Pelakon 'Pulaukan' Majlis Rosyam

25 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ROSYAM marah, kecewa dan geram dengan telatah ‘bintang’ dramanya.

BUKAN senang untuk melihat pelakon senior seperti Rosyam Nor, 42, meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya.

Dalam sikapnya yang sentiasa nampak tenang dan gemar bergurau dengan orang di sekelilingnya, baru-baru ini Rosyam melampias rasa amarahnya di depan media pada sidang akhbar drama Rahsia Hati.

Rosyam meluahkan amarah bukan kepada pekerjanya, bukan juga kepada pihak media atau pereka cerita gosip tidak berasas tentang dirinya. Sebaliknya amarah itu terhambur kepada pelakon-pelakon yang membintangi drama terbaru terbitannya, Rahsia Hati.

Keluh-kesah itu dilontarkan setelah dia berpendapat, pelakon terlibat tidak memberi sokongan pada acara pelancaran drama yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang.

Tatkala majlis berlangsung, skrin TV yang disediakan jelas memaparkan wajah-wajah artis hebat yang membintangi drama 40 episod itu. Antaranya ialah Rita Rudaini, Watie Sadali, penyanyi Nurul Wahab dan Ifa Raziah.

Majlis yang sepatutnya dimulakan awal terpaksa ditunda semata-mata menunggu kehadiran pelakon-pelakon berkenaan.

Malangnya, sampai ke sudah, keempat-empat ‘bintang’ itu tidak juga muncul dan majlis Rosyam seolah-olah ‘dipulaukan’ pelakon sendiri.

Sebaliknya pelakon yang hadir hanya Aaron Aziz dan Arash Mohamad, selain pelakon pembantu seperti Rosnah Johari dan Mohd. Azlan Kamiran.

“Saya memang kecewa. Sudahlah tidak datang, mereka langsung tidak beri sebarang alasan kenapa tidak hadir.

“Perkara ini benar-benar membuatkan saya berasa kecewa kerana mereka tidak dapat hadir bagi membantu saya mempromosikan drama Rahsia Hati,” luah Rosyam.

Kepada Rosyam, sidang akhbar cukup penting kerana ia bukan sahaja untuk kebaikan produksi, malah menjadi satu ruang untuk pihak media mendapatkan sumber bagi mempromosikan drama berkenaan secara lebih teratur apabila ia ditayangkan di stesen TV, Astro Prima.

“Sebab itu saya kata majlis ini juga penting untuk para pelakon sendiri untuk promosikan diri mereka kepada pihak media,” katanya.

Kosmo! difahamkan pelakon jelita, Rita Rudaini memang tidak dapat dihubungi oleh pihak produksi, termasuk Rosyam sendiri.

Bagaimanapun kalangan peminat tentunya faham akan keadaan Rita yang kini sedang sarat mengandung dan sudah mengehadkan aktiviti seninya semenjak beberapa bulan lalu. Untuk Rita, dia boleh dimaafkan.

Tetapi bagaimanapun pula dengan artis-artis lain?


MASIH ada penyeri, tiga pelakon lelaki dari kiri, Azlan, Arash dan Aaron ‘menyelamatkan’ sidang akhbar Suhan Movies.

Bukan sahaja memberi teguran kepada pelakon Rahsia Hati, sebaliknya lelaki yang sudah 25 tahun mengabdikan dirinya dalam dunia seni juga menganggap nasihat itu ditujukan kepada keseluruhan anak seni lain.

“Pelakon tidak hanya perlu ada bakat dan paras rupa menawan semata-mata. Sebaliknya mereka juga hendaklah ada etika perhubungan awam yang baik.

“Artis kenalah berdisiplin. Mereka kena datang ke sidang media yang diadakan penerbit untuk pihak media.

“Walaupun ada komitmen lain dan hanya dapat datang lewat ke majlis ini, sekurang-kurangnya tunjukkan muka sudah memadai,” nasihat Rosyam tegas.

Rahsia Hati mengisahkan tentang perbalahan adik-beradik tiri iaitu Syamir lakonan Aaron, Fazlan (Mohd. Azlan Kamiran) dan Nadia (Watie). Salah seorang daripada mereka ada niat buruk untuk mengaut harta keluarga mereka setelah didesak oleh ibunya, Maria (Ifa).

Ia juga memaparkan cinta tiga segi di antara Syamir, Ammar (Arash) dan Kamalia (Rita). Akhirnya Kamalia memilih Syamir sebagai calon suaminya. Mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang dirancangkan oleh Maria.

Selepas kemalangan, Syamir mengalami masalah kesihatan dan merahsiakan perkara sebenar daripada Kamalia. Dia bertindak menjauhkan diri daripada Kamalia hingga mendorong Kamalia berkahwin dengan Ammar.

Drama bersiri itu menjadi projek kedua terbesar produksi Rosyam selepas Dinasti Bilut dengan 80 peratus lokasinya dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, selebihnya di Terengganu.

Ia membabitkan kos berjumlah RM1.6 juta dan memakan masa selama empat bulan setengah untuk diselesaikan.

Rahsia Hati mula ditayangkan pada 23 April lalu, setiap hari Khamis pada pukul 10 malam di saluran Astro Prima.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: