Tak Kalah Hebat

1 Aug

Oleh
Hanim Mohd Saleh

POPULARITI mereka mungkin di tahap ‘jaguh kampung’ tetapi kehebatan kebanyakan artis Singapura untuk menawan hati peminat di sini cukup luar biasa.

Tanpa tarikan sebarang artis luar negeri, artis-artis tanah air membuktikan mereka tetap mampu menggegarkan panggung dengan muzik berkualiti, vokal mantap dan keyakinan diri yang tinggi dan, yang paling penting, melariskan semua penjualan tiket konsert!

Itulah kesan yang dirasakan selepas menyaksikan konsert Rentak Singapura yang berlangsung di Pusat Budaya Politeknik Republic pada 8 Ogos lalu.

Cukup mengagumkan apabila menyaksikan artis-artis tempatan seperti Nana, Zaibaktian, Sleeq, Didicazli, Fadly X-Tech, Salma serta band Merah, The Sallys dan Project Band masing-masing menunjukkan kehebatan beraksi di depan para penyokong.

Bahkan Nana, yang popularitinya melonjak menerusi lagu Lafazkan, ciptaan Jaliboy, cukup membanggakan dengan tarikan suara pada nada tinggi tetapi dapat dikawal dengan begitu hebat sehingga meremang bulu roma penonton mendengarnya.

Apatah lagi dengan kemunculan dua Singapore Idol Singapura – Taufik Batisah dan Hardy Mirza – bagai nak roboh dewan konsert dibuatnya.

Bahkan empat finalis Anugerah 2009 – Kunjung, Sarah Aqilah, Chirul dan Wawan – juga mempunyai penyokong kuat mereka sendiri.

Konsert yang dianjurkan dengan kerjasama stesen Warna 94.2 FM dan Ria 89.7 FM, Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) juga diadakan sempena pelancaran talian Tabung Amal Aidilfitri (TAA) yang dirasmikan tetamu terhormat majlis, Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef.

Ia juga diadakan sempena Projek Rentak, sebuah pertandingan penciptaan lagu tempatan.

Empat deejay radio – AB Shaik, Nora Kirana, Aura Shai dan Fiza O – pula menggamatkan suasana dengan keletah mereka membawa pelbagai watak, daripada petikan daripada kisah fail Madu Tiga kepada menjadi klon selebriti Hollywood.

Dalam acara itu juga, penyanyi Didicazli memulakan peranannya sebagai Duta TAA tahun ini.

Dalam meraikan bakat-bakat muda masa kini, Rentak Singapura tentu akan lebih berkesan jika menyertakan seniman mapan yang telah banyak mempengaruhi muzik tempatan.

Pemain gitar handalan seperti Moliano Rasmadi, Zoul, Art Fazil, Ramli Sarip dan Rahimah Rahim tentu masih mampu memberikan persembahan yang berinspirasi, apatah lagi jika digandingkan dengan para penyanyi muda.

Presiden Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus), Yusnor Ef, yang juga anggota Lembaga Pengarah Compass, berkata beliau teruja dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan kepada artis-artis tanah air.

Apabila ditanya apakah sambutan seperti itu menandakan bahawa Singapura sudah bersedia mempunyai majlis penganugerahannya sendiri, Yusnor berkata perkara itu seharusnya sudah bermula tahun ini dengan penganjuran AnugeraHitz.

AnugeraHitz, yang seharusnya merupakan projek kerjasama antara Compass dengan MediaCorp, ditangguhkan berdasarkan keadaan ekonomi.

‘Saya berharap usaha menganjurkan anugerah muzik peringkat tempatan seperti AnugeraHitz dapat dilaksanakan tahun depan. Perkara ini akan dibincang lagi… mudah-mudahan sebelum akhir tahun,’ katanya.

Projek Rentak tahun ini dimenangi Noorhaqmal Mohamed Noor atau Aqmal N, yang menyertakan lagu berentak ‘muzik dunia’, bertajuk Warkah Cinta Dunia. Beliau menerima hadiah wang tunai $3,000, trofi dan sijil pengiktirafan.

Tempat kedua pula dimenangi Shahridzuan Selamat, dengan lagu Setia Menanti. Beliau mendapat hadiah wang tunai $1,000, trofi dan sijil pengiktirafan.

Penerima hadiah sagu hati bernilai $500 dan trofi ialah Shahran Sohaib (Cinta Selamanya), Haramain Osman (Kucing Kemari) dan Aryan Siswanto Kamsani (Hanya Memori).

Sarah Aqilah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: