Kahwin Biar Sekali: Den Wahab

30 Nov

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SEDANG lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pepatah itu tepat untuk menggambarkan asam garam kehidupan berumah tangga.

Perkara itu diakui sendiri dramatis yang juga usahawan, Den Wahab atau nama sebenarnya, Zaharudin Abdul Wahab, 46 dan isterinya, Norassikin Bustamam, 36, yang berjaya mempertahankan mahligai yang dibina sejak 18 tahun lalu.

Menurut Den, yang juga Pengarah Urusan Global Network Entertainment (GNE) dan Penerbit Eksekutif Impak Maksima The Musical (IMTM) yang dipentaskan di Esplanade, Singapura pada 17 & 18 Oktober lalu, mana-mana rumah tangga pun pasti berhadapan dengan ujian daripada Allah, sekal igus menguji keimanan setiap hamba-Nya.

“Cuma bezanya ialah cara bagaimana kita sebagai suami untuk menangani apabila berhadapan dengan masalah.

“Maklumlah, perbezaan usia saya dan Nora adalah 10 tahun. Sebagai suami yang lebih matang darinya, sudah pasti saya perlu mendidik isteri untuk menyesuaikan diri menguruskan rumah tangga kerana dia tinggal di rumah ibu mentua (keluarga Den).

“Saya juga mengajarnya supaya tidak cemburu buta apabila saya keluar bekerja,” katanya.

Den berkata, dia juga meminta Nora berhenti kerja selepas berkahwin bagi memberi sepenuh tumpuan kepada rumah tangga.

“Saya juga mempunyai perniagaan sendiri sebab itu saya yakin mampu untuk menyara keluarga kami.

Saya melatih isteri untuk menjadi ahli perniagaan apabila anak-anak sudah besar sikit dan boleh ditinggalkan bersama pembantu rumah.

“Terus terang, isteri cukup istimewa di mata saya kerana kami juga sudah hidup susah dan senang bersama sejak 18 tahun lalu,” katanya.

 

 

Malah, kebahagiaan rumah tangga mereka dikukuhkan lagi dengan kehadiran lima cahaya mata – Nurzahira Natasha, 17, Batrisyia Balqis, 14, Farah Ismahani, 11, Danish Haikal, 7, dan Haziq Ikram, 6.

Berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangganya itu, kata Den, dia lebih suka bertolak ansur dengan isteri setiap kali mereka bertengkar.

“Kadang-kadang, pertengkaran berlaku tanpa disedari. Pasangan suami isteri juga perlu berlandaskan keikhlasan dan kejujuran untuk bertahan lama. Kita juga perlu telus kerana berkahwin ini biarlah sekali saja seumur hidup.

“Suami isteri juga tidak boleh bertengkar depan anak-anak. Jika ada masalah ia perlu diselesaikan secara baik dan seelok-eloknya dalam bilik tidur. Saya pula memang jenis yang suka dimanja, tapi apabila kami bergaduh, sayalah yang paling banyak mengalah dalam soal ini,” katanya.

Den berkata, dia juga berusaha untuk mengekalkan suasana romantik dalam bilik tidur seperti mula-mula berkahwin dulu.

“Isteri juga akan mencium pipi dan tangan saya setiap kali sebelum keluar rumah. Begitu juga dengan anak-anak yang mencium tangan saya dan isteri sebelum ke sekolah.

“Pada masa sama, kami tidak pernah lupa hari istimewa yang diraikan setiap tahun seperti hari jadi dan ulang tahun perkahwinan termasuk hari jadi anak-anak, sekali gus mengeratkan kasih sayang kami sekeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, kata Den, rumah tangganya juga pernah di berhadapan ujian getir yang menguji ketabahannya suami isteri.

“Saya masih ingat lagi, ketika itu, isteri melahirkan anak sulung kami selepas 10 bulan berkahwin. UJian yang kami hadapi ialah anak sulung kami, Natasha dilahirkan dalam keadaan songsang. Dia juga tidak bersuara ketika dilahirkan dan kepalanya senget sebelah.

“Saya dan isteri masih muda dia baru 19 tahun dan saya pula 29 tahun. Bayangkanlah, siapa yang tidak berhadapan dengan tekanan ketika itu kerana apa yang kami bimbang jika ia tidak pulih, anak kami itu akan cacat pula apabila dewasa nanti.

“Bagi memulihkan keadaan kepala Natasha yang senget itu, kami buat rawatan fisioterapi dan berkat usaha dan kesabaran, akhirnya ia berjaya dipulihkan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Den berkata, ujian terbesar yang dihadapi dalam rumah tangganya ialah ketika anak bongsu mereka, Haziq terbabit dalam kemalangan 25 September lalu menyebabkan kepalanya mendapat 15 jahitan.

“Apapun, kami reda dengan ujian Allah itu kerana setiap kejadian yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Malah, kemalangan yang menimpa Haziq itu semakin mengeratkan hubungan kami anak beranak,” katanya.

Sekalipun kini mereka sudah mampu hidup selesa, kata Den, yang juga anak sulung dari sepuluh beradik, dia tidak pernah mengajar anaknya untuk hidup bermewah-mewah hingga melekakan mereka.

“Maklumlah, saya berasal dari keluarga susah, selepas tamat sekolah, saya juga ambil alih perniagaan yang diwarisi daripada bapa iaitu kedai baju Melayu di Wisma Yakin.

“Berkat usaha gigih, bisnes kami berkembang dan sudah mempunyai tiga kedai iaitu di Wisma Yakin, Cheras dan Shah Alam. Kami mengusahakan resort di Janda Baik, Pahang sejak lima tahun lalu dan GNE yang terbabit dalam penerbitan teater, drama dan filem sejak empat tahun lalu,” katanya.

Sebagai bapa, Den berkata, dia sangat menitikberatkan soal pendidikan pada anak-anak kerana ia harta yang paling berharga yang ditinggalkan buat mereka.

“Saya juga mengajar mereka belajar erti hidup berdikari, sejak kecil lagi. Sebagai bapa, tugas saya adalah untuk mencari duit dan mereka pula untuk mencari ilmu setinggi yang boleh dengan belajar bersungguh-sungguh. Pada masa sama, saya juga mendidik anak-anak untuk mendalami selok-belok dalam dunia perniagaan yang bakal diwarisi mereka kelak.

“Tapi, saya tidak pernah menghalang minat anak sulung saya, Natasha berlakon asalkan dia juga menamatkan pelajaran mereka terlebih dulu.

“Impian saya pada masa depan ialah untuk melihat anak-anak berjaya dalam hidup mereka. Pada masa sama, saya juga ingin kembangkan perniagaan dan membina ’empayar’ Den Wahab pada masa depan,” katanya.

Nora dan Den ditemui ketika menjayakan program Sehati Sejiwa yang disiarkan secara langsung dari stesen RTM, Angkasapuri, baru-baru ini.

Sementara itu, Nora, yang juga anak sulung dari enam beradik, berkata, dia sanggup berkorban meninggalkan dunia lakonan bagi memberi tumpuan pada rumah tangga ketika berkahwin dulu.

“Saya berasal dari keluarga seni dan pernah hidup susah sebelum ini. Maklumlah, bapa saya pelakon veteran, Tamam Idris menyara keluarga dengan hanya titik peluh dalam bidang lakonan. Emak pula suri rumah. Demi membantu keluarga saya hanya bersekolah sampai tingkatan empat saja dan menceburi bidang lakonan,” katanya.

Nora berkata, dia juga berkahwin dengan Den pada usia yang muda iaitu 18 tahun.

“Cinta kami mula berputik selepas selesai penggambaran drama Keruh Di Muara arahan Mat London pada 1990. Kami berlakon sebagai pasangan kekasih dalam drama itu.

“Sebenarnya, cinta kami bermula sebagai ‘abang dan adik’ saja. Kami hanya kenal selama enam bulan dan selepas bertunang pada Februari 1991 dan enam bulan selepas itu kami terus bernikah.

“Sebagai wanita yang berkahwin pada usia muda, saya akui memang banyak air mata yang tumpah untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina ini. Apa yang penting, kami hadapi kesusahan yang datang itu bersama-sama. “Sebagai isteri, saya lebih suka berdiam diri apabila bertengkar dengan suami. Saya juga suka memendam perasaan kalau tidak puas hati pun dan peranan suamilah untuk memujuk untuk menjernihkan semula keadaan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: