Gadis Pingitan Pun Boleh

28 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

SEJAK berumah tangga pada Disember tahun lalu, Nabila Huda Suhaimi, 25, kelihatan lebih matang dan perjalanan kerjayanya juga berjalan lancar.

Dia bertuah kerana suami, Zaidy Zailani, 28, merestui perjuangannya dalam bidang seni dan tidak meletakkan syarat kerana percaya Nabila mampu menangani tanggungjawabnya terhadap kerja serta rumah tangga dengan baik.

Menurut Nabila, walaupun sudah berkahwin tidak bermakna dia perlu mengetepikan kerjaya lakonan yang sudah diceburi sejak usia belasan tahun. Malah, akui Nabila, dia berasa lebih yakin meneruskan kerjaya seni kerana Zaidy setia memberikan sokongan. Penat di lokasi ada suami yang menanti kepulangannya yang selalu tiba lewat malam di rumah mereka di Kota Damansara.

“Saya pelakon. Walaupun sudah berkahwin, saya tetap mengutamakan kerjaya. Dari segi pemilihan watak begitu juga. Saya bersedia melakonkan apa saja watak asalkan bagus kerana apa jua karakter yang dibawa ia hanyalah lakonan.

“Zaidy kenal saya pun sebagai pelakon dan Alhamdulillah dia tidak pernah menghalang dan saya pun tidak suka minat disekat.

“Sepanjang kami berkenalan, bercinta dan kini menjadi suami isteri, saya tidak menggalakkan Zaidy datang ke lokasi untuk melihat atau menunggu sehingga saya habis bekerja. Saya tidak suka mencampuradukkan urusan kerja dengan peribadi. Lebih baik kami tumpukan kepada kerja sendiri.

“Sekarang apabila sudah berkahwin, Zaidy amat memahami cara saya bekerja kerana dia sudah biasa sejak dulu. Sebab itu dia tidak pernah merungut. Kini saya banyak berlakon dan ada kala pulang lewat malam, tetapi tetap meluangkan masa bersama suami dan masih ada kesempatan bersenda gurau.

“Namun, bukan setiap malam saya balik lewat. Tengoklah pada jadual penggambaran pada hari berkenaan. Pernah juga saya balik jam empat atau lima petang.

“Mengenai anak, saya tidak kisah. Terpulang kepada rezeki Allah hendak bagi. Ada anak nanti, tambah berserilah rumah tangga yang dibina. Tentu papa (Amy Search) pun tidak sabar hendak menimang cucu,” katanya.

Nabila kini sibuk mempromosikan filem lakonan terbarunya, Bohsia (Jangan Pilih Jalan Hitam), yang sudah pun menjengah pawagam Sabtu lalu. Filem itu dilakonkannya sebelum berkahwin.

 

 

Peranan yang dipegangnya sebagai Minah Rempit bernama Tasya. Berpasangan dengan Syamsul Yusof yang juga pengarah filem itu, adegan yang dilakonkannya agak berani termasuk babak berkemban selepas dirogol Acai (Shaheiy Sam) dan kawan-kawan.

“Untuk menghayati watak Tasya, selepas baca skrip, saya cuba bayangkan macam mana watak itu. Bukan saja untuk Tasya, melakonkan watak yang lain pun saya lebih suka berimaginasi.

“Selalunya saya akan baca skrip dua kali. Selepas itu saya beritahu Syamsul apa yang akan lakukan untuk menjadi Tasya. Mujurlah apa yang saya bayangkan sama seperti yang Syamsul mahukan.

“Untuk lebih menghayati watak Tasya, ada juga saya memerhatikan gelagat Mat Rempit dan bohsia ketika menjayakan penggambaran drama Impak Maksima. Saya perhatikan perlakuan dan cara mereka berkomunikasi sesama sendiri serta gaya bahasa digunakan.

“Bekerja dengan Syamsul senang kerana dia mudah diajak berbincang. Mungkin kerana kami semua hampir sebaya, tahap pemikiran dan keinginan juga lebih kurang sama maka saya dan pelakon lain dapat menyesuaikan diri dengan Syamsul. Masih menghormatinya sebagai pengarah, namun ketika yang lain kami juga seperti kawan di lokasi.

“Untuk mendapatkan hasil terbaik kami selalu berbincang dan selalunya buah fikiran kami diterima Syamsul. Menariknya bekerja dengan Syamsul dia setuju saja apa cadangan kami. Semuanya dia kata OK.

“Dalam pada itu, Syamsul ada pendirian, serius bekerja dan sangat kreatif. Sebenarnya tiada bezanya saya bekerja dengan Syamsul atau dengan sesiapa saja. Di lokasi saya buat muka selamba, relaks dan buat kerja sendiri. Pada saya di set semua orang sama, tiada orang atasan atau bawahan. Dengan cara itu ia memudahkan saya bekerja,” katanya.

Mengenai adegan kemban dalam filem itu, jelas Nabila dia tidak risau kerana ia adalah teknik kamera. Katanya, walaupun nampak macam betul, tetapi babak buka seluar itu bukan betul sebaliknya semua itu teknik kamera.

Meskipun Nabila agak sinonim dengan watak jahat, namun jika ada tawaran seumpama itu, dia tengok juga watak jahat bagaimana supaya lakonannya tidak nampak sama sepanjang masa.

“Jika dapat tawaran melakonkan watak jahat, saya teliti sama ada karakter yang diperlukan untuk sesebuah drama atau filem itu pernah dibawa atau tidak sebelum ini. Atau mungkin saya boleh berikan eleman baru watak itu.

“Dalam KL Menjerit The Series misalnya, saya jadi budak nakal dan kaki buli. Manakala dalam Bohsia, Tasya anak terbiar, kurang didikan dan tidak mendapat kasih sayang keluarga. Dia juga sangat lantang bersuara, lepas laku dan berani bertindak sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, kebelakangan ini, Nabila turut menarik minat pengarah memberikan watak baik kepadanya. Dengan imej rambut panjang melepasi bahu, dia kelihatan serasi dan tidak janggal langsung menjadi gadis pingitan.

“Saya akui sekarang banyak tawaran untuk watak positif. Misalnya drama Cinta Untuk Ain yang turut dilakonkan Que Haidar. Dalam drama itu saya jadi gadis baik, tetapi perjalanan hidupnya agak malang kerana kawan sendiri cuba merampas suaminya dan tidak disukai ibu mentua. Jika hendak dikira dari segi kepuasan, saya lebih suka berlakon drama,” katanya.

Sibuk berlakon Nadia masih sempat merakamkan lagu single, X-Ray dan akan muncul satu lagi single baru.

“Saya rakam lagu untuk suka-suka. Bukan hendak jadi penyanyi pun kerana keutamaan pada lakonan. Buat lagu itu pun menggunakan bajet sendiri. Apabila saya dengar lagu X-Ray mula dimainkan di radio saya berdebar dan gementar, janganlah panggil saya buat persembahan di pentas kerana saya takut.

“Kali pertama saya membuat persembahan di Jomheboh, Kuantan, saya takut naik ke pentas untuk menyanyi. Saya bukan seperti papa yang dilahirkan untuk menjadi penyanyi. X-Ray adalah lagu dan lirik yang diilhamkan Edrie Hashim.

“Satu lagi single yang bakal menyusul ciptaan Noh dari kumpulan Hujan. Bagaimanapun, lagu itu belum bertajuk dan dituju khas untuk papa. Idea itu timbul ketika kami berbual mengenai papa.

“Lagu itu juga belum dirakamkan lagi. Oleh kerana menggunakan bajet sendiri, jadi bolehlah suka-suka hati bila hendak masuk studio,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: