SHAH ALAM: Vokalis kumpulan remaja popular, New Boyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail mengesahkan kedudukannya ke acara kemuncak program realiti One In A Million (OIAM) pada 1 Mei nanti.
Pengesahan Tomok sebagai antara barisan finalis OIAM diumumkan pengacara, Awal Ashaari dan Marion Caunter pada konsert mingguan ke-9 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, di sini malam tadi.
Tomok, 24, yang pernah melahirkan lima album bersama New Boyz ialah antara peserta yang konsisten dan sentiasa memberikan kejutan dalam persembahannya sepanjang OIAM berlangsung.
Bagaimanapun, ia bukan jaminan kepada Tomok untuk meraih kejuaraan kerana dia disaingi hebat dua finalis lain, termasuk Elizabeth Applunius Chin atau Esther.
Kekuatan bakat peserta berusia 21 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah itu diakui pengkritik profesional, Syafinaz Selamat dan Paul Moss yang memuji persembahannya setiap kali konsert mingguan.
Turut mara Nasharul Aweera Noryissham atau Aweera. Namun, debaran mereka belum berakhir kerana akan melalui satu lagi proses penyingkiran awal acara kemuncak OIAM nanti.
Hanya dua peserta yang meraih undian SMS tertinggi daripada penonton diberi peluang beraksi peringkat final. Konsert malam tadi juga menyaksikan persembahan terakhir Zulqarnain Jaafar atau Nine apabila peserta kesembilan tersingkir.
Berita Harian
Leave a Reply