Variasi: Shira Bimbang Persepsi Orang

24 Oct

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

2010/10/24
DI sebalik senda tawa dan gurauannya, ada secebis perasaan halus yang menjalar dalam diri pelakon serta pengacara versatil, Sharifah Shahira yang tidak disedari khalayak kerana acap dibayangi perilaku cerianya.

Shahira barangkali mudah membuat khalayak selesa dengan telatah spontannya namun ternyata semua itu belum mampu membebaskan dirinya daripada memikirkan satu persoalan besar.
“Saya terlalu takut dengan persepsi orang, bimbang jika ada yang mengata kalau tersalah laku,” dedah Shahira atau mesra disapa Shira pada satu pertemuan, petang Isnin lalu.
Pemilik nama lengkap Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar yang meraikan ulang tahun ke-36 pada 14 Oktober lalu itu berkata, setiap kali diselubungi perasaan gusar dia akan meluahkan kebimbangan itu kepada suaminya, Zulkifli Azhari atau lebih dikenali sebagai Ijoy.

“Saya akan tanya Ijoy apa betul saya begitu dan begini. Saya tidak suka mencari gaduh dengan sesiapa. Paling saya elakkan jika naik turun mahkamah. Saya benci pergaduhan. Jika berlaku pertengkaran atau perselisihan faham, selalunya saya akan mengambil langkah pertama untuk mengalah. Saya tidak suka memanjangkan cerita.

“Memilih hidup sebagai anak seni membentuk saya menjadi manusia yang bertolak ansur dan matang. Jika pun ada sesuatu yang kurang disenangi, saya selesa menyimpannya sendiri. Sampaikan keluarga pun tahu saya jenis tahan lasak,” kata Shira yang memilih untuk menggembirakan hati mereka yang berada di kelilingnya daripada menyakiti sesiapa.

Wanita kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, kepekaannya itu bukan bermakna dia menolak kritikan atau enggan menerima kekurangan dirinya.

Shira sentiasa bersikap terbuka dengan pandangan masyarakat, namun sekiranya apa yang diperkatakan itu tidak mencerminkan dirinya, dia selesa membiarkan ia berlalu begitu saja.

Katanya, mereka yang mengkritik barangkali tidak mengenalinya secara dekat kerana sejak bergelar pelakon dia tidak pernah berubah.

Biarpun ketika ini populariti sedang memeluk dirinya, Shira enggan menjadikan perkara itu sebagai halangan untuk dia terus mendekati orang ramai.

“Jika bukan kerana suka berlawak, mungkin ada yang beranggapan saya sombong berdasarkan air muka saya. Dulu pun saya sering dipandang jahat. Mungkin kerana sering membawakan watak jahat dalam drama membuatkan ada yang kurang senang dengan kehadirannya.

Saya berkawan dengan semua orang, tidak mengira apa latar hidup mereka. Jujurnya saya senang berkawan dengan sesiapa saja.

“Cuma saya kurang selesa berkawan dengan orang yang terlalu kaya. Saya tidak tahu bagaimana mahu menyesuaikan diri. Cukuplah bersederhana,” bicaranya tulus.

Shira turut memberitahu, dia sebenarnya seorang yang sensitif dan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduknya.

“Saya tidak suka memburukkan orang. Jika marah sekali pun, saya akan meredakan kemarahan itu dengan membuat lawak.

Semua orang ada masalah dalam hidup. Saya juga tidak terlepas daripada berduka. Cuma saya tidak membiarkan duka itu berlarutan kerana selesa menggembirakan orang lain.

“Paling saya elakkan kalau bercakap kosong. Apa yang peminat lihat di kaca televisyen, begitulah saya di luar. Sama saja kerana dengan keluarga juga saya begini,” katanya.

Ibu kepada Allisya, Airell, Airra dan Auddra bersyukur kerana mendekati dua dekad bergelar anak seni, Tuhan masih mencurahkan rezeki berpanjangan untuk dia terus menikmatinya.

Bagaimanapun, kata Shira, rezeki yang mencurah datang tidak sesekali membuatkan dia pantas lupa diri atau berbelanja mewah.

Shira melihat kesenangan yang diberikan Allah itu sebagai pinjaman selain ujian supaya dia terus beringat dan tidak leka ketika diri berada di puncak.

‘Tak kisah dilabel pelakon stereotaip’

BAGI Sharifah Shahira arau Shira , populariti yang diraihnya ketika ini tidak datang sekelip mata. Ia hadir bersama kerja keras kerana sejak mula berlakon, dia tidak pernah jemu membanting tulang untuk mencipta nama.

“Mungkin sudah tertulis ketika ini rezeki untuk saya lebih sedikit. Tetapi saya tidak boros. Setiap pendapatan saya akan simpan kerana kita tidak pernah tahu bagaimana rezeki pada hari mendatang. Kata orang, beringat sebelum hujan. Cuma sekarang, ramai yang datang mahu meminjam wang. Mungkin mereka ingat saya sudah kaya. Saya belum kaya tetapi selesa,” katanya merendah diri.

Dilihat lebih aktif sebagai pengacara, Shira berkata, dia masih diaju tawaran berlakon dan acap watak yang diserahkan kepadanya menjurus kepada karakter komedi. Baginya, apa saja watak yang diberikan biarpun pernah dibawakan sebelum ini tidak akan diketepikan begitu saja kerana dia percaya, masih ada cabaran menanti di sebalik peranan itu.

Akuinya, dia menggemari watak komedi romantis seperti yang dibawakan Meg Ryan dalam When Harry Met Sally, Sleepless In Seattle dan French Kiss.

Kata Shira, dia kurang selesa membawakan watak ganas atau sedih bukan kerana tidak mampu melakonkan peranan itu.

Sebaliknya, peminat lebih senang menerimanya dengan watak komedi dan dia cuba memenuhi kehendak mereka tanpa banyak alasan.

“Kehendak khalayak bukan masalah besar kepada saya. Saya tidak bimbang dilabel stereotaip jika itu menjadi identiti lakonan saya.

Julia Roberts dan Sandra Bullock juga mempunyai identiti lakonan mereka tersendiri cuma watak diberikan berbeza. Mereka tetap orang yang sama apabila ditonton di layar perak.

“Cuma mungkin mereka lebih bernasib baik kerana mendapat watak yang sepadan dengan karakter, jadi penonton dapat melihat kelainan dalam lakonan mereka,” katanya.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: