Dua Pengarah, 2 Cerita, 1 Pentas

7 Aug

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

KUMPULAN teater RAT bakal mementaskan projek kedua, Teater Kompilasi Volum 2 di DBP.

Naturalisasi, Legasi di Stor Teater DBP

DUNIA teater tempatan sebenarnya tidak tandus dengan pementasan terutama dari kumpulan teater kecil. Saban minggu sebenarnya ada saja pementasan teater dijalankan namun selalunya ia tidak diketahui umum kerana tiada promosi.

Kumpulan teater kecil seperti ini sebenarnya masih aktif berkarya dan merekalah yang dianggap pelapis kepada kesinambungan industri teater yang tidak menjadikan pementasan teater mereka sebagai teater bermusim seperti mana teater berskala besar.

Seperti kumpulan teater Rumah Anak Teater (RAT), ia bakal mementaskan projek kedua Teater Kompilasi Volum 2 pada 11 hingga 16 Ogos ini bertempat di Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) di bawah Projek Komuniti Kental (KoKen).

Penerbit yang juga Pengarah Artistiknya, Nam Ron berkata, pementasan kali ini dianggap unik kerana membabitkan dua pengarah yang akan mementaskan dua cerita di dalam satu pementasan.

“Dua cerita dari tiga zaman yang berbeza menjadi tagline bagi Teater Kompilasi Volum 2. Walaupun secara asalnya dua cerita berbeza tetapi teater kompilasi volum 2 akan menjadi satu cerita kerana kedua-dua cerita berlaku di dalam rumah yang sama.


Nam Ron

“Rumah yang tersergam selama 60 dekad merakam pelbagai peristiwa di dalamnya. Hanya dua judul akan dipentaskan iaitu Naturalisasi dan Legasi. Projek teater bertemakan kemanusiaan ini memaparkan dua pementasan di dalam satu iaitu Naturalisasi karya saya sendiri dan Fared Ayam serta Legasi karya Moizzisr.Cong,” katanya.

Menurut Nam Ron, seperti mana teks yang mengambil aliran realisme, begitu juga pementasan ini bakal dipentaskan, daripada gaya lakonannya, isunya hinggalah gaya bahasanya semuanya adalah realistik.

“Cuma pementasannya nanti akan menggunakan struktur perjalanan cerita atau plotnya yang tidak linear. Ini kerana dalam pementasan itu nanti ada bahagian yang saya olah menjadi monolog dan menunjukkan bahawa watak itu sedang menceritakan perkara yang berlaku.

“Pementasan ini akan bermula dengan visual yang akan berlaku di akhir pementasan dan perjalanan plotnya akan sering bertukar-tukar dengan masa sekarang dan semalam.

“Sehingga akhirnya akan sampai pada situasi yang visualnya ditunjukkan pada awal cerita. Selain itu permainan lampunya juga tidak sepenuhnya realistik kerana terdapat situasi di mana permainan lampu lebih mementingkan mood cerita dan cuba membantu memaparkan atau menyuarakan konflik serta pergolakan jiwa watak ketika itu,” katanya

Pementasan yang akan dipentaskan sebanyak lapan pementasan dilakonkan oleh pelakon teater berpengalaman luas seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Noris Ali, Nur Ameera Mohd Ramli, Khairil Ridzuan, Sallehuddin Abu Bakar dan ramai lagi.

Sinopsis Naturalisasi

Mengisahkan Razman, seorang peguam kepada seorang ahli perniagaan ternama dan teman baiknya Rahmat, seorang penulis bebas. Suatu malam Razman termenung sendirian di dalam gelap. Kegelisahannya berpunca daripada kes perbicaraan membabitkan ahli perniagaan itu. Rahmat, yang juga teman serumah Razman sedar perubahan Razman. Mereka berbincang mengenai hal itu, kemesraan tetap ada walau kadang kala keadaan menjadi agak tegang. Nurul kekasih Razman sampai dengan keadaan marah dan runsing. Setelah dipujuk Razman barulah dia tenang. Rupa-rupanya Nurul mengandungkan anak Razman. Mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Malam itu Nurul tidur di situ, Rahmat marah dengan tindakan Razman. Mereka bertengkar. Esoknya, Rahmat cuba menghasut Nurul dengan membuat satu helah, tujuannya untuk memisahkan hubungan Nurul dengan Razman. Setelah Rahmat keluar, Razman sekali lagi bertengkar dengan Nurul dan akhirnya Razman terperangkap dengan helah yang dicipta Nurul dan mengaku bahawa dirinya adalah lelaki gay. Nurul terkejut lalu mahu memutuskan hubungan dengan Razman. Tengah hari, Rahmat pulang membawa berita bahawa dia menghidap HIV positif.

Sinopsis Legasi

Legasi sebuah cereka yang mengisahkan mengenai sepasang suami isteri yang saling mencintai di antara satu sama lain sepenuhnya tetapi mempunyai persepsi politik berbeza. Ia berlatar belakangkan kepada budaya politik Malaya 1940-an. Cikgu Bakar dan isterinya, Cikgu Zaharah adalah elitus Melayu lepasan Sultan Idris Teachers College yang menyokong dan bersama menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Apabila KMM mulai lemah (1945), ramai pemimpin utama kesatuan itu mengambil pendirian untuk meninggalkan KMM, termasuklah Cikgu Zaharah, namun ia tidak membabitkan Cikgu Bakar. Cikgu Bakar tetap terus berpaksi kepada perjuangan KMM. Konflik persepsi politik ini terus menyelubungi kehidupan Cikgu Bakar dan Cikgu Zaharah. Selepas 50 tahun kemudian, di hari-hari terakhir Cikgu Bakar, dia sempat berjumpa cucu perempuannya yang juga seorang liberal anthropologist, Suhaila. Bersama Suhaila, Cikgu Bakar merungkai pengalaman, pandangan, kepercayaan politiknya. Adakah Suhaila akan meneruskan Legasi yang dibangunkan Cikgu Bakar. Teater ini dilakonkan oleh Taiyuddin Bakar (Cikgu Bakar), Dira Abu Zahar (Cikgu Zaharah), K’N (Cikgu Rosley) dan Nur Ameera (Suhaila).

INFO: Pementasan teater Naturalisasi dan Legasi
Tempat: Stor Teater DBP.
Tarikh: 11 hingga 16 Ogos sebanyak lapan pementasan.
Masa: 8.30 malam dan 3 petang (15 & 16 Ogos).
Tiket: Atas sumbangan minimum RM20.
Sebarang tempahan dan pertanyaan, boleh dilayari dari http://rumahanakteater.blogspot.com/ atau hubungi Faisal Mustaffa 019-2232002 atau faisal.mustaffa@gmail.com

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS”;
innity_zone = “3309”;
innity_width = “**”;
innity_height = “**”;

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: