Tenung Tajam Saja Matikan Degupan Jantung Sang Kambing

29 Apr

Oleh
Mohsin Mohd Said

HANYA dengan mendengar judul filem ini, The Men Who Stare At Goats, anda pasti sudah terasa agak tertarik untuk menontonnya. Biasanya, dalam industri filem masa kini, judul sesebuah filem itu memberi penonton satu bayangan apakah inti filem tersebut.

Namun, bagi filem ini, ia merupakan satu wahana yang akan membakar keinginan penonton untuk mencungkil rahsia sebenar filem ini.

Seperti yang telah dibayangkan oleh judul filem ini, filem ini dihasilkan berdasarkan sebuah buku The Men Who Stare at Goats (2004), hasil karya penulis, Jon Ronson.

Hasil daripada usaha penyelidikan John Sergeant, buku ini sebenarnya ingin mendedahkan rahsia tentera Amerika Syarikat dalam menggunakan teknik- teknik peperangan yang lebih bersifat mistik atau dari satu sudut pandangan yang lain, menggunakan kaedah paranormal.

Pengarah, Grant Heslov, berjaya menyatukan pelakon veteran dan juga muka baru dalam menjayakan filem komedi ini. Bukan itu sahaja, unur-unsur komedi yang Grant cuba ketengahkan di sini adalah sesuatu yang lebih bersifat intelektual.

Ini adalah kerana, setiap adegan lucu sebenarnya merupakan satu sindiran terhadap dunia realiti. Ia memerlukan perhatian yang agak tajam untuk memahami mesej yang tersurat.

Bob Wilton (Ewan McGregor), wartawan Ann Arbour, berjaya menemu ramah seseorang lelaki, Gus Lacey (Stephen Root), yang mengaku mempunyai suatu kuasa akal yang luar biasa. Akan tetapi, Wilton mempunyai satu anggapan yang dia hanyalah seorang yang kurang siuman.

Namun begitu, semuanya berubah apabila Wilton pergi ke Kuwait untuk menyiasat perang Iraq. Wilton berjaya menemui seorang anggota tentera khas, Lyn Cassady (George Clooney), yang juga merupakan salah seorang pelopor bagi satu pasukan tentera khas yang dikenali sebagai New Earth Army.

Pasukan khas ini menggunakan kaedah yang dianggap luar biasa dan banyak menggunakan kuasa paranormal untuk menjalankan operasi-operasi mereka. Antara kebolehan mereka adalah menembusi tembok, meletupkan awan dan yang paling menarik, mematikan degupan jantung seekor kambing hanya dengan tenungan mata.

Kumpulan pasukan khas yang diterajui Bill Django (Jeff Bridges), yang menjelajah seisi Amerika dalam tahun 1970-an untuk memperhalusi kaedah-kaedah peperangan sebenarnya bermula apabila dia ditembak di medan perang Vietnam.

Pada tahun 1980-an, Django berjaya mendidik dua askar, Larry Hooper (Kevin Spacey) dan juga Lyn Cassady, yang dianggap sebagai yang terbaik.

Namun, persaingan antara mereka berdua berjaya menghasilkan api kebencian yang meluap-luap. Persaingan itu sebenarnya berpunca daripada perbezaan pendapat terhadap falsafah pasukan mereka. Lynn berpendapat bahawa mereka harus lebih fokus dalam kebolehan mereka untuk mendatangkan kebaikan kepada dunia, manakala perhatian Larry pula lebih tertumpu kepada anasir-anasir mistik.

Wilton dan Lynn terpaksa menempuh pelbagai cabaran sewaktu mengharungi satu opersai di Iraq dimana mereka harus berdepan dengan lambaian ajal yang sentiasa menghampiri mereka.

Akhirnya, mereka diselamatkan sebuah firma penyelidikan yang sebenarnya dimiliki Larry. Larry yang memulakan syarikat penyelidikannya terutama terhadap penggunaan kuasa akal yang luar biasa. Selain itu, dia juga mendapat khidmat Djangjo, kini seorang kaki botol dan juga menghadapi masalah kemurungan.

Wilton berjanji yang dia akan mendedahkan kisah ini bagi tatapan sedunia tanpa meninggalkan sedikit kesan sejarah mengenai pasukan khas Djangjo demi keselamatan mereka.

Kesudahan filem ini amat menarik.

Di pejabatnya, Wilton biasa menguasai kuasa akalnya sendiri, dan dia berjaya menembusi tembok pejabat itu.

Cyberita

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: