Berpisah Lebih Baik

25 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Irwansyah

Sejak hubungannya Acha Septriasa sudah terlerai, Irwansyah tidak mahu fikir soal pengganti

DARIPADA percakapan, riak wajah dan bahasa badan yang ditunjukkan, nyata lelaki ini masih kuat menyayangi bekas kekasihnya, Acha Septriasa. Mungkin kerana keletihan akibat tidur yang tidak cukup, atau berat hati pada mulanya untuk menyambung topik cinta yang gagal bersama pelakon dan penyanyi jelita itu, ada kala Irwan tunduk dan memandang ke arah lain apabila diajukan soalan berkaitan.

Namun, selepas diselang dengan jenaka dan hilai tawa wakil media, Irwan tampak makin selesa berbicara mengenainya. Sememangnya dia mengaku, perasaan sayang kepada bekas buah hatinya masih kuat bersarang dalam hatinya. Cuma, jodohnya dengan Acha agak liat, sehingga perpisahan dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian.

Tidak mahu menuduh sesiapa berlaku curang, tetapi anak muda berusia 24 tahun ini tidak menafikan faktor berjauhan antara dirinya dengan Acha antara faktor utama mengapa perpisahan itu berlaku.

Beberapa kali keretakan hubungan itu cuba diperbaiki, sebaliknya jaraknya kian besar. Mereka memilih kata akhir untuk memutuskan saja pertalian kasih yang dipintal dalam pertemuan yang terjadi menerusi filem Heart, kira-kira tiga tahun lalu.

Ketika filem itu memuncak popularitinya, dua bintang muda ini muncul insan paling hangat diperkatakan bukan hanya kerana lagu nyanyian mereka yang meletup di Indonesia dan Malaysia, bahkan kisah cinta mereka yang menghiasi kebanyakan tabloid kedua-dua negara. Kisah cinta itu diteruskan lagi dengan penghasilan filem Love is Cinta, pada 2007.

Begitupun, pertengahan tahun lalu, timbul cerita kononnya pasangan ini tidak lagi bahagia. Acha pernah membuat pengakuan pada Julai tahun lalu, cinta jarak jauh menyukarkan hubungan mereka. Khabarnya, kata putus mereka ucapkan hanya menerusi telefon.

“Saya belum ada nyai pengganti, tidak sebagaimana Acha. Nampaknya dia sudah menemui jejaka yang lain, yang khabarnya bukan insan seni,” cerita Irwan yang ditemui sewaktu berada di Kuala Lumpur untuk menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana.

Sambil memberitahu, dia dan Acha masih berhubungan sebagai sahabat, Irwan berkata, pelakon wanita itu turut berkunjung ke rumahnya tatkala dia menyambut ulang tahun hari lahirnya Mac lalu.

Ditanya apakah dia kelihatan agak kurus kerana memikirkan kegagalannya dalam bercinta, pemuda itu menafikannya sambil mendakwa, beratnya menurun kerana kepenatan bekerja.

Tumpuannya kini pada lakonan. Pada hujung minggu pula dia sibuk dengan persembahan serta siri promosi album.

“Perpisahan itu mempunyai kesannya. Saya jadi susah untuk makan dan sukar bekerja. Tetapi, tidaklah sampai hendak membunuh diri sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak. Saya ambil masa untuk keluar daripada kekusutan akibat putus cinta,” katanya.

Jika dirinya ditemukan dengan cinta baru, kata Irwan, biarlah insan yang berjaya mencuri hatinya itu bukan daripada golongan artis, serta tidak mempunyai impian untuk merantau jauh!

Penyanyi yang kini hangat bersama lagu Camelia petikan album solo pertamanya, Soliter, turut menafikan lagu Ku Tunggu Jandamu sebenarnya bercerita mengenai dirinya dan Acha. Begitupun Lagu Untukmu memang dicipta untuk bekas kekasihnya itu.

“Keseluruhan lagu dalam album itu boleh diibarat sebagai luahan hati saya. Sedangkan, ia dirakam sebelum perpisahan antara kami terjadi,” kata Irwan.

Mengenai gosip mengatakan dirinya dan pasangannya dalam siri Upik Abu dan Laura, Cinta Laura mempunyai hubungan istimewa, jejaka itu menjelaskan, perhubungannya bersama pelakon muda itu tidak lebih daripada perhubungan sesama artis.

“Laura masih anak kecil yang suka bermanja di lokasi. Hakikatnya, tidak ada apa-apa hubungan istimewa antara kami. Kami hanya akrab di lokasi, Saya berasakan, Infotainment di Indonesia sengaja memperbesar-besarkan cerita ini,” katanya sambil menguntum senyuman.

INFO: ALBUM Soliter di Indonesia sudah terjual melebihi 20,000 unit. Nada dering lagu Ku Tunggu Jandamu pula sudah dijual sekitar 500,000, manakala bagi lagu Camelia, lebih sejuta nada deringnya dimuat turun peminat.

MENERUSI album solonya itu, Irwansyah menyanyikan lagu ciptaan Kangen Band, Dewiq, Alam Urbach, Opick, Jimmo serta lagu ciptaan bersama Sandy Canister, Pay & Egus Suhu.

IRWANSYAH terpaksa menolak tawaran berlakon filem Sebelah Mata, yang mungkin menyaksikannya memegang watak peninju kerana watak itu memerlukan dia membotakkan kepala. Pelakon itu mengetepikan tawaran itu kerana dia masih lagi terikat dengan siri promosi album Soliter.

Pelakon dan penyanyi turut bertanding pada Pilihan Raya Umum Indonesia baru-baru ini mewakili Parti Indonesia Sejahtera. Dia bertanding di Daerah Solo. Bagaimanapun, pemuda ini tewas dalam percubaan pertamanya. Namun dia berhasrat meneruskan minat barunya dalam politik dengan memperjuangkan nasib generasi muda di negara berkenaan.

PENYANYI ini mempunyai adik lelaki, Hafiz, 21 tahun, yang turut membabitkan diri dalam muzik. Hafiz yang bermain gitar mempunyai kumpulan sendiri, diberi nama Lexa. Ada kalanya, Hafiz turut mengiringi persembahan Irwan.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: