Novel Bersiri Nyanyi Sunyi – Siri 15: Cita-Cita Cempaka

28 Apr

Oleh Maskiah Masrom

Di sini lahirnya sebuah cinta

Yang murni abadi sejati

Di sini tersemai cita-cita

Bercambah menjadi warisan

 

 

MASIH terdengar suara Sudirman Haji Arshad mengalunkan lagu ‘Warisan’ dari kedai kaset ketika Cempaka tiba di keretanya.

Keempat-empat tayar Kembaranya bocor, disimbah cat merah di bahagian bumper, pintu hadapan kiri kanan kereta seakan dicalar dengan paku. Cempaka bergegas ke arah dua orang petugas tempat letak kereta yang sedang asyik merokok dalam samar-samar malam.

Puas dia bertanya namun tidak ada sesiapa yang nampak pelakunya. Cempaka melihat jam di tangannya. Hampir pukul 10 malam. Hati Cempaka terasa panas. Dia tidak syak orang lain kecuali Kasturi.

Sebenarnya sudah hampir setahun dia tidak melihat Kasturi walaupun mesej ugutan tentang tanah masih diterima. Tapi Cempaka yakin Kasturi memang mengawasi pergerakannya. Dia teringat lelaki bertubuh sasa yang menunggu dalam kereta Wira hitam depan UKM.

Bukankah Kasturi pernah mengatakan lelaki itu adalah orang suruhannya? Dia pernah terasa diekori semasa memandu. Melalui cermin sisi dia dapat melihat, sebuah kereta dipandu laju seakan mahu melanggarnya. Tetapi apabila dia memperlahankan kenderaan, kereta yang disyaki itu terus memotong tanpa memberi isyarat. Barangkali itu hanya perasaannya sahaja. Barangkali benar juga pendapat Lukmanulhakim, Kasturi hanya setakat berani menakut-nakutkannya sahaja.

Cempaka tahu Lukmanulhakim sedang membuat liputan tragedi banjir yang meragut nyawa di Kota Bharu. Nampaknya dia terpaksa menyelesaikan perkara itu sendiri. Mencari mekanik untuk menukar tayar dan menyelenggara kereta. Cempaka tak peduli pada cat merah dan calar balar. Dia juga tidak membuat laporan polis. Jika dia membuat laporan polis hari itu, bermakna sudah ada tiga laporan tentang Kasturi.

Namun setakat ini belum ada sebarang tindakan diambil. Polis tidak pasti Kasturi berada di mana. Nombor telefonnya sentiasa bertukar. Bayang-bayangnya pun tak dapat dikesan.

Cempaka perlu pulang ke Mersing awal pagi esok. Ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Lusa dia perlu berada di Kuala Rompin untuk membuat kajian lapangan selama tiga hari. Kemudian dia akan pulang ke Kampung Mukut bersama Lukmanulhakim untuk menyambut Hari Raya Haji.

Jika dia bertangguh lagi, kertas kerja itu semakin lambat dapat diserahkan. Dia singgah di kedai tadi untuk membeli kaset bacaan al-Qur’an. Perjalanan yang akan ditempuhi esok agak jauh. Lebih 400 kilometer. Dia mahu telinga dan hatinya ditemani oleh sesuatu yang memberi erti. Tidak sangka pula, persinggahan sebentar di kedai kaset itu menyebabkan keretanya teraniaya.

Sudah dua kali Cempaka menelefon pegawai daerah Mersing, Encik Razli Kasim yang baru setahun ditugaskan ke situ. Tidak disangkanya Encik Razli menunjukkan minat terhadap cadangan membangunkan kota sastera dan budaya di kampungnya. Menurut Encik Razli, kerajaan memang bercadang memajukan kawasan Mersing sebagai tarikan utama pelancong.

Malah kerajaan memperuntukkan RM1.4 juta bagi membersihkan Sungai Mersing daripada dicemari sisa buangan minyak daripada bot nelayan dan bot pelancong serta sampah sarap. Kerajaan berharap dapat menjadikan Sungai Mersing seperti di Melaka yang boleh dilalui bot untuk dijadikan tarikan pelancong yang sering berkunjung ke situ setiap hujung minggu.

Selain itu, kerajaan turut bercadang memajukan kampung-kampung kecil di pulau berhampiran sebagai tarikan baru kepada para pelancong. Konsep homestay atau rumah persinggahan adalah antara perkara yang dirancangkan oleh kerajaan. Selain memperkenalkan budaya Malaysia kepada orang luar, konsep itu juga mampu menjana ekonomi penduduk kampung.

Sebagai pegawai daerah, Encik Razli dipertanggungjawabkan meninjau tanah-tanah yang berpotensi dimajukan. Dia perlu turun padang melalui jalan laut, sama ada dengan feri atau bot laju. Dia perlu memujuk pemilik-pemilik tanah yang sudah terbiasa berkebun dan menjadi nelayan untuk mengizinkan tanah mereka dibangunkan sebagai tarikan pelancong. Dia perlu memahami budaya dan adat penduduk tempatan sebelum singgah meninjau.

Khabarnya kebanyakan penduduk di kampung-kampung kecil itu terdiri daripada Orang Laut, bekerja dengan tulang empat kerat, kurang pendidikan dan sukar menerima pembaharuan. Jika mereka ada tanah pun, tanah mereka biasanya kecil antara satu hingga dua ekar sahaja. Apabila melibatkan banyak pemilik tanah, perbincangan biasanya akan menjadi lebih rumit untuk mencapai kata sepakat.

Seterusnya dia perlu membuat kertas kerja untuk dibincangkan dalam mesyuarat. Sekiranya kertas kerja itu ditolak, dia perlu berusaha mencari tanah berpotensi yang lain. Kerja itu memang rumit dan banyak karenah perlu ditangani.

Sebab itu, Encik Razli terasa amat bersyukur apabila dihubungi oleh orang seperti Cempaka. Cempaka ada segala-galanya. Dia mempunyai tanah seluas 10 ekar, ada geran tanah, cukai tanah dibayar setiap tahun, pemilik tunggal, sanggup menyediakan kertas kerja dan rancangannya selaras dengan hasrat kerajaan.

Cempaka gembira apabila dibayangkan projek itu akan dibangunkan selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi. Impiannya untuk menyumbang bakti kepada desa kelahirannya semakin hampir menjadi realiti. Dia akan menunjukkan kertas kerja yang dirangkanya pada malam-malam dihimpit kesunyian itu kepada Encik Razli.

Cempaka tiba pada pukul 12 tengah hari. Dalam perjalanan dia berhenti sebanyak tiga kali di Air Keroh, Machap dan Kota Tinggi untuk berehat dan menunaikan solat. Dua kali dia berhenti untuk mengisi minyak. Dia banyak minum air masak, mengunyah sengkuang dan emping belinjau untuk menyegarkan mata. Dia langsung tidak berhenti makan tengah hari. Dia bertahan dengan makanan yang dijamahnya pada pukul 6 pagi iaitu bubur nasi berlauk kangkung dan ikan bilis gurih. Dia tidak boleh terlewat tiba.

Selepas perbincangan, dia perlu mengejar feri terakhir pada pukul 3 petang. Dia mengekalkan kelajuan 100 kilometer sejam kecuali di sepanjang perjalanan antara Kota Tinggi hingga ke Jamaluang. Dia perlu memandu dengan berhati-hati kerana melalui kawasan kampung, banyak lori dan jalannya agak bengkang bengkok.

Kaki dan tangannya terasa agak lenguh. Kalaulah ada Lukmanulhakim – berulang kali “kalau” itu bermain di hatinya. Pasti dia tidak bosan mendengar pelbagai cerita. Pasti dia dapat melelapkan mata ketika Lukmanulhakim mengambil alih stereng. Namun dia sedar, dia tidak boleh mengharapkan Lukmanulhakim sepanjang masa. Dia perlu belajar berdikari.

Encik Razli masih kelihatan segak walaupun umurnya sudah menjangkau 50 tahun. Encik Razli tertarik apabila mengetahui Cempaka anak kelahiran Kampung Mukut. Dia tidak sangka ada anak Kampung Mukut yang telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat PhD. Selama ini dia mendengar Kampung Mukut agak ketinggalan dari segala segi. Cempaka menunjukkan kertas kerja yang telah disiapkan.

“Kenapa namakan projek ni Kota Nyanyi Sunyi?”

“Saya ambil perkataan “Nyanyi Sunyi” ini daripada tajuk sajak Amir Hamzah. Amir Hamzah adalah penyair dan tokoh pejuang bahasa dari Indonesia yang terkenal di negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu seperti Malaysia, Singapura dan Brunei,” ujar Cempaka dengan teratur.

“Kenapa tidak ambil tajuk sajak penyair Malaysia?” tanya Encik Razli. Cempaka tersenyum kerana sudah mengagak akan menerima soalan itu.

“Jawapannya berkait dengan istilah Melayu. Istilah Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan “Melayu” mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya Kerajaan Melayu 1,500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Sriwijaya. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan “Melayu” berasal daripada Sungai Melayu yang terdapat di daerah Jambi. Jadi, saya memilih tajuk sajak Amir Hamzah ini sebagai satu pengiktirafan kepada penulis yang menggunakan bahasa Melayu dalam karya tanpa mengira latar belakangnya.

“Saya juga memilih tajuk ini kerana ia ringkas, mudah disebut, ada permainan bunyi dan amat berkait dengan makna yang ingin saya sampaikan. Nyanyi Sunyi bermaksud menyanyi untuk menghibur hati semasa sunyi. Menghibur di sini bererti menyampaikan baris-baris kata
yang berkaitan dengan jati diri bangsa Melayu seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, talibun dan banyak lagi.” Encik Razli mengangguk mendengar penjelasan Cempaka .

“Menghibur juga bererti menyampaikan secara lisan kisah-kisah yang mengandungi nilai-nilai murni seperti mitos, legenda, jenaka, binatang, epik, teladan dan sebagainya. Kota Nyanyi Sunyi ini adalah tempat berkumpulnya semua penglipur lara bagi menghapuskan duka mereka yang bertandang, sama ada rakyat tempatan atau luar negara. Mereka hanya menikmati perkara yang menggembirakan di sini dan pulang dengan perasaan yang sama,” terang Cempaka dengan lebih bersemangat.

Entah mengapa saat itu, Cempaka teringat pendapat Frank Swettenham dalam buku Malay Sketches tentang orang Melayu yang digambarkan sebagai bangsa yang petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka. Kesemua ciri itu amat sesuai dengan kewujudan golongan penglipur lara.

“Bagaimana konsepnya?” tanya Encik Razli dengan penuh minat.

“Saya bercadang membangunkan tanah saya dari aspek fizikal dan spiritual. Aspek fizikal telah saya bincangkan tempoh hari dalam telefon. Ada lapan rumah limas tradisional mengikut reka bentuk asal lapan daerah di negeri Johor. Setiap satu rumah limas menonjolkan kekayaan seni dan budaya Melayu. Setiap rumah itu mempunyai aktiviti dan fungsi tersendiri untuk pengunjung seperti persembahan penglipur lara, restoran dengan hidangan tradisional Melayu, aktiviti permainan rakyat, pameran busana Melayu, pusat jualan cenderahati dan sebagainya. Saya cadangkan Rumah Mersing menjadi pejabat utama untuk menyelaras aktiviti sastera dan budaya di kota ini.”

Saat itu, Encik Razli yang berasal dari Jempol teringat konsep homestay yang pernah diadakan di Kampung Lonek. Pelbagai aktiviti dibuat seperti acara tarik upih, boling kelapa, menuai padi, mengirik padi, mengangin padi, acara mengoca ikan di dalam selut. Makanan tradisi seperti masak lemak cili padi dan pari masak asam pedas dihidangkan, keunikan adat perpatih yang menjadi pegangan dijelaskan, pertandingan masakan tradisional dan hasil kraftangan, persembahan kebudayaan seperti “Bongai”, lagu “Ayam Den Lapeh”, tidak lupa majlis berendoi sebagai pengayaan pengalaman. Tidak hairanlah kampung itu diiktiraf sebagai kampung tercantik di Malaysia oleh Kementerian Penerangan.

“Dari segi fizikal, pantai Kampung Mukut ada tarikan tersendiri. Cuba lihat rumah peranginan di pantai Chaweng ini,” ujar Cempaka sambil menunjukkan visual dalam laptopnya.

“Keindahan pantai Chaweng dengan deretan hotel bajet sehingga vila lima bintang, diapit kafe siber, restoran mewah, rumah urut, pub dan kelab malam menjadikan Koh Samui tumpuan selebriti dan destinasi menarik berbulan madu. Pantainya menawarkan matahari yang bersinar sepanjang tahun. Para pelancong datang ke situ untuk berjemur dan berhibur.”

“Kampung Mukut juga mempunyai keindahan semula jadi seperti ini. Pantai yang landai, pasir yang halus dan memutih, laut membiru terbentang luas, pohonan nyiur , ru berderetan dan dihembus bayu Laut Cina Selatan yang mengasyikkan. Lebih menarik terdapat sebuah paya yang didiami pelbagai spesis burung dan jarang dilihat di lokasi lain. Waktu petang para pengunjung dapat melihat sendiri nelayan pulang daripada menangkap ikan,” terang Cempaka seakan Kampung Mukut sudah berada di depan mata.

“Aspek spiritual adalah jauh lebih penting. Aspek pengisian ini akan menentukan kelangsungan hayat Kota Nyanyi Sunyi. Saya ingin menawarkan pekerjaan kepada golongan muda dan tua yang mahir menyampaikan puisi tradisi dan prosa tradisi untuk berkhidmat di sini. Setiap hari ada persembahan puisi dan prosa. Saya ingin mewujudkan suasana perkampungan Melayu tradisional. Pekerja-pekerja di Kota Nyanyi Sunyi perlu berpakaian, bersikap, berhemah seperti masyarakat Melayu silam yang penuh budi bahasa.”

“Cuba lihat konsep mengekalkan keaslian jati diri di beberapa buah tempat di dunia. Ini pemandangan di keraton Jawa. Mereka mengambil pekerja tanpa mengira peringkat umur tetapi dengan syarat sanggup memperlihatkan budaya mereka dari segi pakaian dan tingkah laku. Saya bercadang menonjolkan budaya Orang Laut yang tinggal di Kampung Mukut. Budaya mereka, pakaian mereka, kepercayaan mereka dan cara hidup mereka akan menjadi satu tarikan unik kepada para pengunjung. Secara tidak langsung nasib mereka juga dapat dibela,” ujar Cempaka sambil mengeluarkan keratan akhbar tentang masa depan orang asli di kampung-kampung sekitar Mersing.

Wajah kawan baiknya, Apai keturunan Orang Laut terbayang di ruangan mata. Encik Razli melihat petikan akhbar itu sepintas lalu. Cempaka menyambung penerangannya.

“Kebanyakan Orang Laut kini terhimpit apabila laut yang menjadi sumber mata pencarian kelangsungan hidup turun temurun seperti mula merajuk ekoran kesan pembangunan rancak di kawasan berhampiran. Situasi ini jauh berbeza dibandingkan 10 tahun lalu apabila mereka tidak mempunyai masalah memperoleh pendapatan RM60 sehari hasil jualan tangkapan ketam bangkang yang menjadikan hutan bakau berdekatan sebagai habitat dan kawasan pembiakan. Kini jika mendapat RM20 sehari pun sudah dikira amat bernasib baik.

“Dulu mereka ke laut menangkap ikan atau ketam, tetapi kini selepas semua itu semakin susah diperoleh, mereka terpaksa beralih mengutip sisa sampah di laut yang boleh dijual kepada kedai barang buruk atau kitar semula. Sejak turun temurun, laut seperti penjaga yang memberi mereka makanan, tetapi kini mereka terpaksa menjaga laut daripada terus dicemari dengan sampah sarap yang boleh menyebabkan hidupan di dalamnya terjejas.

“Orang Laut tidak menentang pembangunan tetapi mereka menuntut pembangunan yang berlaku perlu mengambil kira kesan diterima kepada persekitaran yang menjadi tempat mereka tinggal. Mereka masih mahu menangkap ikan atau ketam dan bukannya botol plastik atau benda lain yang sering tersangkut di jaring mereka.

“Orang Laut mahu laut, hutan bakau serta sungai yang menjadi tempat mereka mencari rezeki sejak sekian lama terus kekal tanpa kemusnahan. Laut dan mereka tidak boleh dipisahkan, tetapi jika laut tidak lagi memberi mereka makanan dan pendapatan, apa akan jadi kepada generasi akan datang? Mungkin generasi mereka hanya tahu mengenai kewujudan ketam bangkang dan keseronokan mandi manda melalui cerita lisan. Cucu cicit mereka tidak lagi berpeluang melihat perkara itu dengan mata sendiri kerana semuanya mungkin akan lenyap.

“Mereka tidak minat berhijrah ke kawasan bandar untuk bekerja kilang. Saya harap projek pembangunan Kota Nyanyi Sunyi ini turut membuka peluang pekerjaan kepada Orang Laut. Mereka boleh bekerja sebagai penyambut tetamu, penjual barangan etnik, tukang masak, pengemas bilik, penari kebudayaan, pemain muzik dan apa sahaja yang sesuai dengan jiwa mereka di tepi laut. Barangkali juga ada dalam kalangan Orang Laut yang berbakat sebagai penglipur lara.

“Lihatlah Australia dan New Zealand. Mereka mengekalkan cara hidup orang Maori sebagai satu daya tarikan kepada pelancong. Alat muzik didgeridoo, permainan boomerang, kemahiran menyumpit, mencacah tatu, persembahan tarian, nyanyian dan cerita lisan memberi pengalaman baru kepada para pengunjung. Malah orang Maori dibenarkan berkaki ayam ke bandar sebab itu budaya mereka. Budaya yang berbeza itu membentuk tarikan tersendiri,” jelas Cempaka sambil menunjukkan gambar didgeridoo. Orang Maori percaya, wanita yang meniup alat muzik itu akan disumpah tidak mempunyai keturunan selama-lamanya.

Kemudian Cempaka membayangkan pengisian di Kota Nyanyi Sunyi untuk jangka masa panjang. Contohnya membentuk kerjasama dengan Indonesia, Brunei dan Singapura yang memahami bahasa Melayu dan mempunyai tradisi penglipur lara, mengadakan pertandingan penglipur lara peringkat nusantara, mengundang persembahan tokoh-tokoh penglipur lara dari seluruh dunia dan menjadikan Kota Nyanyi Sunyi destinasi lawatan rasmi bagi para pembesar dalam dan luar negara.

“Saya tidak menentang pembangunan tetapi saya mahu
kan dalam masa membangunkan kita jangan merobohkan. Bangunkan ekonomi dan bangunkan juga jati diri kita. Korea yang begitu tinggi taraf teknologinya pun masih berusaha mengekalkan unsur tradisional. Cuba lihat gambar ini, bilik-bilik hotel bertaraf lima bintang masih menyediakan leca dan bantal tambahan untuk penginap tidur di atas lantai. Lantainya dilengkapi penghawa haba yang membolehkan penginap merasai suasana silam pada musim dingin di rumah desa.

“Lihat pula gambar di Turki ini. Di Cappadocia, gunung batu ditebuk untuk dijadikan hotel. Tidak perlu penghawa dingin kerana terdapat kenyamanan semula jadi. Tarian Mevlana untuk memperingati Jalalad-Din Muhamad Rumi yang terkenal itu juga dipersembahkan di dalam gua. Pelancong tertarik dengan kelainan seperti ini. Sebenarnya, para pelancong sudah muak dengan tarikan teknologi semata-mata. Mereka mencari sesuatu yang asli, tulen yang tiada di tempat mereka.

“Sastera, bahasa, budaya dan keindahan alam semula jadi kita amat unik. Kita hidupkan semula tradisi penglipur lara kita. Mereka akan datang dan jatuh cinta. Bukan itu sahaja, kita juga tidak mahu tradisi penglipur lara hanya dapat didengar oleh generasi muda kita melalui cerita lisan sahaja. Kita perlu mendedahkannya kepada mereka sedari awal lagi. Mungkin selepas Akademi Fantasia, Akademi Al-Qur’an dan Gelanggang Raja Lawak yang mendapat sambutan daripada generasi muda, perlu disusuli dengan Kota Penglipur Lara. Saya yakin mereka akan menghargainya,” jelas Cempaka mengakhiri penjelasannya.

“Syabas. Saya kagum dengan semangat anak muda seperti Cik Cempaka ini,” puji Encik Razli dengan ikhlas. Dia yakin gadis yang penuh semangat itu akan menjadi kebanggaan bangsa suatu hari nanti.

“Saya nak tanya satu perkara, kalau Kota Nyanyi Sunyi ini akhirnya menjadi kenyataan, kepada siapakah penghargaan akan Cik Cempaka berikan?” tanya Encik Razli seakan ingin mendalami perasaan Cempaka.

“Kota impian ini adalah satu penghargaan kepada ibu bapa dan nenek yang tidak sempat melihat kejayaan saya,” balas Cempaka dengan nada sedikit sebak.

Dia ingin sangat menyebut nama Dr Arjuna tetapi dia tidak mahu nama lelaki itu akan menimbulkan tanda tanya. Hati Encik Razli kian tersentuh. Dia baru sedar gadis di hadapannya itu anak yatim piatu. Mereka berjanji bertemu lagi untuk membincangkan perkara itu.

Bersambung

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: