Cabaran Anak Wayang Bermula

27 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

DARI kiri; Che Kem, Fauziah, Marlia dan Hamzah akan membimbing peserta Anak Wayang.

Program realiti terbaru Astro Ria mula disiarkan pada 22 Mei

PENGHORMATAN yang hadir bersama tanggungjawab besar kerana di tangan mereka ini tergenggam harapan untuk mencorakkan haluan pelapis yang bakal memeriahkan dunia lakonan.

Tanggungjawab itu menjadi lebih besar apabila di tangan mereka juga terletak sebuah misi iaitu membentuk Anak Wayang supaya kukuh berdiri setanding program realiti lain.

Kepakaran serta pengalaman yang dimiliki Marlia Musa, Fauziah Nawi, Mohd Kamaruzaman Taib (Che Kem) dan Hamzah Tahir bertepatan dengan usaha Astro untuk memberikan impak kepada khalayak menerusi Anak Wayang yang akan mula disiarkan pada 22 Mei nanti.

Tanpa pengetua, namun barisan pengajar Anak Wayang bersatu hati menggembleng tenaga, kepakaran serta pengalaman untuk dimanfaatkan peserta program realiti itu menerusi rutin yang dipertanggungjawabkan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul ketika ditanya mengenai pemilihan barisan tenaga pengajar program itu berkata, semuanya mempunyai kekuatan tersendiri selain berpengalaman luas dalam lakon layar dan persembahan pentas.


RUSDI dan Fazura turut mencurahkan pengalaman menerusi program Sesi Anak Wayang dan Pentas Anak Wayang.

“Kerjasama ini mengukuhkan objektif Astro yang menyediakan ruang kepada bakat pelapis dunia lakonan untuk terus berkembang dan dihormati. Kesungguhan mereka yang disegani dalam industri hiburan memperkemaskan lagi hasrat Astro untuk menjadi destinasi utama penerbitan drama tempatan,” katanya.

Khairul berkata, biarpun baru diperkenalkan siri uji bakat yang diadakan di tiga lokasi bermula April itu mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri lebih 4,000 peserta.

Daripada jumlah itu hanya 25 dipilih untuk meneruskan cita-cita serta menempa nama sebagai anak seni atas tiket lakonan.

“Anak Wayang mendedahkan kepada khalayak akan perjalanan serta pahit getir yang terpaksa dilalui seseorang pelakon. Astro menyediakan platform dengan membangunkan bakat yang ada untuk dikembangkan, seterusnya memacu industri hiburan tempatan menerusi pengisian ilmu serta pengalaman dalam Anak Wayang,” katanya.

Sementara itu, Marlia yang pernah menumpahkan pengalamannya menerusi Akademi Fantasia 3 mengakui, Anak Wayang memberikan cabaran berbeza kepadanya.

Katanya, Anak Wayang juga memberinya peluang bekerja dengan mereka yang berada di luar kelompok populariti, seterusnya menggali bakat yang ada untuk diperkenalkan kepada umum.

“Dengan ilmu yang mereka peroleh sepanjang program itu diharap dapat melengkapkan diri peserta menjadi pelakon yang lebih menyeluruh pada masa akan datang,” katanya.

Berdasarkan sesi uji bakat yang dihadirinya, Marlia berkata, mereka meletakkan penanda aras yang tinggi dalam pemilihan peserta untuk meneruskan cabaran dalam Anak Wayang.

“Kebanyakan peserta yang datang terutama di Johor Bahru memang berbakat besar, malah mempunyai karektor yang berwarna warni serta personaliti menarik kerana ia antara asas penting untuk menjadi seorang pelakon.

“Standard pemilihan terpaksa dipertingkatkan di Kuala Lumpur kerana kebanyakan yang datang mempunyai pengalaman berlakon dan ada di antara mereka ialah penuntut seni persembahan,” katanya.

Fauziah yang bakal membimbing peserta dalam aspek lakonan dan vokal berkata, skop tugasannya merangkumi pembacaan skrip, artikulasi serta pembawaan watak seseorang pelakon dalam sesebuah produksi.

Baginya, seseorang pelakon sama ada baru atau berpengalaman harus mempunyai ilmu supaya kerjaya lakonan tidak diperlekehkan.

“Saya tidak ada pendidikan khusus dalam bidang lakonan namun saya sering berpegang kepada naluri dalam mengenal pasti bakat lakonan seseorang.

“Pelakon yang baik mempunyai mata yang bersinar, peka dan dalam dirinya sentiasa tertanya-tanya. Mereka mempunyai bahang yang tinggi namun harus dikawal.

“Pengalaman hidup yang pelbagai juga sebenarnya membantu seseorang pelakon kerana jika tidak watak yang dibawakan tidak berwarna-warni, malah pencarian mereka juga tidak begitu analitikal,” katanya.

‘Pelakon itu pencipta’

PELAKON bagi Fauziah ialah pencipta dan seharusnya mereka memiliki daya imaginasi yang liar kerana jika tidak akan menimbulkan masalah kepada pengarah.

Katanya, setiap watak dalam lakonan mempunyai latar belakang dan ada ketika pelakon terikut-ikut dengan norma serta kebiasaan yang dilihat sedangkan tuntutan peranan adalah sebaliknya.

“Pelakon yang baik harus menjadi ‘penyibuk’ iaitu peka dengan persekitaran kerana mereka bertanggungjawab untuk mencari keseimbangan dalam pengisian watak yang diserahkan,” katanya.

Hamzah yang sebelum ini menjadi juri tetap Sehati Berdansa diberi kepercayaan untuk membimbing pelajar dari segi olah tubuh, manakala Che Kem memainkan peranan selaku guru skrip dan analisa.

Projek Anak Wayang siaran Astro Ria bakal menghidangkan penonton dengan paparan diari pembelajaran menerusi Sesi Anak Wayang setiap Isnin hingga Rabu dan dikendalikan oleh Fazura.

Sementara itu, pelaksanaan segala rutin yang diajar sepanjang minggu akan dipertontonkan menerusi program penyingkiran mingguan, Pentas Anak Wayang kendalian Rusdi Ramil setiap Jumaat, jam 9.30 malam.

Serentak pengumuman barisan tenaga pengajar, Astro turut melancarkan drama bersiri 50 episod Kecuali Cintamu yang menjadi platform kepada peserta Anak Wayang untuk menyandarkan bakat lakonan mereka.

Bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Prima bermula 25 Mei ini, jam 8.30 malam, siri itu dibintangi Nanu Baharuddin, Mustapha Kamal, Haleeda, Janet Khoo dan Aman Shah.

Ia turut diperkuatkan dengan lakonan Liza Abdullah, Roslan Salleh, Tasha Aziz, Pushpa Narayan, Ezany Nizariff, Sabrina Hassan serta kemunculan wajah baru iaitu Siti Saleha, Riz Ainuddin dan Ainul Aishah.

“Drama ini bakal memberi lebih impak menerusi kemasukan watak sampingan daripada calon Anak Wayang yang meraih undian tertinggi penonton untuk merebut lima watak tambahan ditetapkan,” kata Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: