Inspirasi Alam

29 Apr

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

ALAM semula jadi sering kali menjadi inspirasi kepada kebanyakan pereka terkenal di dunia. Apa saja yang dilihat di sekeliling pasti menghasilkan koleksi hebat. Tumbuh-tumbuhan seperti dedaun, pokok dan bunga-bungaan amat digemari dan digunakan sebagai motif dalam mereka cipta karya masing-masing sehinggakan ia begitu sinonim dalam dunia fesyen.

Tidak kurang juga pereka yang menerapkan unsur hidupan dalam masyarakat mahupun etnik yang menarik untuk diterjemahkan ke dalam rekaan masing-masing. Gabungan imaginasi dan kreativiti menghasilkan karya unik bukan saja menceritakan kisah kehidupan masyarakat, malah sebagai rakaman budaya sesuatu bangsa.

‘Irama’ Afrika unik: Jenama terkenal abadikan keindahan flora dan fauna liar dalam koleksi musim bunga, panas 2009

JENAMA terkenal, Jimmy Choo menampilkan daya kreativiti berharga menerusi imaginasinya terhadap kehidupan di Afrika. Bermula dari seni kraf tangan sehinggalah kepada tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar, diterapkan ke dalam koleksi musim bunga/panas 2009.

Suntikan ‘irama’ Afrika ke dalam gaya metropolis, menyerlahkan kesan estetika dan glamor pada koleksi aksesori musim ini. Beg tangan dan kasut menggunakan tekstur mewah dan kulit eksotik didatangkan dalam rona riang seperti jingga, ungu, merah, kuning, hijau dan biru.

Koleksi menggambarkan kemewahan untuk wanita gigih dan berjaya itu menghimpunkan beberapa koleksi beg dengan keunikan tersendiri. Antaranya Mandah yang diperbuat daripada kulit lembu dan suede bermotifkan corak harimau bintang didatangkan dalam bentuk beg bimbit bersaiz besar mahupun beg genggam yang cukup popular. Ia dilengkapi zip pada bahagian depan yang berfungsi boleh mengubah suai saiz beg, tetapi pada masa sama menambah gaya. Koleksi ini didatangkan dalam warna semula jadi seperti coklat, putih dan krim.


BEG dan kasut dihiasi seni kreativiti masyarakat Afrika.

Koleksi beg genggam Zulu dan Ubai diperkemaskan dengan kulit ular pada bahagian depan dan atas beg. Beg ringkas bergaya ini diperbuat daripada kulit boleh didapati dalam tiga warna indah seperti hijau pucuk pisang, jingga dan kuning terang. Anda boleh memilih beg berzip atau berpenutup magnet.

Robin L diperkenalkan dalam bentuk lebih bergaya ceria. Beg tangan bertangkai anyaman dan berhias aksesori serta juraian pada tepi beg. Ia diperbuat daripada kulit dengan warna terang seperti coklat, hijau, jingga dan kuning sesuai digayakan untuk acara lebih kasual.

Jika gemarkan beg tangan lebih klasik, gayakan koleksi Zulu yang didatangkan dalam beg genggam berbentuk empat segi atau empat segi tepat serta bulat. Beg genggam dengan ekspresi Afrika didatangkan dengan warna hijau lumut dan coklat. Kulit diperindahkan dengan motif seakan marmar tampak lebih eksklusif dengan warna merah dan hitam berbelang putih.

Serlahkan gaya dengan beg bersaiz besar daripada koleksi Saba yang diperindah dengan butiran keluli sepanjang jalur jahitannya dan lilitan tali pada tangkai beg. Aura eksotik ditampilkan pada warna beg seperti ungu, hijau zamrud, kulit ular dan suede.

Diego L menampilkan seni kraf dan fauna. Beg daripada anyaman rafia tampak eksotik dengan hiasan kepala ular pada penutupnya. Seni pertukangan tangan diteruskan pada koleksi Alanis yang diperbuat daripada kulit lembut dan diperindahkan dengan juraian serta anyaman manik pada beg.

Jimmy Choo memperhebatkan koleksi kasut untuk musim ini. Langkah lebih memukau dan unik dengan koleksi Claudia yang bertumit 120 mm. Kasut dihasilkan dengan teknik opanca (tapak dihasilkan tanpa sambungan) dihias dengan jahitan pada tali kasut yang diperbuat daripada kulit dengan tali kuning dan putih, manakala tali pergelangan kaki menambah ciri glamor.

Konsep bertali menjadi sentuhan utama pada koleksi seperti Seattle, Serena, Durban Flat dan Samoa. Sama ada diikat secara bersilang hingga ke pergelangan kaki ala gladiator untuk kasut bertumit tinggi atau sandal, ia menyerlahkan gaya seksi. Tampil rasmi dengan koleksi Colarado dan Cameroon yang menampilkan gaya klasik kasut bertumit setinggi 85 mm hingga 100 mm ini. Diperbuat daripada linen bermotif, kulit dengan motif teknik ikat dan semburan, langkah bergaya dengan sentuhan etnik.

Koleksi Poem menampilkan keanggunan dengan kasut bertumit setinggi 115 mm yang diperbuat daripada satin. Boleh didapati dalam warna keemasan, jingga, ungu dan hitam, ia sesuai digayakan sepanjang masa. Sebelah malam pula, gayakan kasut berhias kerlipan kristal daripada koleksi Night.

Koleksi Jimmy Choo turut digemari selebriti terkenal seperti Angelina Jolie, Penelope Cruz dan pendatang baru, Freida Pinto yang bergaya dengan rekaan jenama itu di permaidani merah untuk majlis anugerah.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: