Persembahan Lima Bintang

24 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

USTAZ Harun (lima dari kiri) turut menyanyi bersama artis yang menjayakan konsert Rock Rohani.

Sambutan dingin khalayak terhadap Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani bukan satu kegagalan

SEKALIPUN mempertaruhkan nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Yantzen, Rahmat (Mega) dan ramai lagi, usaha penganjur Karya Hadani dalam mengangkat lagu kerohanian melalui Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani tidak dianggap gagal walaupun kurang mendapat sambutan penonton.

Memang sayang apabila persembahan yang membariskan penyanyi terbaik tanah air tidak mendapat sambutan penonton. Ini terbukti apabila jumlah penonton yang hadir bagaikan boleh dikira dengan jari. Ia mungkin juga gara-gara promosi atau publisiti yang kurang meluas bagi menguar-uarkan konsert itu.

Biarpun kurang mendapat sambutan, namun konsert yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, malam Sabtu lalu mempertaruhkan 32 lagu rock ketuhanan boleh dianggap sebagai persembahan lima bintang yang mempunyai kelasnya tersendiri.

Persembahan yang sepatutnya dimulakan jam 9 malam terpaksa ditangguhkan seketika bagi menunggu ruang bawah stadium dipenuhi penonton apabila nama besar yang membuat persembahan gagal menarik penonton hadir.

Konsert yang dimulakan dengan doa bersama iringan muzik, pencahayaan dan visual di kedua-dua belah pentas cukup meremangkan bulu roma penonton. Sebelum memulakan persembahan, beduk yang muncul dari bawah pentas dipalu Presiden Karya Hadani, Raja Iskandar Raja Ibrahim sebagai gimik pelancaran konsert. Ia juga bagaikan memukul beduk sebelum memulakan solat di zaman dulu kala.


AMY Search muncul di tengah-tengah penonton dengan gaya menarik.

Permainan laser yang memenuhi ruang dewan yang mampu memuatkan 7,000 penonton tetapi hanya dihadiri kurang daripada 1,000 penonton dimulakan dengan lagu Zat Ilahi yang dinyanyikan oleh Yantzen dan Azam (Akar). Permulaan lagu yang bersemangat dimainkan oleh 16 pemuzik termasuk tiga penyanyi latar menaikkan semangat penonton untuk lebih mencintai Islam sedalam-dalamnya.

Konsert yang diacarakan oleh Aidil Abd Ghafar dan Isma Halil Hamzah sentiasa mengingati penonton untuk menghayati setiap bait indah karya ketuhanan yang disampaikan bukan muzik rock yang dialunkan.

Persembahan diteruskan oleh Nazrey dengan lagu Wahai Kaum Muslimin, Razak Ahmad (Renung), Ramli Sarip (Pernyataan), Rahmat (Laksamana) dan Azam (Semangat).

Sesi kedua persembahan dimulakan dengan Mawi menerusi lagu Kian yang mengejutkan peminat menerusi penampilan rambut barunya. Mawi turut membawakan lagu terbarunya Allah Habeebi. Karya Hadani juga tidak ketinggalan mengundang kumpulan di bawah naungannya, Manik membuat persembahan menerusi tiga lagu.


JAMAL muncul menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Berkorban Apa Saja.

Sekali lagi dewan menerima tepukan gemuruh apabila Jamal Abdillah muncul dengan lagu Ghazal Untuk Rabiah yang cukup menyentuh perasaan. Penonton turut dikejutkan dengan kemunculan Amy Search di tengah-tengah penonton menerusi lagu Tiada Lagi.

Saat kemunculan Amy, penonton mula tidak senang duduk apabila saat itulah peluang bagi mereka untuk merakam gambar kenangan bersama Amy.

Malam itu penonton yang hadir disajikan dengan santapan rohani apabila kebanyakan lagu yang dinyanyikan mengajak kita mendekati agama melalui hiburan yang disampaikan.

Rata-rata lagu yang dinyanyikan malam itu adalah hasil karya pengasas Karya Hadani iaitu Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai Ustaz Harun.

Tema warna putih yang menggambarkan kesucian, setiap penyanyi dan pemuzik lebih menyerlahkan bahang semangat kepada penonton untuk terus berada di kerusi sehingga konsert Rock Rohani menutup tirai kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Inisiatif Karya Hadani yang mengajak penonton berjihad menerusi medium hiburan tetap akan diteruskan biarpun gagal menarik jumlah penonton yang ramai untuk kali pertama dianjurkan.

Terlebih awal lagi mereka sudah merancang untuk meneruskan usaha ini untuk menganjurkan konsert Pop Rohani dengan menampilkan Jamal Abdillah sebagai penyanyi utama dalam masa terdekat ini.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: