Pukulan & Pukauan Adam

23 Mar

Penyanyi berpegang pada falsafah
ingin jujur pada diri sendiri

Oleh
Siti Hairani Aznor

BAYANGKAN percikan bunga api yang menghiasi kelam malam dengan ledakan berwarna-warni yang berdansa mengikut rentak nadi, menyelubungi pancaindera dengan rasa taksub lantas membuat anda terpaku dek keindahan detik itu.

Begitulah dahsyatnya penangan suara Adam Lambert ketika ia bergema mengisi ruang teater Pantages Hollywood, Universal Studios Singapore, di acara untuk peminat yang pertama diadakan di Asia Tenggara, baru-baru ini.

Kebolehan beliau menghibur secara langsung memang tidak diragukan lagi setelah jutaan penonton di serata Amerika membuat undian secara SMS sehingga beliau berjaya ke peringat akhir American Idol tahun lalu.

Pertunjukan khas untuk tetamu istimewa itu telah memuatkan sekitar 1,500 anggota media dan peminat yang telah memenangi cabutan nombor bertuah melalui pembelian album Adam Lambert edisi khas dan juga penyertaan peraduan di stesen-stesen radio di serata Singapura dan Malaysia.

Maka itu, bayangkan betapa sukarnya mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan eksklusif ini.

Sesi tandatangan bersama peminat Adam Lambert yang pertama di seluruh Asia Tenggara pula telah diadakan di Bugis Junction pada 13 Mac lalu.

Adam berjaya memukau para penonton dengan persembahan akustik lagu-lagu daripada album sulungnya, For Your Entertainment, seperti Music Again, Broken Open, Whataya Want From Me, Sleepwalker dan Down The Rabbit Hole.

Dengan tenaga suara lantang yang dapat menembusi lapisan cakerawala, beliau mencetuskan ledakan histeria di kalangan peminat setia yang menggelarkan diri mereka Glamberts, setiap kali beliau tarik suara.

Dengan jaket hitam sarat labuci dan seluar jeans gaya tirus, Adam yang telah membuat pengakuan terbuka pada pertengahan tahun lalu mengenai status gaynya menerima sambutan hangat daripada peminat berbilang bangsa dan peringkat umur.

Sewaktu wawancara khas bersama beliau diadakan di Hotel Ritz-Carlton, jejaka berusia 28 tahun yang dibesarkan di San Diego, California, itu kelihatan begitu selesa dengan gayanya yang tersendiri.

Lengkap dengan pembayang mata hitam dan celak tebal yang menghidupkan lagi kebiruan warna matanya, Adam cukup relaks dan bersahaja ketika berinteraksi.

Apabila ditanya mengenai gaya penampilan beliau, Adam menyenangi segalanya yang unik dan lain daripada lain.

‘Lebih menonjol, lebih baik!’ katanya diikuti derai tawa.

Adam yang baru pertama kali menjejakkan kaki di kota Singa juga sangat menyukai makanan yang pedas dan telah sempat menikmati hidangan ketam berlada. Hmmm… mungkinkah itu rahsia di sebalik suara lantang beliau?

Beralih kepada yang lebih serius ketika membincangkan soal muzik, Adam yang turut menulis empat lagu dalam album sulungnya itu mengakui lebih mudah meluahkan isi hatinya dan pengalaman hidup dengan mengarang lagu seperti Aftermath, yang sedikit sebanyak mencerminkan cogan kata hidupnya.

Falsafah hidup beliau ialah tidak membohongi diri sendiri.

‘Jujurlah pada identiti anda dan jangan gentar mencuba sesuatu yang tidak pernah diterokai,’ ujar jejaka berketinggian 1.85 meter itu dengan penuh ketekunan.

Menyingkap persembahannya di Anugerah Muzik Amerika, beberapa bulan lalu, yang telah mencetuskan gelombang kontroversi hangat, Adam tampak tenang sahaja mengingatinya.

Apabila diajukan soalan sama ada beliau rasa dirinya adalah contoh baik kepada para peminat, Adam berkata:

‘Saya adalah seorang penyanyi dan saya cuba menjadi diri sendiri. Saya bukan cuba menjadi contoh ikutan atau mengajar sesiapa.

‘Saya sekadar menjalankan tugas. Mungkin suatu contoh yang peminat dapat ikuti adalah menjadi diri anda yang sebenar walaupun anda rasa diri anda berbeza daripada orang lain.’

Buat masa ini, Adam menunjukkan sokongannya kepada peserta American Idol (musim kesembilan), Todrick Hall yang mempunyai bakat menari selain menyanyi.

Namun sayangnya, Todrick baru sahaja tersingkir di pusingan yang lalu. Adam turut memuji mutu bakat peserta American Idol yang semakin baik dan menganggap Crystal Bowersox dan Andrew Garcia sebagai earthy atau asli dan mempunyai gaya tersendiri yang menyebabkan tahap persaingan semakin sengit.

Nota: Siri American Idol disiarkan di Star World (Saluran 18) setiap Rabu dan Khamis, 8 malam. Ulangannya ialah pada 12 tengah malam.

Cyberita

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: