Mesej Tajam

29 Apr

Skrip pentas arahan
Zizi Azah sentuh isu kaum hawa

Oleh
Haryani Othman

GIRL power (kuasa wanita)!

Itulah dua perkataan yang tergiang-giang di dalam fikiran saya setelah menonton pementasan Teater Ekamatra, Heart(h).

Kenapa Girl Power?

Kerana pementasan ini dijayakan oleh enam wanita yang mengkagumkan. Heart(h) adalah hasil tulisan dan arahan Zizi Azah Abdul Majid, arahan dibantu oleh Fezhah Manan dan dilakonkan oleh Karen Tan, Shida Mahadi, Nur Suhaili Safari Wijaya dan Molizah Mohd Mohter (Moli).

Heart(h) mengisahkan pertemuan empat wanita – seorang ibu hamil, seorang bekas banduan, seorang aktivis NGO dan seorang wanita bekerjaya yang bertemu di atas jambatan yang memisahkan Syurga dan Neraka.

Mereka yang mati pada tahun-tahun yang berlainan perlu bekerjasama untuk merentas jambatan.

Dalam perjalanan itu, barulah mereka tahu mengapa mereka diketemukan: Iaitu untuk menjawab soalan-soalan peribadi yang tidak dapat mereka huraikan ketika mereka hidup. Soalan-soalan yang hanya boleh dijawab oleh orang lain.

Sekali lagi Zizi menikam para penonton dengan ketajaman mesej dalam bahasanya. Skrip yang menyentuh isu-isu kaum hawa seperti feminisma, cinta dan perasaan, penderaan hati dan fikiran, kecurangan dan juga naluri dan tanggungjawab sebagai isteri, anak dan ibu.

Walaupun secara keseluruhannya, isu-isu dan mesej- mesej yang diketengahkan cukup perit untuk ditelan, Zizi ada menyelitkan beberapa dialog yang mencuit hati, yang membuat penonton terbahak- bahak ketawa!

Apatah lagi dengan lakonan selamba Karen Tan apabila beliau membawa watak seorang penagih dadah.

Watak utama Karen ialah sebagai seorang warga Malaysia yang menjadi warga Singapura pada usia 40 tahun, yang memilih untuk tidak berkahwin setelah cinta sejatinya meninggal dunia.

Beliau juga membawa watak Aman, seorang penagih dadah dan suami kepada watak Mastura, yang dibawa oleh Moli. Kalau mahu berbual tentang persembahan Karen Tan dalam membawa watak-wataknya, tidak cukup ruang nampaknya!

Emosi dan perasaan setiap watak jelas dipaparkan bukan hanya dengan tutur kata tapi juga dengan gerakkan badan dan nada suara yang menarik penonton ke dalam dunia watak-watak itu.

Kekuatan lakonan Karen Tan ditingkatkan lagi dengan lakonan mantap Shida Mahadi, Nur Suhaili Safari Wijaya dan Moli.

Shida mempunyai tenaga dan stamina yang amat sihat. Walaupun watak utama yang dibawanya sebagai Nora amat aktif daripada mula hingga akhir, beliau tidak kehilangan fokus atau suara. Amat konsisten!

Syabas! Suhaili pula berkesan sebagai Intan, seorang wanita era 50-an yang tampak tertib dan taat kepada suaminya yang tidak menghiraukannya, cukup dengan nada suara ala Saadiah.

Penonton sekali lagi dihidangkan dengan suara merdu Suhaili dalam Heart(h).

Moli pula, walaupun sudah lama ‘bercuti’ daripada berlakon, masih lagi ada umph!

Perwatakkan beliau sebagai seorang ibu dan isteri yang kehilangan anak akibat kelalaian sendiri menyentuh hati para penonton. Namun begitu, ada kalanya, Moli kelihatan lelah diatas pentas. Tetapi ia tidak menjejas persembahan beliau.

Dari segi arahan, Zizi dan Fezhah boleh dikatakan satu yang baik. Arahan selaras dengan wirasa cerita dan tidak meleret dengan aduan dan rungutan walaupun isu-isu yang diketengahkan berat. Set dan rekaan lampu juga menambahkan rasa mistik dalam cerita ini.

Nampaknya, di bawah naungan sekumpulan artistik yang baru, Teater Ekamatra akan mengegarkan lagi arena teater Melayu tanah air.

Saya harap Teater Ekamatra akan terus mementaskan cerita-cerita yang dekat di hati kita.

Cyberita

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: