Archive | July, 2009

Chef Siti Nurhaliza

31 Jul

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Program masakan 15 episod terbitan Global Station Sdn Bhd menemui penonton sepanjang Ramadan

PANAS udara petang itu langsung tidak dihiraukan. Sebaliknya satu demi satu hidangan tangkas disiapkan. Langsung tidak kekok, jelas ruang dapur sememangnya menjadi permainan penyanyi nombor satu negara ini.

Ada kala dia bergegas ke kamar menukar pakaian sebelum kembali beraksi di depan kamera untuk meneruskan rakaman.

Berada di lokasi penggambaran program masakan, Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di sekitar kediaman agamnya di pinggir Kuala Lumpur cukup mengujakan.

Ketika pertemuan, Siti baru dua hari menjayakan rakaman berkenaan sebagai hos. Masih dalam proses menyesuaikan diri kerana pengalaman menjayakan program masakan adalah sesuatu yang baru buatnya.

Bagaimanapun, Siti tidak sesekali kekok dengan tanggungjawab itu sebaliknya, semua arahan dilaluinya tenang sekali gus melicinkan proses penggambaran.

Petang itu, mereka melengkapkan tiga episod penggambaran kerana keesokannya, Siti bersama suami terpaksa berlepas ke Jakarta, Indonesia untuk menjayakan Anugerah Planet Muzik (APM) 2009.

“Hari pertama penggambaran bermula agak lewat. Selain dihalang hujan, proses menyediakan bahan masakan juga mengambil masa. Mungkin kerana ini pengalaman pertama, di samping terpaksa mengejar masa membangkitkan sedikit kekalutan pada hari pertama penggambaran.

“Syukur hari ini kerja menjadi lebih pantas kerana masing-masing sudah saling memahami. Bahan juga sudah disediakan dari awal jadi apabila penggambaran bermula, Siti terus mula memasak.

“Alhamdulillah, kami mampu menyiapkan tiga episod seperti yang direncana kerana selepas itu penggambaran terpaksa ditunda untuk memberi laluan Siti menjayakan APM 2009 di Jakarta,” kata Siti mengenai program 15 episod terbitan syarikat kakak iparnya, Zaiton Mohd Jiwa menerusi Global Station Sdn Bhd.

Akur banyak program sedemikian bakal menemui penonton sepanjang Ramadan nanti, wanita berusia 30 tahun itu berkata, dia selesa memilih menu ringkas dan tidak terlalu sukar untuk disediakan.

Siti berkata, pilihan menu yang praktikal disesuaikan supaya semua kelompok penonton – bujang atau sudah berkeluarga mencuba.

Sajian istimewa yang menjadi kepakarannya, Ikan Patin Tempoyak Ku Mahu selain beberapa masakan tradisi Pahang adalah antara tarikan program siaran TV1 itu.

“Siti berkongsi resipi kegemaran yang diambil daripada saudara terdekat selain menu kesukaan seisi keluarga Siti terutama masakan tradisi Pahang untuk dicuba penonton program ini,” katanya.

Isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini berkata, sejak bernikah tiga tahun lalu, bergelumang di dapur sudah menjadi sebahagian daripada tugasannya.

Kata Siti, biar sibuk dengan karier, kerja dapur tidak pernah diabaikan. Dia sering memasak terutama ketika menetap di penthouse mereka di tengah ibu kota kerana suaminya gemar menikmati sajian daripada air tangannya.

Bagaimanapun, sejak berpindah ke Bukit Antarabangsa dan tinggal bersama ibu mentuanya dia sudah jarang mempraktikkan kecekapannya di dapur.

“Kebetulan pembantu rumah yang sudah 10 tahun bersama keluarga mentua sudah pandai menyediakan sajian tempatan terutama masakan Utara, jadi Siti sudah mula jarang ke dapur.

“Sesekali bermanja dengan ibu mentua yang mahir menyediakan makanan kegemaran seperti kari utara dan sambal petai yang menjadi kesukaan suami. Air tangannya memang istimewa terutama sambal belacan.

“Dengan adanya program ini, dapat juga Siti mempraktikkan semula kerja di dapur. Siti pun bukan terlalu pakar dalam bidang masakan tetapi alhamdulillah, setakat ini suami tidak cerewet,” katanya.

Menerusi program yang akan menemui penonton bermula 21 Ogos ini setiap Rabu, Khamis dan Jumaat pada jam 11 pagi, Siti menunjukkan kepakarannya menyediakan hidangan istimewa antaranya Sup Cendawan Purnama Merindu, Ikan Bawal Cili Padi Kau Kekasihku dan Ayam Tiram Serai Badarsila.

Setiap episod, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu akan menyediakan satu hidangan utama berserta pencuci mulut manakala tetamu jemputan pula berkongsi satu lagi resipi istimewa.

Antara selebriti yang menjayakan program itu ialah Vanidah Imran, Rubiah Suparman, Nabil, Salih Yaacob, Ezlynn, Umie Aida, Datuk Shah Rezza, Radzwan Razwill serta angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar.

“Nampak mudah namun sebenarnya agak remeh terutama dalam penyediaan bahan dan ketika memasak. Jika berbuat silap kami terpaksa mengulangi semula proses itu kembali dan ia agak mengambil masa.

“Bagaimanapun, Siti teruja menjayakannya kerana sudah lama tidak ke dapur. Sekurang-kurangnya ia menyegarkan kembali ingatan Siti dalam menyediakan sesuatu hidangan terutama sajian yang sudah lama Siti tidak sajikan,” katanya tertawa.

Berbicara mengenai pengisian Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza, pengarahnya, Erma Fatima berkata, mereka cuba mencari kelainan dengan memilih sajian ringkas dengan konsep penyampaian yang santai.

Konsep itu bersesuaian dengan kedudukan Siti yang dikenali peminat selama ini sebagai penyanyi tersohor dan bukan chef terlatih.

Akui Erma, jika bukan kerana Siti, dia tidak akan terbabit dalam program itu apatah lagi ini pengalaman pertama dia mengarahkan rancangan masakan.

“Seronok kerana Siti seorang yang mudah memberi kerjasama. Biarpun kedudukannya dihormati tetapi apabila di set, dia sama seperti orang lain kerana Siti yang dikenali memang seorang yang merendah diri.

“Saya pula yang risau melihat dia sibuk mengangkat kuali dan sebagainya. Mungkin kerana sudah biasa kerja bersama, jadi kami saling memahami. Itu yang memudahkan penggambaran.

“Program ini tidak terikat dengan sebarang skrip kerana saya mahu Siti bebas dan selesa di depan kamera. Dia tidak kekok malah bertungkus lumus menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pengacara,” kata Erma yang turut mengetengahkan dua bekas peserta Pilih Kasih, Yuhaiza Rosly dan Zara Suriana Jubarsherzaman Khan sebagai pembantu Siti di dapur.

INFO: Siti Nurhaliza MERAIH dua trofi pada malam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang berlangsung di Balai Sidang, Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia, Sabtu lalu bagi kategori Artis Serantau Paling Popular dan Artis Malaysia Paling Popular.

AKAN kembali ke studio untuk memulakan rakaman album rohani yang dijadualkan berada di pasaran menjelang Ramadan ini. Material untuk rakaman album itu sudah ada dan dua daripada lagu yang bakal dirakamkan diambil daripada pementasan Sirah Junjungan yang dijayakannya iaitu Asma Ul Husna dan Tahajud Cinta.

JUGA dalam persiapan untuk menjayakan rakaman album duet bersama penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti. Rakaman akan bermula sejurus selesai pembikinan album rohaninya. Malah mereka juga merancang untuk menjayakan konsert di dua negara apabila album itu menemui peminat kelak.

INGIN kembali mementaskan Konsert Eksklusif Satu yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, akhir Jun lalu. Bagaimanapun kata Siti, semua itu bergantung kepada kesudian penaja. Hatinya tergerak untuk mementaskan semula atas permintaan peminat selain konsep persembahan yang menarik membuatkan Siti mahu lebih ramai peminat dapat menyaksikan konsert itu.

Berita Harian

Oh La La Emeer

30 Jul

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

EMEER,Sha (kanan) dan Amira bersama hadiah yang dimenangi.

Dinobatkan sebagai juara pertama pertandingan nyanyian terbitan TV9

KEGAGALAN bukan bermakna tewas buat selama-lamanya. Tidak salah bermimpi kalau diiringi dengan usaha jitu. Dua tahun lalu, Emeer atau Mohd Emeer Mohd Bakri hanya satu langkah saja untuk mara ke pentas akhir My Starz LG musim pertama.

Bagaimanapun, rezeki tidak menyebelahinya. Tetapi, tahun ini impian Emer untuk menjadi seorang juara tercapai apabila namanya diangkat sebagai juara Pertandingan Nyanyian Oo La La yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.

Program yang julung kali diterbitkan TV9 berkonsepkan kekeluargaan itu menyaksikan saingan sengit dua lagi peserta akhir iaitu Sha dan Amira untuk merebut ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000 dan pakej percutian.

Dihoskan Sazzy Falak, ternyata tuah menjadi milik Emeer yang berdepan laluan mudah kerana peratusan undiannya di awal rancangan sudah meninggalkan jauh saingan lain.

“Sejak seminggu saya demam selsema tetapi Alhamdulillah, ia tidak menjejaskan peluang untuk memberikan persembahan terbaik. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana Sha dan Amira juga mempunyai peluang yang sama untuk menang pertandingan ini.


AZMEER dan Atilia diundang sebagai juri profesional mengadili finalis yang berentap pada malam kemuncak Oo La La.

“Dengan wang RM30,000 ini saya mahu jadikan sebagai simpanan. Saya sedar jauh lagi perjalanan saya, namun usia bukan penghalang untuk saya mencapai impian bergelar penghibur,” katanya yang mahu berjaya dalam bidang pelajaran.

Pada pertandingan akhir yang dibawakan secara langsung oleh TV9 itu, Sha iaitu anak saudara kepada Aris Ariwatan, satu-satunya calon tunggal membabitkan keluarga di kalangan artis, berpuas hati sebagai naib juara dan memenangi wang tunai RM20,000.

Amira pula di tempat ketiga membawa pulang RM10,000. Mereka juga masing-masing menerima hadiah pakej percutian di hotel terpilih.

Kejayaan dan sambutan yang diperoleh berdasar musim ini memberi isyarat Oo La La akan diteruskan.


TRIO juara Mentor musim pertama hingga ketiga, Pija, Fiq dan Black menyanyikan lagu Sejati.

Ketua Penjenamaan Kumpulan, Komunikasi Korporat dan Pembangunan Perniagaan TV9, Noor Amy Ismail berkata, sekiranya diteruskan, TV9 akan tetap mengekalkan konsep yang sudah dibuat pada musim pertama iaitu menekankan hubungan kekeluargaan.

“Tidak kiralah sama ada peserta itu orang biasa atau mempunyai hubungan dengan artis, ia syarat utama pertandingan ini. Kemenangan Emeer membuktikan biarpun dia tidak mempunyai ikatan dengan keluarga artis, rezeki masih berpihak kepadanya,” katanya.

Tambahnya mengenai hala tuju tiga finalis itu, Amy berkata TV9 tidak menjanjikan sebarang kontrak berbentuk album. Bagaimanapun, katanya, peluang untuk mereka terus mengasah bakat terbentang luas.

“Kita ada program terbitan TV9 dan saluran TV lain dalam Media Prima Sdn Bhd. TV9 sendiri menerusi program Apa Khabar Orang Kampung dan Suarasa boleh dijadikan landasan untuk mereka mengembangkan bakat,” katanya.

Sementara itu, Azmeer yang diundang menjadi juri profesional bersama Atilia mengakui kecenderungan peserta pertandingan lebih gemar memilih lagu ‘kitar semula’ yang sering kali menjadi pilihan wajib.

“Saya bersetuju kebanyakan program realiti nyanyian dilambakkan dengan lagu yang sama. Kalau diberi pilihan lagu lain yang tidak klise, lagi bagus. Tetapi lazimnya, pertandingan yang berorientasikan undian SMS di samping juri profesional selalunya peserta memilih lagu yang popular dan orang suka. Ia sebagai kelebihan untuk menarik minat pengundi.

“Peserta pertandingan nyanyian juga sebenarnya perlu didedahkan dengan pemilihan lagu yang betul. Ada sesetengah lagu tidak sesuai di bawa bertanding. Contohnya lagu Gadis Melayu yang dinyanyikan Emeer hanya sesuai untuk membuat persembahan saja,” kata Azmeer.

Kata komposer itu lagi, beliau berharap format mengekalkan penyertaan hubungan kekeluargaan boleh diteruskan pada musim mendatang. Mengenai finalis Oo La La, Azmeer berkata, ketiga-tiga peserta mempunyai keistimewaan tersendiri, namun yang membezakan mereka hanya kepada kesilapan yang dilakukan.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai nada suara yang sedap. Tapi yang menggugat mereka hanya pada kesilapan yang dilakukan. Ada banyak faktor yang mendorong kejayaan Emeer dan begitu juga dengan kekalahan Sha dan Amira.

“Tiada yang sempurna di dalam dunia ini. Masalah lupa lirik sering terjadi namun ia bukan tabiat yang bagus. Sha sendiri hilang fokus hingga lupa lirik di awal persembahannya, namun, membalas dendam memberikan persembahan mantap untuk segmen seterusnya.

“Emeer kerap memasuki pertandingan nyanyian di TV. Semangat dan usahanya serta disokong undian yang tinggi membuahkan hasil. Sha dan Amira juga boleh menyinar seperti Emeer,” kata Azmeer.

Kemuncak Oo La La yang diterbitkan Azman Ghaffar turut dimeriahkan dengan penyanyi undangan yang berduet bersama finalis seperti Ezlynn, Misha Omar dan Lan (bekas vokalis Meet Uncle Hussain). Malah, trio juara Mentor musim pertama hingga ketiga, Pija, Fiq dan Black tampil menghangatkan debaran sebelum diumumkan keputusan pemenang.

Format undian dibahagikan kepada skala 50 peratus untuk undian SMS dan selebihnya juri profesional yang dilantik.

Berita Harian

27-Jul-2009 | Oleh: Razif Rosdi Seventeen Tabik Dengan Siti, Search

27 Jul

Teks & foto oleh Razif Rosdi

KUALA LUMPUR, 27 JULAI 2009: Kumpulan dari seberang, Seventeen yang popular menerusi lagu Selalu Mengalah dikategorikan masih baru bagi peminat Malaysia yang menggemari muzik dari Indonesia

Walau bagaimanapun, Seventeen yang dianggotai Ifan, Yudi, Herman, Bani dan Andi sudah pun mempunyai 2 album iaitu Bintang Terpilih dan Sweet Seventeen dan kini muncul dengan album dan MTV Karaoke, Lelaki Hebat.

Ketika pelancaran album ini semalam di penginapan rasmi Seventeen, Hotel Vistana, Kuala Lumpur, baru-baru ini, vokalis yang bernama Riefian Fajarsyah atau Ifan berkata, nama kumpulan ini dipilih disebabkan angka 17 yang banyak berkaitan dengan mereka.

“Kumpulan ini ditubuhkan pada 17 Januari, jam 17 (jam 5) dan sewaktu kami semua berusia 17 tahun. Disebabkan itulah nama Seventeen dipilih,” ujar Ifan.

Menambah cerita, Ifan secara peribadi amat menyukai lagu Jalan Terbaik iaitu single ke-4 Seventeen.  Baginya, lirik dan melodi Jalan Terbaik cukup bagus dan ada melakar sejarah buat dirinya dimana lagu ini merupakan lagu pertama Ifan menyanyikan dalam sebuah konsert terbuka.

“Syukur, selepas 3 hari album ini dipasarkan di Indonesia sejak 12 Julai lalu, sambutannya begitu menggalakkan. Aku amat suka muzik video Jalan Terbaik kerana jalan ceritanya amat menarik di mana kisah yang dipaparkan mengenai cinta pasangan berlainan agama.

“Dalam klip video itu, aku menjadi lelaki Muslim yang bercinta dengan wanita Kristian. Yang penting, ia begitu kena dengan aku kerna aku juga pernah bercinta dengan wanita Kristian,” jelasnya.

Memandangkan Ifan sudah bercerita mengenai pengalaman bercinta, Ifan akui kini statusnya adalah seorang ayah kepada seorang puteri bernama Rania. Isterinya, Astrid Gayatri bertugas sebagai seorang doktor.

“Aku sudah 3 tahun bernikah dan waktu itu umurku baru 23 tahun. Oh ya, anggota Seventeen semuanya sudah berumah tangga kecuali Bani seorang saja,” katanya.

Anggap Dato’ Siti, Search sebagai legenda

Walaupun Seventeen baru pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, Ifan amat mengkagumi bakat Dato’ Siti Nurhaliza dan sering mendendangkan lagu Cindai. Pun begitu, Ifan berpendapat label yang diberikan kepada Winnie K sebagai Siti Nurhaliza No 2 di Indonesia masih belum layak buatnya walaupun beberapa kali sudah berjumpa Winnie.

“Aku kenal sama Winnie. Kami sering ketemu dan tonton dia dalam rancangan TV di Indonesia. Namun, aku rasa Winnie tak boleh jadi pengganti Siti. Nama Siti begitu besar dan hanya ada satu saja di dunia. Secara jujur… Siti sungguh perfect dan legend buatku. Begitu juga dengan Amy Search, mereka juga kumpulan legenda.

“Selain Winnie, Hujan juga makin popular di Indonesia. Banyak juga orang berkata mengenai Hujan.  Aku juga amat suka vokal Dina (Malaysian Idol). Suaranya juga amat power,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai anak seni, Ifan berpendapat persaingan di Malaysia tidak seperti di Indonesia. Menurutnya, artis Indonesia terlalu banyak dan berlambak.

PROFIL SEVENTEEN

VOKALIS

Riefian Fajarsyah (Ifan)
Tarikh lahir: 16 Mac 1983
Tempat lahir: Yogyakarta, Indonesia
Status: Kahwin

GITARIS

Yudhi Rus Harjanto (Yudi)
Tarikh lahir: 30 Jun 1982
Tempat lahir: Sleman
Status: Kahwin

Herman Sikumbang (Herman)
Tarikh lahir: 17 Mac 1982
Tempat lahir: Tidore-Maluku Utara
Status: Kahwin

BASS

M. Awal Purbani (Bani)
Tarikh lahir: 29 Mac 1982
Tempat lahir: Sleman
Status: Bujang

Dram

Windu Andi Darmawan (Andi)
Tarikh lahir: 8 Ogos 1982
Tempat lahir: Jogja
Status: Kahwin

Murai

Misha Sudah Berpunya

27 Jul

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Lama mencari, kini bunga bunga cinta penyanyi ini sedang mekar

SATU persatu soalan yang diajukan kepadanya, dijawab dengan matang. Telus, tidak berselindung sesekali dia bercanda, menyerlahkan sisi keanak-anakan Misha Omar biarpun usianya sudah menganjak angka 27 tahun.

Melewati lapan tahun pengembaraan sebagai anak seni, Misha sudah masak dengan tuntutan serta pertanyaan media. Cukup sepatah sebagai mukadimah pembuka bicara, dia sudah dapat mengagak persoalan selanjutnya.

Lalu apabila berulang pertanyaan mengenai usia dibangkitkan, pantas bibir penyanyi Cinta Adam dan Hawa ini menguntum mekar.

“Ini mesti mahu tanya soal teman lelaki, bukan?,” kata Misha yang menyoal semula penulis, seakan-akan memahami apa yang bermain di minda ketika ditemui pada penggambaran klip videonya di sebuah studio di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak perlu menanti lama, penyanyi yang mula meledak dengan lagu Bunga-Bunga Cinta ini menghuraikan isi hatinya.


MISHA sudah dua tahun menjalin cinta dengan jejaka yang bertugas dalam perkhidmatan awam.

“Kekosongan hati saya sudah diisi,” jawab Misha telus, tanpa perlu bermain dengan jawapan klise serta berteka-teki seperti yang diamalkan sesetengah penggiat seni.

Menguak sedikit jendela hatinya, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata, sudah dua tahun cintanya dengan jejaka yang bertugas dalam perkhidmatan awam itu terjalin.

Bermula sebagai kenalan biasa, perlahan-lahan hubungan cinta mereka terbina dan kata Misha, banyak faktor yang membuat dia terpaut hati dengan lelaki itu.

“Melihat dia melayani kerenah anak, Muhammad Adam Emir dengan baik terdetik di hati saya dia pilihan yang serasi. Itu antara penyebab yang mendekatkan saya dengannya.


Misha bersiap sedia untuk penggambaran klip video.

“Dia memenuhi piawaian untuk bertakhta di hati ini kerana menerima Adam sebagai sebahagian daripada hidupnya. Sifat kebapaannya membuka pintu hati serta mencairkan perasaan saya untuk menerima kehadirannya dalam hidup ini,” kata Misha.

Dalam terbuka berbicara mengenai teman lelaki, Misha bagaimanapun, memohon sedikit ruang bersendiri untuk tidak terlalu mendedahkan identiti jejaka yang mencuri hatinya itu.

Akur tidak manis apatah lagi kedudukannya sebagai gadis untuk ghairah bercerita soal hati, Misha berkata, seperti insan lain dia juga mengimpikan sesuatu yang manis berlaku dalam perhubungan mereka.

Bagaimanapun, pintas Misha, pengakuan ikhlas itu bukan bermakna detik manis mereka akan berlaku dalam waktu terdekat ini.

Sebaliknya, dia berterus terang kerana tidak mahu dituduh hipokrit jika ada peminat terserempak dia bersama jejaka itu di luar.

“Siapa dia jejaka itu biar hanya saya dan keluarga yang tahu. Insya-Allah jika berlaku sesuatu yang baik, saya tidak akan sesekali lupa berkongsi dengan peminat.

“Seperti pasangan lain, kami juga ada merancang masa depan. Namun rasanya terlalu awal jika saya mahu memperkatakan mengenai langkah seterusnya dalam perhubungan ini.

“Saya menyerahkan semua itu kepada ketentuan takdir. Baik atau buruk, cepat atau lambat ia adalah rahsia Tuhan yang tiada siapa akan tahu. Sebagai hamba saya menerima setiap ketentuan-Nya,” katanya serius.

Perlahan tapi cemerlang

BERALIH perbualan soal karier, 2009 menampakkan permulaan cahaya baru selepas menempuh laluan berliku untuk mempertahankan nama sebelum lahir album ketiganya, Misha Omar.

Album yang disifatkan Misha lahir dari keringat dan air mata itu membuahkan penghargaan yang tidak ternilai, malah akan terus diingati selagi hayat dikandung badan.

Tujuh tahun menanti untuk menggenggam trofi prestij, Anugerah Industri Muzik (AIM), penantian itu terjawab awal Mei lalu apabila album itu meraih empat pengiktirafan.

Ia jumlah yang cukup memberi keselesaan kepada Misha, apatah lagi penyertaan album itu pernah dijadikan polemik kerana terlebih dulu menampilkan single sebelum album penuhnya hadir.

“Saya selesa menapak perlahan namun dalam perjalanan perlahan itu saya juga dilimpahi pelbagai kemanisan yang menjadi impian setiap anak seni.

“Itu memang pilihan saya kerana jujurnya saya tidak pernah mengimpikan untuk terbang terlalu tinggi. Saya bimbang jika berada terlalu tinggi di puncak, apabila jatuh nanti saya tidak mampu mengawal keadaan.

“Biar bersederhana namun dalam kesederhanaan itu saya menetapkan sasaran tertentu untuk digapai kerana saya juga mempunyai cita-cita untuk sukses dalam kerjaya ini,” katanya.

Serius kembangkan kerjaya

KEGAWATAN ekonomi sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti seni dan Misha mengakui, tempias itu turut dirasai apabila tawaran persembahan komersial agak menurun.

Situasi itu kata Misha, tidak sesekali membuat dia menyesal memilih jalan sebagai anak seni. Sebaliknya kegawatan mengajak dirinya untuk melihat semula ke dalam diri dan mencari formula terbaik untuk mempertahankan namanya.

Kata Misha, anak seni tidak seharusnya tunduk kepada keadaan kerana Tuhan sentiasa membuka pintu rahmat-Nya kepada mereka yang berusaha.

Pada saat tawaran nyanyian berkurangan, Misha mengalihkan fokus seninya kepada cabang baru – lakonan dan pengacaraan.

“Lakonan sebenarnya bukan asing buat saya kerana sebelum ini saya pernah membintangi filem Gerak Khas The Movie 3 dan Main-Main Cinta selain telefilem khas raya, Jo-Om Balik Raya I dan II.

“Mungkin dulu saya hanya mencuba tetapi kini saya terfikir untuk mencabar diri dengan menjadikan lakonan serta pengacaraan juga sebagai kerjaya seiring nyanyian.

“Saya fikir itu tidak salah untuk mempelbagaikan karier asalkan sesuatu pekerjaan itu dibuat dengan fokus serta kesungguhan.

“Saya tidak sesekali menjadikan lakonan dan pengacaraan sebagai karier persinggahan,” katanya yang mengendalikan siaran langsung program Sehati Sejiwa setiap Rabu di TV1.

Mengendalikan Sehati Sejiwa kata Misha, memberikan pengalaman baru kerana menuntutnya supaya peka untuk mengawal situasi.

Akui Misha, pernah terdetik di hatinya perasaan bersalah untuk bertanya isu sensitif apatah lagi program sejam itu banyak menyentuh soal rumah tangga pasangan selebriti.

Turut memegang status sebagai selebriti, Misha berkata, biasanya dia terlebih dulu berbincang dengan tetamu undangan untuk memberi keselesaan serta tidak mengguris perasaan mereka.

“Dalam hal ini saya perlu bijak menangani situasi kerana diberi tanggungjawab mencorakkan perjalanan serta menghidupkan program itu.

“Semua itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tambahan pula tuntutan program siaran langsung juga mencabar. Alhamdulillah, selepas beberapa episod saya semakin selesa menggalas tanggungjawab itu,” katanya.

INFO: BIARPUN lambat Misha masih memberikan kerjasama menyiapkan klip video empat lagu iaitu Cinta Adam dan Hawa; Sampai Di Sini; Jawapanmu dan Nafas Cahaya. Kata Misha, penerbitan klip video itu sebagai penghargaan untuk peminatnya yang gemar berkaraoke.

UNTUK penerbitan klip video itu, Misha mendapatkan khidmat pengarah, Waysen Wong dan pembikinannnya dilakukan di sebuah studio di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, selama dua hari pada akhir Mei lalu.

TATARIAS pula disempurnakan jurusolek terkenal, Deq Sha dibantu Shasha menyaksikan kemampuan Misha bermain emosi kerana setiap satu klip video mempunyai latar cerita berbeza.

PENYANYI naungan Sony Music Entertainment ini berkata, perancangan untuk rakaman album terbarunya masih belum bermula namun dia sudah mempunyai beberapa lagu sebagai material untuk produksi itu. Seperti album ketiganya, produksi terbaru itu juga menekankan aspek kualiti kerana Misha mahu lagu nyanyiannya memberi kesan kepada mereka yang mendengar.

Berita Harian

24-Jul-2009 | Oleh: Razif Rosdi Asma Ul Husna Antara Lagu Terpanjang

24 Jul

Teks, Foto & Video oleh Razif Rosdi

KUALA LUMPUR, 24 JULAI 2009:  Selepas meraih kejayaan manis dalam Anugerah Planet Muzik 2009 (APM2009) dan berjaya dengan Konsert Satu di Istana Budaya, Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin kini meneruskan satu lagi projek istimewanya iaitu rakaman album terbaru berjudul Tahajjud Cinta.

Pada jam 8.30 malam kelmarin, bersamaan Siti yang ditemani pengurusnya iaitu Rozi Abdul Razak sudah pun memulakan rakaman lagu pertamanya iaitu Asma Ul Husna di Pro Studio, Cheras. Pertemuan ekskslusif dengan portal murai.com.my itu sungguh bermakna.

Ketika ditemui, Rozi Abd Razak, yang juga kakak ipar Siti berkata, album itu bakal dilancarkan pada bulan puasa ini.

“Tahajjud Cinta masih menampilkan elemen ketuhanan dan kerohanian. Setakat ini, kami sudah pun memilih 7 lagu untuk dimasukkan dalam album ini. 

“Ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi dengan peminat menerusi album ini. Lagu Asma Ul Husna adalah antara lagu terpanjang yang Siti pernah rakam iaitu kira-kira 6 minit,” kata Rozi.

Menjelaskan mengenai penglibatan komposer dalam album ini, Rozi menerangkan bahawa produser untuk album ini adalah Eddie Marzuki yang memberikan 5 karyanya.

“Insya-Allah, album ini akan cuba dipasarkan seminggu sebelum Ramadan. Setakat ini, Siti dah rakam 2 lagu iaitu Ketika Cinta dan Batasku Asaku. Lagu Batasku Asaku merupakan lagu ciptaan Siti sendiri. Kedua-dua lagu ini adalah lagu untuk filem Indonesia bertajuk Perempuan Berkalong Sorban.

“Bercakap mengenai komposer, album ini menampilkan komposer seperti Opick dari Indonesia dan pengarah handalan, Erma Fatima. Selain lagu baru, terdapat 3 lagu cover version iaitu Rasullullah yang pernah dinyanyikan kumpulan Raihan, Selawat Atas Nabi dan lagu yang pernah dinyanyikan Siti pada Konsert Sirah Junjungan.

“Untuk lagu ini, kami mengambil melodinya dan menukar lirik yang baru. Lagu ini adalah ciptaan Kak Erma dan bertajuk Tahajjud Cinta. Sebenarnya, ketika Siti nyanyi lagu tersebut dalam masa 3 hari 3 malam, Siti rasa lagu ini terlalu sedap sehinggakan Kak Erma pun cadangkan kepada Siti untuk merakamkannya,” kata ujar Rozi lagi.

Sementara itu, Rozi turut menerangkan bahawa tahun ini, selepas Tahajjud Cinta Siti akan muncul dengan sebuah album khas dengan Diva Indonesia, Kris Dayanti. Untuk album duo ini, kedua-dua penyanyi handalan itu sudah pun bersetuju merakamkan 6 buah lagu. 

Murai

Panel TV: Misha Omar Muncul Di TV2 Kerana Latah

24 Jul


Misha Omar melakonkan
watak Lela Latah.

MENUTUP tirai slot Citra @ 2 Julai ini, penonton diajak bergelak ketawa dengan watak Lela, gadis suka melatah lakonan Misha Omar pada 31 Julai mulai jam 8.30 malam di TV2.

Lela Latah arahan Adam Hamid turut dibarisi pelakon terkenal seperti Aqasha, Natasha Hudson, Noorkhiriah, , Rosnah Johari, Rahim Jailani dan Fadilah Mansor.

Ia mengetengahkan watak Lela yang tinggal bersama ibu bapanya di sebuah kawasan kondominium sederhana di ibu kota.

Lela anak tunggal yang sangat manja dengan ibu bapanya bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai kerani akaun. Lela berkira-kira nak beli kereta Kancil tapi kesibukan menghalang Lela pergi mendapatkan lesen kereta. Lalu dia pergi bekerja menaiki LRT atau bas.

Roslan, anak majikan syarikat itu baru balik dari luar negara memang kacak bergaya orangnya. Maka ramailah perempuan yang cuba mendekatinya kerana memiliki kereta mewah. Namun Roslan yang bercita-cita tinggi untuk meningkatkan lagi perniagaan ayahnya, menganggap semua macam kawan. Tidak ada gadis istimewa yang boleh menambat hatinya.

Satu hari, ketika Roslan balik pejabat muncul penjahat yang tiba-tiba menyerangnya dan cuba merebut kunci kereta yang ada pada tangan Roslan. Terperanjat dengan kejadian itu, Lela mula melatah. Kedua-dua penjahat itu ditendang dan dibelasah dek latah itu lalu penjahat lari lintang pukang.

Roslan sangat terkejut dengan ketangkasan serta sikap pelindung Lela. Padahal Lela hanya melatah dan itu semua adalah tindakan spontan akibat latah itu. Roslan sangat berterima kasih pada Lela manakala Lela pula teruja dengan ketampanan Roslan. Mereka berkawan dan hubungan itu direstui keluarga Lela. Dan dari bibit pertemuan itu jugalah Roslan makin mesra dengan Lela. Dalam banyak pertemuan yang berlaku, Roslan juga seronok sebab Lela selalu melatah.

Di kawasan perumahan Lela, dia memang popular dengan sikap latahnya itu. Ropiah, anak jiran sering nampak Lela balik dihantar lelaki tampan dengan kereta mewah. Ropiah mula cemburu. Dia pun nak juga lelaki kaya jadi buah hati tapi apakan daya buah hatinya, Shukor bekerja hanya sebagai pengangkat barang di sebuah pasar raya. Ropiah mula buat hal. Dia menyakat Lela supaya Lela melatah dan pukul orang. Tujuan Ropiah ialah supaya Lela dibenci masyarakat sekelilingnya.

Fazrin, seorang model ternama diperkenalkan pada Roslan dalam satu majlis hari jadi seorang kawan. Fazrin yang pantang tengok lelaki kacak cuba berbaik dengan Roslan. Roslan terpesona juga dengan kecantikan Fazrin namun hatinya sudah tersangkut pada Lela. Fazrin menggunakan kebijaksanaannya untuk memikat bukan saja Roslan tetapi menambat hati ibu bapa Roslan iaitu Maria dan Kamal. Namun Roslan hanya melayan Fazrin sebagai kawan.

Apakah kesudahan kisah cinta Lela dan Roslan dan berjayakah mereka yang cemburu itu memisahkan pasangan kekasih itu? Mampukah penyakit latah Lela itu diubati ibu bapanya? Jangan lupa saksikan drama menarik ini terutama lakonan Misha Omar yang sebelum ini hanya terkenal sebagai seorang penyanyi yang memiliki suara yang sungguh merdu.

Berita Harian

Bintang Klasik Sasar Bukan Melayu

24 Jul

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

NORHYATI (tegah) dan Chuari (tiga dari kanan) pada sidang media Pertandingan akhir Bintang Klasik Nasional 2009.

Sesuai saranan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri

SELEPAS tiga tahun diperkenalkan, pertandingan Bintang Klasik Nasional yang mengangkat martabat warisan seni Melayu akan diperluaskan supaya lebih ramai peserta berbangsa asing berminat menyertainya.

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia (Strategik), Datuk Norhyati Ismail berkata, siri publisiti dan promosi berterusan mampu menarik minat bangsa asing untuk menyertai pertandingan itu.

Penyertaan mereka kata Norhyati, membantu melahirkan lebih ramai penyanyi bukan Melayu menyanyikan lagu klasik tempatan lantas mensasarkan siri uji bakat pada tahun mendatang menjurus ke lokasi yang mempunyai penduduk berbilang kaum.

“Usul ini akan diusahakan kerana berdasarkan pengamatan kami menerusi beberapa siri pertandingan nyanyian lain, penyertaan bangsa bukan Melayu jelas menunjukkan angka memberangsangkan.

“Jumlah itu dapat dilihat terutama di Malaysia Timur apabila bangsa asing turut memperlihatkan minat mereka untuk bersama menyertainya.

“Dengan mempergiatkan siri promosi, pendedahan mengenai pertandingan ini dapat diperluaskan dan difahami. Begitu juga dengan kelahiran sekolah seni, kami percaya pertandingan ini akan menarik lebih penyertaan tidak lama lagi,” katanya.

Pengawal Radio Klasik Nasional, Chuari Selamat berkata, objektif pertandingan Bintang Klasik Nasional yang mula diperkenalkan pada 2006 semakin difahami malah kesedaran masyarakat terhadap khazanah lagu tempatan juga menunjukkan perubahan menerusi pentas itu.

Ini dapat dilihat menerusi acara saringan yang diadakan di 13 lokasi berbeza di seluruh negara yang turut menyaksikan peningkatan penyertaan peserta bukan Melayu.

“Cuma mungkin penguasaan mereka terhadap lagu klasik belum mencapai tahap profesional kerana saingan peringkat saringan sangat kuat.

“Tetapi apa yang membanggakan, penghayatan peserta terhadap lagu klasik Melayu semakin mendalam apabila mereka semakin bersedia untuk berdepan cabaran daripada awal pertandingan,” katanya.

Chuari berkata, Klasik Nasional komited dalam usaha mereka untuk memantapkan penghayatan peserta dengan memutarkan senarai lagu yang dipertandingkan setiap hari. Selain itu, peserta juga dibekalkan dengan seni kata menerusi laman sesawang untuk membolehkan mereka lebih bersedia sebelum menyertai uji bakat.

“Bersesuaian dengan saranan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kami ingin sekali melihat pertandingan ini disertai pelbagai bangsa kerana ia dianjurkan bukan untuk bangsa Melayu semata-mata,” katanya.

Mereka ditemui pada sidang media Pertandingan Akhir Bintang Klasik Nasional yang diadakan di Kelab Kilat, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya mengenai haluan peserta selesai pertandingan, Norhyati berkata, RTM sebagai badan penyiar tidak sesekali mengabaikan bakat yang dicungkil.

Ini kerana katanya, RTM akan sentiasa mengetengahkan bakat mereka dalam pelbagai program yang diterbitkan.

Bagaimanapun katanya, peranan untuk menggilap bakat baru tidak hanya terletak di bahu mereka sebaliknya pihak swasta juga harus bersama menggembleng usaha itu.

“Bakat yang ada ini perlu dipupuk dan diasah supaya industri hiburan tidak ketandusan penyanyi baru berkualiti,” katanya.

Mengulas mengenai acara kemuncak yang bertemakan 1Malaysia, Norhyati berkata, ia akan berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada 2 Ogos depan.

Pertandingan itu disertai 12 peserta terdiri daripada Muhaimin Azzahan dan Farridatul Akma Zulkapli mewakili Zon Utara, Abdul Manaf Seron dan Nurhamimah Bohan (Zon Sarawak), Azizul Haqqim Md Anuwar dan Rosmawati Mat Dali (Zon Selatan), Sumarli Loli dan Noor Azilah Kassim (Zon Sabah), Zainol Roslan dan Norzarina Mohd Nordin (Zon Tengah) serta Mohd Najib Hamzah dan Siti Maslina Abdul Rasyid (Zon Timur).

“Membawakan tema 1Malaysia secara tidak langsung menunjukkan betapa RTM terutama Radio Klasik Nasional serius ingin menyatukan masyarakat berbilang bangsa supaya menghayati khazanah lagu tempatan yang tidak pernah pupus ditelan masa.

“Menerusi pertandingan ini juga secara tidak langsung memperkayakan khazanah muzik tempatan menerusi ciptaan bermutu supaya terus dihayati dan disanjungi,” katanya.

Bakal diadili barisan juri profesional, pertandingan itu menyediakan trofi iringan berserta wang tunai RM10,000 untuk juara bagi setiap kategori lelaki dan wanita, RM5,000 untuk tempat kedua dan RM3,000 untuk pemenang ketiga.

Pertandingan akhir itu juga diserikan dengan kehadiran artis jemputan seperti Nassier Wahab, Francisca Peter, Visvanathan Singh, Chan Ching Yee dan Datuk Ahmad Jais.

INFO: Senarai lagu yang bakal dipersembahkan peserta pada malam pertandingan kemuncak Bintang Klasik Nasional

Zon Utara:
Muhaimin Azzahan – Aku Ingin Sendiri
Farridatul Akma Zulkapli – Darah Muda

Zon Sarawak:
Abdul Manaf Seron – Dewi Rindu
Nurhamimah Bohan – Esok Malam Kan Ku Jelang

Zon Selatan:
Azizul Haqqim Md Anuwar – Jelingan Manja
Rosmawati Mat Dali – Teratai

Zon Sabah:
Sumarli Loli – Hasrat Hati
Noor Azilah Kassim – Surat Terakhir

Zon Tengah:
Zainol Roslan – Bimbang Dan Ragu
Norzarina Mohd Nordin – Burung Pungguk

Zon Timur:
Mohd Najib Hamzah – Lembaran Terakhir
Siti Maslina Abdul Rasyid (pilihan lagu belum dibuat)

Berita Harian