Jehan & Scha Tak Patah Semangat

27 Dec

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Berkongsi perasaan: Scha, Jehan cekal hadapi cabaran dunia artis

BANYAK khabar kurang enak sedang bertebaran di ruang udara dunia hiburan mengenai aktres muda yang hangat mencipta nama, Scha Al-Yahya.

Khabar bernada cemburu, seolah-olah ingin menjatuhkan karier seni Scha yang semakin memuncak kebelakangan ini. Ia membangkitkan kebingungan kepada gadis berusia 26 tahun itu.

Scha yang hadir ke sesi fotografi khas bersama B’Pop ditemani gandingannya dalam siri Awan Dania 2 siaran Astro Ria, Jehan Miskin, cuma mampu mengeluh.

Desah hati pemilik nama lengkap, Sharifah Norazean Syed Mahadzir Al Yahya ini, dia sendiri aneh bagaimana semua khabar itu timbul.

Hakikatnya, dia masih lagi Scha yang dulu. Scha yang kental menjunjung prinsip profesional, tanpa sedikit pun gelap mata dengan limpahan tawaran yang datang.

“Scha masih di lokasi Awan Dania untuk menyudahkan blok kedua penggambaran, jadi agak pelik bagaimana timbul cerita Scha digugurkan daripada siri itu?,” soal Scha bingung.

Saat diasak bertubi-tubi dengan satu demi satu kontroversi, kesabaran Scha terus diuji apabila perpisahannya dengan Fahrin Ahmad kembali dibangkitkan media.

Apa daya Scha untuk menolak semua itu? Sekadar termampu, dia hanya menutup mulut daripada terus mengulas dan akhirnya menyumbang kemusnahan kepada kariernya.

Kata Scha, cukup sudah dia menerima tekanan gara-gara perpisahan mereka dulu. Dia tidak mampu lagi menanggung lara apabila masyarakat pantas menuding jari, meletak seluruh kesalahan pada bahunya.

“Orang mungkin nampak Scha kuat tetapi Scha juga pernah rapuh menongkah dugaan. Scha tidak kesal melalui pengalaman itu. Lumrah kehidupan pasti akan ada pasang surut serta kecacatan.

“Orang tidak menilai kekuatan itu daripada mana kita jatuh. Scha perlu bangun untuk terus mengejar impian dan mencari kepuasan kerana kerjaya seni itu masih terlalu luas untuk Scha terokai,” katanya memohon pengertian.

Simpati dengan apa yang dilalui Scha, Jehan, 29, yang sudah enam tahun berpengalaman menjadi anak seni mengakui, ada kalanya sukar untuk menelan kepahitan sebuah perpisahan.

Apatah lagi, apabila memilih hidup sebagai artis, mereka sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada terima atau tidak, isu peribadi akan terus menjadi rencah yang membantu memperkenalkan lagi nama seseorang artis itu.

Itu hakikat yang tidak mampu ditepis Jehan. Namun kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, seseorang artis perlu bijak mengimbangi permainan publisiti supaya diri dihormati dan kerjaya mereka dipandang tinggi masyarakat.

“Saya pernah merasai apa yang Scha lalui. Biarkan saja apa orang cakap kerana akhirnya kita yang sebenarnya lebih mengenali diri sendiri.

“Insya-Allah, lama kelamaan ia akan pergi sendiri. Ia berlaku kepada saya apabila kini fokus publisiti lebih terarah kepada karier, bukan lagi cerita peribadi,” kata pelakon utama Merong Mahawangsa itu menitipkan pesanan.

Belum selesa

DUA tahun bertapak dalam industri hiburan, perjalanan karier Scha dilihat meluncur laju. Selain berlakon, Scha turut diberi peluang meneroka cabang seni lain iaitu pengacaraan.

Semua peluang itu meletakkan Scha dalam ruang selesa. Betapa tidak kerana nama Scha sentiasa tersenarai dalam barisan finalis anugerah berprestij.

Bagaimanapun, gadis ini tidak mahu segera mendabik dada. Scha sebaliknya melihat 2009 sebagai tahun permulaan untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak pencinta hiburan.

“Memang apa yang dicapai ini di luar jangkaan. Tetapi semua itu tidak datang sekelip mata. Pada permulaan Scha juga berhempas pulas untuk mendapat kepercayaan. Alhamdulillah, kerja keras Scha diberi perhatian. Jangan cepat andaikan Scha berada dalam zon selesa kerana hakikatnya perjalanan Scha baru bermula.

“Jujurnya Scha masih lagi mencari momentum untuk terus menapak dalam bidang ini. Scha perlu pantas mencari momentum itu supaya tidak tenggelam. Scha belum selesa lagi,” katanya merendah diri.

Sampuk Jehan yang mula mencipta nama menerusi filem Qaisy & Laila, dalam perjalanan menuju ke sesuatu destinasi setiap manusia pasti akan melalui ujian yang memperlahankan langkah.

Baginya, tiada yang lebih penting selain membulatkan tekad dan berusaha menuju destinasi tanpa perlu berputus asa.

Kata Jehan, dia sentiasa ingat pesanan pelakon berkarektor, Shaharuddin Thamby supaya mengutamakan kualiti kerja kerana dari situ duit dan populariti akan hadir.

“Rezeki juga memainkan peranan tetapi saya tidak sesekali duduk berpeluk tubuh dan menanti saja peluang yang datang.

“Berlakon adalah karier profesional saya. Tetapi pada masa sama, saya turut menilai beberapa sudut lain termasuk kekuatan skrip, kreativiti pengarah dan prestasi produksi.

“Saya tidak terlalu memilih. Saya terima watak kecil jika ia mampu memberi impak kepada jalan cerita. Untuk apa saya duduk menanti watak utama tetapi peranan yang diberikan tidak mampu mengangkat jalan cerita.

“Itu kerja sia-sia,” kata Jehan yang mengharapkan industri hiburan diwarnai lebih ramai penggiat muda kreatif yang akan membanggakan produksi tempatan.

Teruja menanti 2010

TATKALA diajak mengimbas perjalanan sepanjang 2009, Jehan menyimpulkan, dia meniti tahun yang cukup menggembirakan terutama untuk kariernya.

Pembawa watak Benjy dalam siri Awan Dania 2 itu berkata, 2009 membuka ruang besar kepadanya untuk meneroka pelbagai karektor yang menguji kemantapan persembahannya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, Jehan yang mengukir laluan sebagai pelakon menerusi drama arahan Osman Ali, Dengan Nama Cinta masih tercari karya yang mampu mengulangi pencapaian yang diraih Qaisy & Laila.

Karya bermutu sebegitu kata Jehan, hanya sesekali hadir tetapi dia percaya apabila tiba waktunya kesempatan itu akan terarah kepadanya.

“Saya percaya kepada rezeki,” katanya yang kembali bersatu dengan Osman Ali menerusi filem Cun yang membariskan pelakon seperti Maya Karin, Remy Ishak dan Scha sendiri.

Scha pula melihat 2009 sebagai tahun percubaan yang menguji, namun berharap 2010 akan membentangkan warna lebih ceria untuk kehidupan dan kerjayanya.

Pinta Scha kepada Ilahi, 2010 akan membawa ketenangan dalam dirinya serta kelancaran untuk terus menyusuri hidup dalam kerjaya yang dicintainya.

INFO: Jehan Miskin Nama Penuh : Mohd Jehan Bin Miskin Tempat Lahir : Pulau Pinang Kerjaya : Pelakon, Model Filem: Qaisy & Laila (2005); Gong (2006); Nana Tanjung (2006); Nana Tanjung 2 (2007); Anak Halal (20070; Skrip 7707 (2007) dan Merong Mahawangsa (2009) Antara Drama: 5 Jingga; Manjalara; Incredible Tales (Singapura); Senja Di Ufuk Timur; Ejen 016; Kasih Di Bawah Bayu; Frontpage; Inspirion; Life Line (Singapura); Di Pinggiran Hati; Seiras; Dan Jendela Pun Terbuka; Gila-Gila Pengantin; Bunga Senja; Traffic Light dan Miftahul Jamilah.

INFO: Scha Nama Penuh: Sharifah Norazean Syed Mahadzir Tarikh Lahir: 30 Mei 1983 Asal: Sungai Petani, Kedah Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik Pendidikan: Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam Pencapaian: Dewi Remaja 2006/2007 Filem: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns Drama: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu dan Awan Dania 2 Pengacaraan: Sehati Sejiwa dan Astro On Demand Komersial: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom, My EG dan Bio Essence

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: