Drama AF7 'Bunuh' Aril

28 Apr

Oleh MOHD. YUSMAN AWANG
yusman.awang@yahoo.com


ARIL (kanan) dikatakan tersingkir kerana pengundi teruja untuk membantu Aishah (dua dari kanan) daripada tersingkir.

BAYANGKAN American Idol disuntik elemen drama membabitkan isu remeh-temeh dan gosip tentang para pesertanya. Bayangkan pula Akademi Fantasia tanpa elemen tersebut.

Memang tidak adil untuk membuat perbandingan antara American Idol dan Akademi Fantasia tetapi apa yang jelas, kedua-dua program realiti TV popular itu memiliki matlamat yang sama iaitu untuk melahirkan penyanyi berbakat dan popular hasil pilihan ramai.

Namun apabila disuntik elemen drama dan gosip cinta, matlamat itu sudah menjadi kacau. Membandingkan produk kelahiran American Idol dan Akademi Fantasia, jenis penyanyi yang bagaimanakah kita harapkan untuk menjana industri muzik?

Lihat bagaimana produk American Idol seperti Kelly Clarkson dan Carrie Underwood yang lebih membanggakan dari segi pencapaian karier muzik mereka berbanding heboh dengan gosip murahan.


ARIL mempunyai jawapan tersendiri kenapa dia memeluk kesemua tenaga pengajar AF7, termasuk Tiara.

Bandingkan mereka dengan produk-produk kelahiran AF. Bukan untuk menuduh produk kelahiran AF tiada yang membuat pencapaian gemilang dalam karier muzik, tetapi majoritinya lebih condong ke arah isu remeh-temeh membabitkan isu peribadi terutama sekali gosip cinta, melebihi pencapaian mereka dalam bidang seni.

Justeru, apabila menyaksikan persembahan memberangsangkan daripada Khairil Azam Pilus atau Aril, pada konsert ketujuh Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) menerusi lagu popular Gigi, Nakal, peserta berusia 24 tahun itu dilihat sebagai produk penting AF.


TANPA ARIL. Pelajar AF7 yang berpeluang ke final, dari kiri, Hafiz, Claudia, Isma, Aishah, Akim dan Yazid.

Namun gara-gara mahu menyemarakkan AF7 dengan elemen drama, peserta yang berpotensi untuk menjadi suatu produk AF yang berlainan berbanding produk-produk AF sebelum ini ternyata telah ‘dibunuh’ peluangnya!

Itu nasib malang yang menimpa Aril, apabila diumumkan sebagai peserta kelapan yang tersingkir pada konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lepas.

Cuba menyelami reaksi Adlin Aman Ramlie terhadap penyingkiran Aril, juri tetap AF7 itu mengakui dia berasa cukup terganggu. Sebelum ini, dalam kritikannya terhadap persembahan Aril, dia melabelkan Aril sebagai produk yang belum pernah ada dalam AF.

Adlin ternyata tidak senang apabila bekas pelajar AF3, Marsha Milan Londoh ‘dimasukkan’ ke kampus AF7 yang kemudian digambarkan dan boleh dilihat oleh penonton menerusi Diari AF7 pada minggu lepas, seolah-olah dia sedang cuba menjalinkan cinta dengan Aril. Malah lebih hebat, ditonjolkan klip Marsha mengurut tengkuk Aril!


PRODUK berbeza. Aril memberikan persembahan hebat yang lain daripada pelajar AF sebelum ini.

HAFIZ menduduki tempat tertinggi di AF7 saat ini.


SEPERTI ada sesuatu yang membelenggu Isma pada persembahannya kali ini.

“Penyingkiran Aril itu menunjukkan faktor populariti dipengaruhi elemen personaliti,” ujarnya kepada Kosmo!.

“Apabila Marsha dimasukkan ke dalam kampus AF7 pada minggu lepas dan ditonjolkan seolah-olah sedang bercinta dengan Aril, saya fikir ia telah mempengaruhi pengundi-pengundi AF7 di luar sana.

“Kemasukan Marsha itu menyebabkan ada faktor luaran yang kurang menyenangkan. Apakah tujuan Marsha dimasukkan ke situ. Akhirnya, gimik yang dilakukan telah memakan diri,” tegasnya lagi.

Tambah Adlin: “Elemen drama yang disuntik membabitkan Marsha itu bukan suatu penjenamaan yang bagus untuk AF. Kesimpulan hasil perbincangan saya dengan beberapa pihak mendapati elemen drama yang cuba diterapkan itu lebih banyak mendatangkan negatif kepada personaliti peserta.

“Pengundi mengundi peserta bukan sekadar berdasarkan persembahan pada malam konsert tetapi juga dari sudut personaliti peserta yang boleh diperhatikan setiap hari menerusi Diari AF. Juri hanya mampu memberikan pengaruh dari segi pandangan terhadap skil dan mutu persembahan peserta.”

Dalam pada itu, Adlin tidak menyalahkan penonton. “Saya tidak salahkan pengundi dalam hal ini kerana mereka ada dua pilihan sama ada menyukai peserta kerana personaliti atau kerana persembahan. Tapi apabila diganggu dengan elemen drama seperti yang dicetuskan dengan penglibatan Marsha itu, bagi saya itu suatu gangguan terhadap personaliti peserta.

“Kalau saya jadi abang, bapa atau pengurus Aril saya saya tidak mainkan elemen itu untuk mengangkat personaliti Aril kerana ia lebih condong ke arah negatif.

“Senario berbeza dilihat terhadap seorang lagi peserta AF7, Hafiz yang dilihat memiliki personaliti yang bersih dan naif, tidak diganggu dengan elemen drama yang boleh meletakkan dirinya dalam suasana seperti yang dialami Aril dan ditambah dengan persembahannya yang bagus, justeru sebab itu dia muncul menjadi pilihan nombor satu pengundi,” tegasnya.

Namun, lain pula pandangan seorang lagi juri AF7, Adibah Noor yang tidak melihat Marsha sebagai punca Aril tersingkir kali ini. Sememangnya Adibah antara yang sangat kecewa sehingga dia meluahkan kepada Kosmo!: “Dengan tersingkirnya Aril, harapan untuk melahirkan bintang yang berkaliber telah hancur musnah!”

Menurut Adibah, Aril sudah sedia maklum apabila Marsha dimasukkan ke kampus AF7 dengan matlamat untuk mengenakannya. “Jadi, Aril hanya menjadi dirinya tetapi dia tahu ketika mana yang perlu dikawal keadaan. Lagipun, Marsha bukan sahaja mengusik Aril, tetapi juga pelajar lain seperti Aishah,” ujarnya.

Dia mengakui tidak memahami apa kehendak pengundi AF7 terhadap peserta. “Aril hanya menjadi dirinya, setidak-tidaknya dia tidak hipokrit. Kalau sikap itu tidak disukai pengundi, saya fikir adakah peserta kena menjadi hipokrit untuk meraih undian penonton?” soal Adibah.

Menyentuh mengenai adakah penyingkiran Aril itu sebagai gimik supaya Aril boleh diundi masuk semula seperti prosedur AF sebelum ini, beritahu Adibah: “Saya rasa itu sesuatu yang perlu dilakukan bagi memberikan peluang semula kepada Aril tidak kiralah penyingkirannya itu suatu gimik ataupun secara kebetulan. Kalau tidakpun ada cadangan supaya pemilihan kemasukan semula dibuat oleh juri.”

Sementara menyentuh mengenai konsert mingguan yang sebelum ini sering meraih kritikan negatif, Adibah menyifatkan berlaku banyak peningkatan di kalangan pelajar pada konsert minggu ketujuh itu.

“Kesemua pelajar lelaki menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terutama Akim dan Yazid yang akhirnya berjaya keluar dari kepompong mereka. Tapi saya tidak berpuas hati dengan ketiga-tiga pelajar perempuan – Isma, Claudia dan Aishah kerana mereka kelihatan seperti kembali ketika seperti mula-mula menyertai AF7. Saya tidak faham kenapa persembahan mereka seperti ada sesuatu yang membelenggu mereka,” katanya.

Dengan penyingkiran Aril, kini tinggal enam peserta yang masih berpeluang ke final AF7 iaitu tiga pelajar perempuan Ismaliza Ismail atau Isma, 30, Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Bujang, 18, Claudia Fay Geres arau Claudia, 24, serta tiga pelajar lelaki iaitu Yazid atau nama penuhnya, Mohd. Yazid Ibrahim, 22, Mohd. Hafiz Mohd. Mohd. Suip, 19, dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18.

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: