'Syair Melayu' Art Fazil Hangat Di Jepun

27 Feb

KETIKA Art Fazil merakam album Syair Melayu yang melestarikan himpunan lagu kanak-kanak, beliau tidak tahu sejauh mana ia akan berjaya di pasaran kerana kurangnya nilai komersial terhadap keseluruhan konsep album tersebut.

Siapa sangka, album Art baru-baru ini telah menarik perhatian sebuah stesen radio di kota Osaka, Jepun, yang tidak saja kerap memutarkan lagu-lagu Melayu daripada album itu menerusi stesen fmosaka, bahkan wakilnya sanggup turun ke Singapura beberapa kali untuk membeli CDnya untuk di jual di negara matahari terbut itu.

Deejay fmosaka, Encik Maruhashi Motoi, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan lagu Art di Jepun, ketika ditemui wartawan menjelaskan, beliau pertama kali dikenalkan kepada CD Syair Melayu ketika mengunjungi toko muzik Muzika di Joo Chiat Complex pada akhir tahun lalu.

Selain bertugas sebagai deejay radio yang mengendalikan rancangan berkonsep muzik dunia, beliau juga mempunyai toko muzik menjual CD yang didapatkan daripada seluruh dunia.

‘Sebulan sekali, saya akan menjelajahi negara-negara tertentu di pelbagai pelosok dunia, untuk dapatkan muzik terbaru dan unik untuk rancangan siaran saya. Ketika berada di Muzika, saya minta disarankan album Melayu Singapura yang baik dan mereka mengesyorkan saya membeli Syair Melayu.

‘Pertama kali saya mendengarnya, saya cukup tertarik kerana irama Melayunya tersangat unik dan asli. Ia kedengaran mudah, tetapi mendalam,’ kata Encik Motoi, dalam bahasa Inggeris yang cukup asas.

Apabila pulang ke Osaka, album Art menjadi pilihannya untuk rancangan dedikasi World Music, diputarkan setiap hari selama seminggu. Stesen itu juga boleh diikuti menerusi Internet, menerusi laman fmosaka.com.

‘Berdasarkan maklumat yang saya dapatkan daripada syarikat pengedar album Life Record, saya menjelaskan kepada pendengar tentang latar belakang album itu dan bercakap tentang Art Fazil.

‘Nampaknya siaran selama seminggu itu mendapat sambutan, sebab di toko muzik saya, terdapat permintaan untuk membeli album Syair Melayu,’ tambah beliau.

Sehingga kini lagu-lagu Art masih diputarkan di stesen tersebut dan sudah mula diintai stesen-stesen Jepun yang lain.

Justeru, apabila beliau mengunjungi Singapura lagi, beliau membeli secara langsung sehingga 200 unit Syair Melayu sekali gus. Beliau juga merancang menjalinkan kerjasama dengan pihak Life Record untuk mengirimkan bekalan daripada katalog yang lebih luas untuk pasaran Jepun.

Apabila ditanya tentang trend muzik di Jepun ketika ini, Encik Motoi berkata J-Pop masih menguasai pasaran, tetapi trend penjualan CD dikatakan cukup lembap kerana Jepun juga dilanda fenomena muzik muat turun menerusi Internet.

‘Mereka akan hanya membeli CD yang susah untuk didapatkan di Internet. Penggemar muzik dunia juga lebih suka beli CD. Justeru, muzik dunia seperti Syair Melayu masih berpotensi dijual di sana,’ ujarnya.

Art, yang turut diinterviu Encik Motoi untuk rancangan radionya, mengakui beliau tidak menjangka albumnya dapat menarik perhatian pendengar bukan Melayu. Di Singapura, kira-kira 1,000 album tersebut telah terjual.

Selain Jepun, Art berkata, label di Indonesia, Bravo Music, juga bakal memasarkan album itu di sana. Pengubahsuaian pada kulit album juga dibuat untuk kedua-dua pasaran Indonesia dan Jepun.

Di Malaysia, Art telah mendapat penghormatan untuk muncul dalam kesemua 13 episod rancangan kanak-kanak, Shana Nina, terbitan TV1. Rakaman rancancan itu sudah pun selesai dijalankan dan episod pertamanya dijangka ke udara pada 17 Mac.

Dalam rancangan itu, Art menyanyikan lagu-lagu yang terdapat dalam Syair Melayu seperti Air Pasang Pagi, Bangau Oh Bangau, Ikan Kekek, Lagu Tiga Kupang, Nenek Si Bongkok Tiga dan sebagainya.

‘Walaupun album ini mengumpulkan lagu kanak-kanak, namun pendekatannya dibuat secara dewasa. Kita menghormati penyusunan muziknya dengan teliti, menggunakan instrumen- instrumen tradisional yang betul, bukan setakat diiringi keyboard biasa.

Saya kira, sebab itulah ia dapat dihargai masyarakat luar yang tahu kualiti muzik.

‘Saya tak berani meletak harapan terlalu tinggi tetapi berdasarkan maklum balas, saya rasa album ini akan berada lama di pasaran,’ ujar Art.

‘Syair Melayu’

Art Fazil

Cyberita

Advertisements

One Response to “'Syair Melayu' Art Fazil Hangat Di Jepun”

  1. wan ahmad August 3, 2010 at 5:51 pm #

    mana nak dapat cd tu di malaysia…ada tak karaokenya

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: