pernah berada dalam kelompok tiga peserta paling bawah, namun dia enggan berpuas hati dengan keadaan itu semata-mata. Baginya, apa saja boleh berlaku pada minggu berikutnya.

“Hakikatnya, saya sendiri tidak pernah berasa akan kekal selama ini dalam persaingan OIAM3. Apa-apa pun, yang penting saya perlu memberikan persembahan terbaik untuk memastikan kedudukan saya dalam pertandingan ini selamat. Hakikatnya juga, saya memang berasa takut pada setiap minggu kami perlu berdepan dengan keputusan penyingkiran,” katanya.

Jelas Tomok lagi, dia turut berasa goyah apabila habuan berbentuk imuniti atau kekebalan yang diberikan juri kepada peserta dengan persembahan terbaik ditarik balik sejak beberapa minggu lalu.

“Dengan ketiadaan imuniti, setiap peserta harus bekerja lebih keras untuk menghiburkan juri dan semua penonton, di studio mahupun di rumah. Hanya dengan cara itu mereka mungkin selamat,” kata peserta berasal dari Kuala Lumpur ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: