Variasi: Shaheizy Sam, Yana Diiktiraf

24 Oct

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

2010/10/24
KRU Studios raih enam trofi, dijangka catat kejayaan berganda malam ini

SEBANYAK 12 kategori yang bertanding pada Festival Filem Malaysia Ke23 (FFM23) sudah diketahui pemenangnya menerusi acara perasmian festival berkenaan yang diadakan serentak Anugerah Cipta, malam Rabu lalu, manakala selebihnya akan disampaikan sempena Anugerah Perdana FFM23, di Shah Alam, malam ini.

Enam trofi diraih filem terbitan KRU Studios menerusi Magika dan My Spy sekali gus membuktikan syarikat milik Bumiputera itu akhirnya membuktikan langkah mereka terjun dalam dunia perfileman menerusi filem sulung, Cicakman pada 2006 nyata berbaloi.
Pernah dulu, produser KRU Studios, Norman Abdul Halim terasa hati dan tertanya sendiri apakah segala usaha mempertingkatkan mutu industri perfileman hanya diperlekehkan apabila produksi mereka sering gagal membolot sebarang pencapaian utama. Namun, kali ini semua pertanyaan itu berlalu pergi malam Rabu lalu tatkala Magika mengumpul empat pencapaian awal pada Anugerah Cipta, sementara My Spy membawa kemenangan berganda apabila menyumbang dua trofi – Filem Komedi Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik.
Kejayaan yang disifatkan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios itu sebagai titik permulaan untuk memulakan era baru kepada industri perfileman tempatan apatah lagi kini menanti tayangan filem termahal mereka, Hikayat Merong Mahawangsa yang menelan bajet RM8 juta.

“Magika menjadi pencetus era baru kepada dunia perfileman tempatan dan saya akui, ia filem terbaik pernah dihasilkan KRU Studios setakat ini. Saya memang berbangga dengan penghasilan Magika kerana filem ini mengupas subjek yang luas diadun bersama elemen muzikal, drama dan komedi untuk memperkemaskan lagi garapannya,” kata Norman sejurus selesai majlis perasmian FFM23.

Magika yang masih ditayangkan di pawagam dan kini meraih kutipan RM3.3 juta menang trofi Anugerah Kostum/Busana Terbaik, Anugerah Penataan Seni Terbaik dan Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi kemenangan Fimie Don, manakala Pengarah Magika, Edry Abdul Halim mencipta sejarah peribadi apabila sentuhan pertamanya itu memberikannya trofi Pengarah Harapan.

Edry berkata, pengkarya sejati tidak meletakkan pengiktirafan sebagai sasaran utama setiap kali bertekad menghasilkan sesebuah karya.
Baginya, keikhlasan dan kejujuran perlu didahulukan kerana tanpanya sesebuah produksi tidak akan tampil terbaik di mata khalayak.

“Kemenangan Magika memberi ruang kepada filem muzikal untuk terus mendapat tempat pada masa akan datang kerana ketika menghasilkannya, kami sendiri berdepan kesulitan untuk melabel filem ini dalam kategori apa,” katanya.

Untuk kategori itu, Edry mengenepikan Farid Kamil (V3: Samseng Jalanan), Jason Chong (Belukar), Hor Chee Leong (Haq) dan Rosihan Zain (Hooperz).

Pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Shaheizy Sam juga pernah melalui episod yang pernah membuatnya terkilan dan hampir berputus asa dengan dunia lakonan. Sam akui, dia kerap menyoal dirinya sendiri di mana kekurangannya hingga menyekat laluan bakatnya untuk membolos dalam senarai finalis.

“Tetapi persoalan itu yang memberi dorongan kepada saya terus berusaha. Setiap hari saya menanam azam tinggi untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Saya tidak kisah jika tewas di mata juri kerana menjadi juara di hati peminat sudah cukup baik. Semua yang saya lakukan kerana peminat. Saya tidak kejar pengiktirafan tetapi bukan bermakna saya tidak hargai kemenangan ini,” katanya.

Yana Samsudin pula mengenepikan saingan daripada Lisa Surihani dan Ziana Zain apabila menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem box-office, Adnan Sempit. Pertaruhan panjang buat Yana atau nama sebenarnya, Norliana kerana sudah tujuh tahun berada dalam industri hiburan, terlalu banyak ditempuhinya. Pernah berdepan kekecewaan apabila karier nyanyian yang diceburi gagal memberikan impak, Yana seterusnya beralih kepada dunia lakonan.

Ditebak bagaimana jika kemenangannya diperdebatkan, Yana mengakui, lakonan Lisa dan Ziana jauh lebih hebat untuk diangkat sebagai pemenang. Namun, watak Wawa dibawanya menguji kredibilitinya sebagai pelakon kerana dituntut mencorakkan sendiri karakter itu.

Anugerah Cipta juga mengiktiraf dua pelakon bukan Melayu, Daphne Iking dan Shashi Taran sebagai Pelakon Harapan Wanita dan Lelaki. Daphne menang kategori itu menerusi filem, Belukar manakala Shashi atas tiket Estet.

“Saya berterima kasih kepada Mamat Khalid yang membuka laluan kepada saya memasuki filem arus perdana. Ini filem Melayu pertama lakonan saya dan tanpa disangka menghadiahkan pengiktirafan besar. Kemenangan ini memberi saya semangat untuk terus serius sebagai pelakon dan meninggalkan jawatan tetap di sebuah syarikat swasta,” katanya Shashi.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: