Mengubat Panau Secara Tradisional

29 Apr

Zaman dulu panau pada Awang Sulung Merah Muda dianggap
indah dan punyai hikmat

Oleh
Noor Hasnah Adam
Penulis Tamu

Pinang muda dibelah empat
Jatuh ke kebun orang Melaka
Panau empat puluh empat
Panau sudah bergelar belaka

‘Di betis tajam belat.
Di pinggang perak berlapis.
Di dada bintang menabur.
Di rusuk siku keluang.
Di belakang lentik padi.
Di lengan semut beriring.
Di tengkuk puyuh berlaga.
Di dagu kumbang berteduh.
Di dahi panau meninjau.
Sebiji panau yang elok tumbuh di lesung, lesung pipit.
Limbar-limbaran dibawa tawa.
Nama panau celak Nabi Adam.’

RANGKAP di atas merupakan sejenis puisi talibun iaitu sejenis puisi tradisional Melayu.

Talibun banyak digunakan oleh tukang-tukang cerita yang sering menceritakan hikayat dan lipur lara tentang kehebatan anak-anak raja.

Penceritaan selalu mengisahkan tentang masalah wira yang mengakibatkan pengembaraan dan melalui pelbagai rintangan tetapi akhirnya wira berjaya mengatasi segala halangan.

Tujuan penceritaan hikayat dan lipur lara oleh para tukang cerita adalah sebagai pengubat duka nestapa dan pelarian daripada rutin seharian. Masyarakat Melayu lama gemar pada cerita-cerita yang menghiburkan dan dapat pula menjadi pengajaran yakni, yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat.

PANAU AWANG SULUNG MERAH MUDA

Berbalik pada talibun di atas, talibun itu merujuk kepada kecantikan seorang putera iaitu Awang Sulung Merah Muda dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Masyarakat zaman dahulu memandang tinggi golongan raja.

Raja dianggap manusia yang mempunyai kesempurnaan luar biasa dan mempunyai daulatnya. Rakyat pantang menderhaka dan perlu sentiasa menyanjung tinggi rajanya.

Justeru jika ada sedikit pun kecacatan atau keburukan pada fizikal seorang raja, gambaran yang diberikan tetap indah.

Awang Sulung Merah Muda dikatakan mempunyai banyak panau. Namun panau-panau itu dikatakan indah dan mempunyai hikmat tertentu.

Panau-panau Awang Sulung muda juga dicemburui orang. Setiap gadis dan wanita yang melihat panau-panaunya akan jatuh hati padanya.

Begitulah ‘pandangan dunia’ atau world view masyarakat Melayu lama terhadap seorang raja.

Walau apa pun yang tidak elok pada diri seseorang raja, masyarakat menganggap keganjilan itu sebagai suatu lambang keistimewaan yang luar biasa. Mungkin juga, pujian yang keterlaluan itu merupakan sindiran yang tersirat.

PANAU DEWA MUDA

Bukan Awang Sulung Merah Muda sahaja yang berpanau.

Dalam hikayat Dewa Muda dan Awang Berjambul Lebat, panau pada Dewa Muda juga dianggap sebagai suatu keistimewaan sehingga mempunyai hikmat tertentu. Hikayat yang berasal dari Kelantan atau selatan Siam ini mengisahkan tentang kerajaan di kayangan. Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Namun bidan ketujuh telah membuang tembuni Dewa Muda ke laut.

Maka mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan berasa tidak selesa lalu turun ke laut dan terlihat tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil.

Tembuni itu kemudian dijelmakan menjadi seorang dewa dan dinamakan Awang Si Jambul Lebat.

Selaput tembuni itu digunakan untuk menjadi rangka wau.

Mak si Dewa Dewa kemudian mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan bunga wau dan bahagian anggota lain Dewa Muda untuk melengkapkan wau itu.

Kononnya semenjak itulah, masyarakat Melayu di Kelantan mula bermain wau.

Dapat dilihat di sini, bagaimana panau yang sebenarnya sejenis penyakit kulit digambarkan mempunyai keindahan tersendiri sehingga dapat digunakan untuk menjadi bunga hiasan yang indah pada wau.

Sehingga kini, wau menjadi permainan tradisional Melayu yang masih digemari.

PANAU PENYAKIT KULIT

Panau sebenarnya merupakan penyakit kulit yang biasa dialami masyarakat. Panau terjadi disebabkan jangkitan kulat dari jenis Genus Malassezia.

Ada beberapa jenis panau yang diberikan nama, mungkin diukur berdasarkan bentuk dan keadaan panau itu.

Jenis-jenis panau itu adalah panau besi, panau bunga, panau lekir, panau mengharung, panau tekukur dan sebagainya.

Panau akan terasa gatal sekiranya tubuh berpeluh. Jika digaru, bahagian yang berpanau akan berdebu.

Panau dapat dilihat dengan jelas kerana warnanya yang lebih cerah daripada warna kulit.

Sekiranya panau terjadi di wajah, wajah akan kelihatan tidak cantik kerana wajah kelihatan bertompok-tompok putih.

Petua orang tua-tua, sekiranya mahu mengelakkan terjadinya panau, jangan terus mandi atau mencuci muka sewaktu tubuh masih berpeluh. Biarkan tubuh dingin sebentar dan barulah mandi atau mencuci muka.

PETUA MERAWAT PANAU

Dalam perubatan tradisional, ada banyak petua untuk mengubati penyakit panau. Antaranya, halia dikatakan boleh digunakan untuk menghapuskan panau.

Caranya, ambil sepotong halia, tumbuk lumat dan kemudian ditempelkan pada bahagian yang berpanau.

Petua kedua, boleh gunakan daun gelenggang yang dicampur dengan kapur lalu digosokkan pada panau.

Petua ketiga, ambil belerang dan tumbuk sehingga halus.

Campurkan dengan perahan limau nipis, gaulkan dan biarkan sedikit berair. Sapukan setiap malam sehingga sembuh.

Petua keempat, ambil lengkuas dan titik/ketuk sehingga sedikit berair tetapi tidak pecah dan hancur. Kemudian sapukan pada panau. Mudah-mudahan panau akan sembuh.

Cyberita

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: