'Jangan Lupa Sejarah Bangsa, Negara'

30 Aug

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

(Dari kiri); Iqbal, Aida dan Hairi.

Tiga juara pertandingan realiti TV ajak peminat dan masyarakat hayati erti kemerdekaan Malaysia

JIWA mereka terharu mengenang semangat perjuangan orang Melayu dulu. Hati kecil mereka menangis mengenang datuk moyang yang terkorban demi untuk memperjuangkan tanah air, bangsa dan agama daripada cengkaman penjajah Inggeris. Ada yang terkorban, ada juga terpaksa mengorbankan diri. Anak dan isteri terpaksa ditinggalkan demi menuntut pembebasan negara.

Namun, generasi hari ini dilihat semakin pudar semangat, semakin lupa akan perjuangan dan pengorbanan orang Melayu dulu-dulu, malah ada sesetengahnya menjadikan hari kemerdekaan sebagai hari cuti, hari untuk berhibur dan berpeleseran di pusat hiburan. apakah generasi Melayu sudah leka dengan nikmat kemerdekaan yang kecapi selama sejak negara bertuah ini merdeka? Betullah kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed suatu ketika dulu bahawa Melayu mudah lupa. Bukan saja lupa akan perjuangan bangsa Melayu di zaman silam, malah fikiran dan ideologi masih di bawah cengkaman kuasa Barat hingga ada yang sanggup menjadi pengkhianat dan pemecah belah perpaduan Melayu.

Biarpun esok (Isnin) Malaysia genap mengecapi kemerdekaan selama 52 tahun, mereka – juara Gadis Melayu, Aida, Hairi (juara Anak Wayang) dan Iqbal (juara Pilih Kasih) tidak pernah lupa akan sejarah bangsa yang harus dijadikan teladan dan iktibar. Mereka tidak sesekali tunduk dengan ideologi luar, malah semangat mahu menyambut kemerdekaan masih menebal dalam jiwa masing-masing. Cara sambutan bukan dengan berfoya-foya tetapi dengan keinsafan dan lafaz ikrar dalam diri untuk sama-sama mempertahankan maruah bangsa dan negara daripada terus dipermain dan dikhianati oleh kaum lain.

Secara jujur, Aida atau nama sebenarnya, Khairul Noormaaidah Zali, 24, akui: “Saya bangga menjadi anak Malaysia, saya bersyukur dilahirkan ketika negara sudah bebas cengkaman penjajah. Sejak sekolah, saya sudah didedahkan dengan cerita dan sejarah perjuangan orang Melayu dulu-dulu betapa siksanya untuk mencapai kemerdekaan.

“Saya antara insan yang tidak sabar-sabar menyambut Hari Kebangsaan, mungkin kerana saya lahir pada bulan merdeka, Ogos. Saya dan teman-teman di Sekolah Agama Al-Ittifaqiyyah, Temerloh, Pahang pernah mempunyai cara tersendiri menyambut detik 31 Ogos setiap tahun. Pernah suatu ketika saya berkumpul bersama teman sekolah yang lahir pada bulan Ogos dihambat guru disiplin. Menjelang detik 12 malam pada 31 Ogos, kami memasang mercun sambil melaungkan kemerdekaan di asrama. Secara kebetulan, seorang warden asrama baru saja bersalin, jadi bayinya terkejut dengan bunyi bising dan menangis sepanjang malam.

“Saya bersama pelajar perempuan bernasib baik kerana kami hanya berdiri di koridor asrama, manakala pelajar lelaki yang berkumpul di padang sambil memasang mercun akhirnya terperangkap… tak dapat nak lari. Mereka dirotan ketika perhimpunan.”

Gadis kelahiran Kuantan ini mengakui dia tidak akan melepaskan peluang menyertai aktiviti yang membabitkan sambutan Bulan Kemerdekaan. Malah, ketika bersekolah dan menuntut di universiti, dia juga kerap bergelar juara dalam apa juga pertandingan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Aida sering menang pertandingan

“Kalau nak ikutkan tidak terhitung dengan jari tetapi saya bernasib baik setiap kali menyertai pertandingan, saya dan kumpulan tak pernah tewas. Saya pernah menjuarai pertandingan drama kemerdekaan peringkat negeri, pertandingan mencipta replika merdeka, pertandingan bina bangunan Parlimen menggunakan kotak dan macam-macam lagi. Inilah dikatakan tuah lahir pada bulan merdeka,” kata gadis manis yang dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan pembaca berita TV3 yang tampan, Saiful Nizam Ismail.

Aida yang juga Duta produk Krypton berkata, dia bersyukur rezekinya melimpah ruah selepas bergelar juara Gadis Melayu.

Dirinya baru saja menyetujui perjanjian menjadi jurucakap dan model bagi syarikat Kryptonworks yang memasarkan produk keperluan harian.

“Saya tertarik bekerjasama dengan Kryptonworks kerana ia melahirkan satu konsep baru dalam dunia niaga masa kini. Dengan memperkenalkan Program Pengagihan Kembali Keuntungan Syarikat Tanpa Syarat berlandaskan platform Sistem Multi Dimensi, Kryptonworks muncul sebagai perintis baru dalam bidang perniagaan. Untuk keterangan lanjut, bolehlah melayari laman web http://www.kryptonworks.com.

“Saya juga tidak menandatangani kontrak dengan TV9 selepas menjuarai Gadis Melayu. Bukan lupa jasa TV9 mengangkat nama saya di mata masyarakat, sebaliknya saya tidak mahu terikat dengan mana-mana pihak. Saya lebih suka bekerja sendiri sepenuh masa dan hanya menjadikan dunia pengacaraan sebagai kerjaya sambilan.

“Bukan tidak yakin dengan dunia hiburan, sebaliknya minat saya ke arah bekerja tetap. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada TV9 kerana memberi saya peluang menjadi hos dokumentari khas, Kembara Gadis Melayu di Afrika Selatan.

“Saya bersama penerbit, Ezzah Aziz Fauzi dan jurugambar ke Cape Town dan Johannesburg pada Jun lalu selama dua minggu untuk menyusuri budaya, adat dan kehidupan orang Islam ketika meraikan Ramadan dan Syawal. Dokumentari dua episod itu akan disiarkan pada hari pertama Aidilfitri ini, jam 1 tengah hari di TV9,” katanya.

Hairi terkenang pasang bendera di kampung

Hairi berkata, dia dan teman sekampung tak pernah terlepas menyambut ulang tahun kemerdekaan setiap tahun. Walaupun hanya mampu membuat dan memasang jalur gemilang sekitar kampung, ia sudah cukup membahagiakan.

“Saya rindu nak sambut merdeka dengan kawan-kawan sekampung. Dulu kami bertungkus lumus buat bendera dan pasang atas pokok sekeliling kampung. Menjelang detik 31 Ogos pula, kami akan lepak atas bumbung rumah beramai-ramai untuk melihat percikan bunga api. Memang seronok waktu itu, macam nak roboh bumbung rumah dikerjakan.

“Bagaimanapun, sejak aktif dengan kumpulan Akrab, saya terbabit dengan teater yang membabitkan bulan kemerdekaan. Sudah jarang mempunyai kesempatan seperti dulu, tetapi saya tetap kenang. Bagi saya, seseorang perlu tahu apa erti kemerdekaan sebelum memerdekakan diri.

“Saya melihat semangat pada jiwa generasi hari ini semakin merosot. Mereka tahu hari kemerdekaan adalah hari untuk bersosial dan berparti di pusat hiburan. Tiada lagi semangat di jiwa mereka seperti orang dulu. Saya sedih melihat keadaan yang berlaku, jiwa dan jati diri anak Melayu semakin pudar,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Akuinya, pembabitan dalam teater sempena bulan kemerdekaan seolah-olah memberikannya jiwa dalam mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan dan pejuang bangsa Melayu di Tanah Melayu. Malah menghayati watak-watak pejuang Melayu dulu membuatnya hiba dan tidak mahu menjadi golongan Melayu mudah lupa.

“Saya sudah bergiat dalam dunia teater sejak berusia 11 tahun, malah semua adik beradik saya terbabit dalam dunia seni sama ada pelakon teater, pereka tari, pemuzik mahupun penyanyi. Bagaimanapun, saya bukanlah datang dari keluarga seni, ibu bapa saya hanyalah anggota polis.

“Selain meminati bidang lakonan, saya juga minat dalam bidang muzik dan nyanyian. Ketika belajar di Aswara selama tiga tahun, saya mempelajari semua alat muzik jenis tiupan. Saya bangga apabila beberapa lagu ciptaan saya dihantar menyertai festival di Jepun. Bagaimanapun, keutamaan saya sekarang adalah bidang lakonan, saya mahu berjaya sebagai pelakon terlebih dulu,” katanya mengagumi aktor veteran, Ahmad Yatim dan Eman Manan.

Iqbal akui baru faham erti merdeka

Bagi Iqbal, dia masih mengingati dialog keramat ketika dalam Pilih Kasih – apa yang merdeka, siapa merdeka, kau, aku atau dia? Akuinya, menerusi dialog dan lakonannya, dirinya semakin faham apa erti merdeka. Dulu, merdeka hanya pada mulut, tetapi kini, semangat dan jiwanya tidak mahu terus dibelenggu pemikiran barat.

“Saya melihat kita sudah 52 tahun bebas daripada cengkaman penjajah tetapi jiwa anak muda masih dijajah. Saya lihat anak muda sekarang lebih suka menyambut merdeka di pusat hiburan, merempit di jalanan dan ramai terpengaruh dengan anasir negatif. Paling tidak seronok apabila kadar jenayah meningkat, kes ragut dan rogol bertambah pada malam perayaan. Jadi ibu bapa mana yang nak melepaskan anak-anak mereka menyambut merdeka. Bagaimana pula anak-anak mahu merasai detik 31 Ogos jika hanya berkurung di rumah?

“Saya pasti sebak pada malam merdeka. Hati saya sayu, dada saya sebak, sukar nak luahkan, hanya mereka yang menunggu detik laungan merdeka, merdeka dan merdeka saja merasainya. Tahun ini, jika ada kelapangan saya bersama keluarga mahu menunggu detik 12 malam di bangunan Parlimen. Saya mahu sama-sama meraikannya dengan rakyat Malaysia,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Iqbal akui, tanggungjawab sebagai juara Pilih Kasih bukanlah tugasan mudah, malah dirinya perlu membuktikan kepercayaan Rosyam Nor memilihnya sebagai juara adalah tepat.

Dengan nada perlahan, anak kelahiran Bagio, Filipina yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu mengakui: “Kadang kala saya takut jika tidak mampu melunaskan kepercayaan dan harapan orang. Bagaimanapun, sebagai insan seni yang masih hijau dalam dunia lakonan, saya tetap menyahut cabaran yang diberikan.

“Mulanya saya tidak mahu menyertai Pilih Kasih, tetapi bapa saya, Mazlan Ibrahim memaksa dan sanggup menghantar saya ke Seremban. Sepanjang perjalanan saya tidak bercakap dengan bapa sebab terlalu mengantuk. Saya tak sangka kesungguhan bapa akhirnya membuka lembaran baru dalam hidup saya. Kalau ikutkan, minat saya lebih cenderung dalam bidang nyanyian, malah saya pernah cuba menyertai Akademi Fantasia 5 dan 6, cuma saya tidak bernasib baik, hanya sempat sampai top 20.

“Pembabitan saya dalam bidang lakonan selepas saya mengikut sepupu yang juga penyanyi, Haziq ke latihan teater Lorong Blues. Sejak itu, saya diberikan ruang membintangi drama bersiri Sofea Zahra, Eologi Buat Cikgu, Panggilan Rayan dan Selamat Pagi Sayang sebelum menyertai Pilih Kasih,” kata remaja yang berketurunan Melayu-Filipina itu.

Info Aida

NAMA: Khairul Noormaaidah Zali

UMUR: 24 Tahun

TARIKH LAHIR: 15 Ogos 1985

TEMPAT LAHIR: Kuantan, Pahang

ADIK BERADIK: Anak ketiga daripada sembilan beradik

PENDIDIKAN: Diploma Bahasa Arab & Tamadun Islam, Kolej Islam Pahang, Sultan Ahmad Shah & Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Utara Malaysia

PENCAPAIAN: Juara Gadis Melayu 2008

Info Hairi

NAMA: Mohd Hairi Safwan Azhan

UMUR: 21 Tahun

TARIKH LAHIR: 16 Januari 1988

TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah

ADIK BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik

DRAMA/TELEMOVIE: Mawi Ya Habibi, Takbir Terakhir & Rendang Tok Wan (drama Radio Era)

PENCAPAIAN: Juara Anak Wayang 2009

Info Iqbal

NAMA: Muhammad Iqbal Mazlan

UMUR: 20 Tahun

TARIKH LAHIR: 26 September 1989

TEMPAT LAHIR: Bagio, Filipina

ADIK BERADIK: Anak sulung daripada dua beradik

DRAMA/TELEMOVIE: Sofea Zahra, Eologi Buat Cikgu, Panggilan Rayan, Selamat Pagi Sayang

TEATER: Lorong Blues

PENCAPAIAN: Juara Pilih Kasih 2009

Solekan Aida: Awin – 013-770 2739 (www.seindahwajah.com)

Busana: Istana Budaya

Terima kasih: Ketua Pengarah Istana Budaya, Juhari Shaarani & Penolong Pengarah Perhubungan Awam, Istana Budaya, Puteri Shahda Azza Megat Burhainuddin

Bintang Pop

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: