Archive | November, 2010

Ibu Bapa Pink Tahu Dia Hamil Dari Radio

30 Nov

LOS ANGELES 29 Nov. – Penyanyi terkenal, Pink kecewa kerana ibu bapanya hanya mengetahui dia mengandung melalui berita di radio selepas cerita kehamilannya tersebar di media lebih awal.

Penyanyi itu sedang mengandung anak sulung bersama suaminya, Carey Hart dan berita kehamilannya mula diperkatakan di Internet pada awal bulan lepas sebelum ia sempat diumumkan kepada rakan-rakan baik serta keluarganya.

Pink mengakui, dia kemudian memilih untuk mengumumkan berita gembira itu secara terbuka menerusi rancangan temu bual The Ellen DeGeneres Show selepas ibu bapanya tahu tentang perkara tersebut.

“Kami mengambil keputusan untuk menunggu dan tidak mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Namun orang ramai mula bercakap tentangnya sehingga ibu bapa kami mengetahuinya melalui radio,” kata penyanyi itu kepada akhbar Britain, The Sun.

Minggu lalu, bapa Pink, James Moore mendakwa dia tidak tahu jika anaknya itu hamil dan sempat berjenaka dengan mengatakan dia sepatutnya menonton The Ellen DeGeneres Show.

“Perkara itu masih belum diberitahu saya. Kali terakhir saya bercakap dengan Pink dua minggu lalu, dia tidak bercakap apa-apa dengan saya,” katanya kepada RadarOnline.

Moore bagaimanapun berkata, dia gembira untuk Pink dan Hart sekiranya berita tersebut benar. – Agensi

Utusan

Filem Harry Potter Terus Terajui Carta

30 Nov

LOS ANGELES 29 Nov. – Filem Harry Potter and the Deathly Hallows: Part One terus mencipta kejutan pada carta box office Amerika Utara sepanjang minggu ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tempat pertama walaupun terpaksa bersaing dengan pencabarnya, filem animasi baru terbitan Disney, Tangled.

Menurut penjejak box office, Exhibitor Relations, siri terbaru filem itu memperoleh kutipan tiket berjumlah AS$50.3 juta (RM158.7 juta) dari Jumaat hingga Ahad. Ia menjadikan kutipan tiket keseluruhan filem itu di Amerika Syarikat (AS) kini lebih AS$220 juta (RM694.3 juta) ketika ia terus mencipta rekod di seluruh dunia.

Namun filem itu hampir tewas kepada filem animasi puteri berambut panjang yang popular, Tangled apabila ia mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$49.1 juta (RM154.9 juta) bagi tempoh yang sama dan AS$69 (RM217.7 juta) sepanjang lima hari tayangan ketika AS bercuti sempena menyambut hari kesyukuran pada hujung minggu.

Sementara itu, filem animasi komedi antisuperhero, Megamind yang menggunakan suara Will Ferrell di tangga ketiga dengan memperolehi kutipan tiket sebanyak AS$12.8 juta (RM40.3 juta) sepanjang tiga hari itu.

Merampas kedudukan di tangga keempat ialah filem Burlesque yang juga memulakan tayangannya pada hujung minggu. Filem muzikal yang membariskan pelakon seperti Cher dan Christina Aguilera memperolehi kutipan tiket sebanyak AS$11.8 juta (RM37.2 juta).

Filem Unstoppable, yang dibintangi oleh Denzel Washington dan Chris Pine sebagai dua watak utama yang berani untuk cuba menghalang pelanggaran sebuah keretapi yang gagal dikawal serta dipenuhi dengan bahan kimia berbahaya berada di tangga kelima dengan kutipan tiket berjumlah AS$11.7 juta (RM36.9 juta).

Filem romantik komedi Love and Other Drugs, lakonan Anne Hathaway dan Jake Gyllenhaal menduduki tangga keenam dengan kutipan memberansangkan pada minggu pertama tayangan iaitu sebanyak AS$9.8 juta (RM30.9 juta). Ia diekori filem Faster yang berada di tangga ketujuh, AS$8.7 juta (RM27.4 juta).

Filem komedi Due Date di tangga kelapan, AS$7.3 juta (RM23 juta), manakala filem The Next Three Days di tangga kesembilan, AS$45.8 juta (RM15.1 juta) dan filem Morning Glory di tangga ke-10 dengan kutipan sebanyak AS$4 juta (RM12.6 juta). – AFP

Utusan

Karnival Upin & Ipin

30 Nov

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN


MASKOT Upin dan Ipin.

BERMULA dari siri animasi di televisyen selama lima hingga tujuh minit setiap episod, watak comel siri Upin & Ipin kemudian beraksi ke layar yang lebih besar.

Siri terbitan Les’ Copaque Productions (LCP) muncul dengan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula dan mendapat sambutan hangat sehingga mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Fenomena watak adik beradik botak, Upin dan Ipin itu memang tidak dapat disangkal sehingga ia berjaya menambat hati penonton di negara seberang pula iaitu di Indonesia.

Tidak cukup dengan aksi mereka di kaca televisyen dan di panggung, pelbagai produk Upin & Ipin turut dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminat.

Langkah mereka tidak terhenti di situ apabila LCP terus mengatur pelbagai strategi mengekalkan aura si comel ini dengan menganjurkan satu karnival khas Upin & Ipin bagi menghargai sokongan jutaan peminatnya di seluruh negara.

Karnival yang diberi nama Karnival Upin & Ipin yang juga merupakan anjuran bersama TV9 akan berlangsung selama lima hari di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam, Selangor bermula 24 hingga 28 Disember ini.

Karnival Upin & Ipin yang diadakan bersempena dengan cuti sekolah ini akan diisi dengan pelbagai program menarik yang turut melibatkan ibu dan bapa bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Menurut Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md. Radzi, pelbagai program menarik dan lain daripada yang lain telah diatur sepanjang karnival ini berlangsung.

Katanya, selain daripada pameran dan jualan, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya persembahan khas pelakon suara Upin & Ipin, pertandingan mewarna, serta sukaneka yang boleh disertai seisi keluarga.

Apa yang menarik juga, beliau memberitahu, satu perarakan animasi dengan penyertaan pelbagai watak dalam siri animasi ini turut diadakan untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Burhanuddin berkata, peminat Upin & Ipin juga berpeluang untuk mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Upin & Ipin pada hari karnival berkenaan yang turut menawarkan pelbagai faedah.

“Kami juga akan mengadakan pameran sukan bermotor serta tayangan filem animasi adalah antara yang menarik untuk dinantikan.

“Apa yang pasti, karnival ini menjanjikan keseronokan kepada para pengunjung khususnya kanak-kanak, peminat setia Upin & Ipin serta orang ramai yang berminat untuk mengetahui proses penghasilan animasi berteknologi tinggi ini.

“Orang ramai yang berminat untuk menyewa tapak di karnival ini boleh menghubungi pihak kami,” katanya pada sidang akhbar Karnival Upin & Ipin di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambah Burhanuddin, pengunjung juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan melalui pelbagai pertandingan di karnival itu seperti tiket penerbangan dan pelbagai lagi.

LCP mensasarkan lebih 50,000 pengunjung terutama kanak-kanak akan berkunjung ke karnival ini sebagai pelengkap percutian persekolahan akhir tahun mereka.

Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Feisal Abdul Malik, kerjasama antara LCP dan TV9 itu bukan pertama kali kerana LCP animasi Upin & Ipin disiarkan di TV9.

“Sebagai rakan media, TV9 akan turut menyiarkan aktiviti-aktiviti menarik di karnival itu di dalam rancangan TV9 seperti di Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9 dan juga Adik Di 9.

“Kami berharap acara ini akan menjadi acara tahunan sepanjang musim sekolah dan semoga kerjasama antara TV9 dan LCP akan berterusan dan berkekalan,” ujarnya.

Selain Karnival Upin & Ipin pada bulan Disember ini juga, pelbagai perancangan yang telah diatur oleh LCP bagi terus mempromosikan animasi ini.

LCP kini sedang giat menghasilkan filem terbaru Upin & Ipin iaitu Laksamana Upin & Ipin yang akan menemui penonton pada tahun 2012.

Watak-watak dalam Upin & Ipin bakal terpampang di setem-setem tempatan hasil usaha Pos Malaysia Berhad pada bulan depan.

Selain itu, oleh kerana sambutan hangat siri animasi itu di Indonesia, sebuah syarikat telefon bimbit di sana, Nexian, akan melancarkan telefon bimbit Upin & Ipin.

Turut akan diwujudkan sebuah program baru yang bakal disiarkan di TV9 pada tahun depan di TV9 iaitu Kelab Upin & Ipin yang formatnya menyerupai Mickey Mouse Club yang cukup popular di Holywood.

Utusan

Hujan Promosi E-Commerce

30 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


ANGGOTA-anggota Hujan terpaksa menggunakan payung kerana tempias hujan lebat sewaktu majlis pelancaran album mereka baru-baru ini.

SEBAGAI pemuzik dan penyanyi generasi baru, kumpulan Hujan tidak terkecuali melalui pelbagai perubahan terutamanya soal penerbitan album. Album mereka kini tidak terhad kepada cara fizikal iaitu menerusi kaset dan cakera padat sahaja.

Sebaliknya, selain jualan album secara muat turun digital, Hujan turut tidak ketinggalan membuat persediaan bagi memasarkan album-album mereka pada masa akan datang di Internet menerusi sistem e-commerce.

Pemain keyboards Hujan, Hang Dimas berkata, dia bersama kumpulannya kini sedang mempromosikan jualan pelbagai produk Hujan secara e-commerse di Internet sebagai persediaan pada masa depan.

“Kami mahu mempromosikan jualan produk-produk Hujan secara e-commerce atau membelinya secara talian di Internet. Kami yakin pada masa depan jualan pelbagai produk termasuklah muzik popular di e-commerce.

“Ini kerana, setakat ini tidak ramai yang menggunakannya termasuklah membelinya melalui laman YouTube,” katanya pada sidang akhbar pelancaran album terbaru Hujan berjudul Lonely Soldier Boy di Kuala Lumpur

baru-baru ini.

Album yang mengandungi 14 lagu dan diterbitkan oleh syarikat rakaman Morning Rocket Sdn. Bhd. serta diedarkan Warner Music Malaysia itu mula dipasarkan pada 25 November lalu dengan kos rakamannya berjumlah RM30,000.

Menurut Dimas, melalui jualan secara e-commerce Hujan bukan setakat menjual album terbitan mereka tetapi juga produk-produk seperti kemeja-T yang boleh dibeli secara terus dan mudah di Internet.

Katanya, pendekatan itu dilakukan bagi mempertingkatkan lagi jualan produk-produk mereka di mana ia tidak terhad kepada jualan secara fizikal kaset dan cakera padat yang kurang memberangsangkan akhir-akhir ini.

“Selain itu, Hujan juga cuba memperkembangkan lagi produk atas jenama kumpulan ini dengan menjalankan sendiri sebuah kedai yang diberi nama Morning Rocket yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kami yakin perniagaan e-commerce akan berkembang pesat dan menjadi salah satu cara perniagaan yang cepat, mudah dan menguntungkan pada masa depan. Sebab itu, kami harus mulakan dari sekarang,” ujarnya.

Hujan yang turut dianggotai oleh Noh selaku vokalis dan gitaris serta Izzat (bass) mungkin tiada masalah bagi memasarkan produk-produk mereka kerana mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sesawang MySpace.


MIZZ Nina turut hadir memberi sokongan dan sempat mengambil gambar tunangnya, Noh yang beraksi bersama Hujan pada persembahan tersebut.

Selain klip video mereka yang diluncuri lebih 2 juta pengunjung di YouTube, Hujan juga banyak mendapat sokongan daripada para peminat fanatik yang dikenali sebagai Raingers setiap kali mereka mengadakan persembahan.

Sementara itu, Noh tidak menafikan Raingers banyak menyokong Hujan selama ini termasuklah memberi inspirasi dalam penciptaan lagu-lagu dan lirik-lirik yang dihasilkan dalam album-album kumpulannya itu.

“Album Lonely Soldier Boy merupakan sebuah album yang boleh dihayati oleh segenap lapisan pendengar sampaikan golongan makcik-makcik (tua) juga boleh menghayatinya. Contohnya lagu Di Kala Bulan Bermain Biola,” komennya.

Sewaktu ditanya tentang judul album dan konsep muzik yang ditampilkan kali ini ia merupakan antara pengaruh dan kecenderungan anggota-anggota termasuklah yang dipetik daripada elemen-elemen komik.

Misalnya, judul album Hujan, Lonely Soldier Boy merupakan pengaruh daripada sebuah komik Jepun yang dipersembahkan dengan gaya olahan mereka sendiri selepas mereka mendapatkan kebenaran daripada pemegang hakciptanya.

“Asalnya lagu Lonely Soldier Boy berasal daripada lagu kartun Jepun di mana kami olahnya pada tahun 2006. Lagu itu hakciptanya daripada sebuah syarikat penerbitan di Jepun. Warner Music Malaysia telah membantu kami.

“Kartun dari Jepun itu popular pada tahun 1982 di mana kami telah pun berjaya mendapat kebenaran bagi menggunakan karya itu dalam lagu tersebut,” katanya yang turut ditemani tunangnya, penyanyi Mizz Nina pada majlis tersebut.

Selain melancarkan album Lonely Soldier Boy, Hujan pada petang itu turut mengadakan persembahan istimewa secara percuma di hadapan kira-kira 200 peminat mereka dengan menyampaikan lapan buah lagu.

Dalam pada itu, Noh tidak menafikan dia turut mendedikasikan lagu berkonsepkan balada berjudul Walaupun Jauh buat Mizz Nina dalam album itu yang kesemua lirik dan lagunya hasil ciptaannya sendiri.

“Lagu itu biasa sahaja macam lagu tipikal Melayu yang lain. Ia mengisahkan tentang hubungan saya dan Mizz Nina. Walaupun kami tinggal tidak jauh tetapi kami masih berjauhan sebab belum berkahwin,” terangnya.

Selepas pelancaran album itu, Hujan telah menghiburkan para peminat mereka dengan lapan buah lagu berjudul Obsesi, Kita Tak Peduli, Bahagia, Muda, Jangan Kejutkan, Lonely Soldier Boy, Inspektor Ramos dan Mencari Konklusi.

Utusan

Tomok Tetap Tomok!

30 Nov

SELAMA setahun menunggu, kini juara One In A Million 3 (OIAM3), Tomok lega kerana impian muncul dengan album solo pertama menjadi realiti.
Berada di pasaran sejak 14 Oktober lalu, ia memuatkan 12 lagu untuk halwa telinga pendengar.

Memilih judul Tomok, pastinya ada harapan yang tersimpan di sebaliknya.

Ini kerana Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk dikenali sebagai Shah Indrawan. Namun, kini sudah berubah.


Tomok yang ditemui pada majlis pelancaran albumnya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Khamis lalu berkata, memang dia pernah rancang untuk tukar nama kepada Shah Indrawan, tetapi tidak berbuat demikian selepas berfikir panjang.

“Saya fikir lebih baik kekal dengan nama Tomok memandangkan peminat pun sudah tahu. Lagi pun, ia mudah di sebut dan kalau guna nama Shah, mungkin peminat keliru. Ramai juga artis yang nama mereka, Shah, jadi biarlah Tomok saja.

“Malah, jika ada peminat memanggil nama Tomok New Boyz pun, saya tak kisah apatah lagi berasa malu. Biarpun, kini muncul dengan album solo, namun saya masih lagi vokalis utama New Boyz. Jujurnya, saya akui bangga dengan New Boyz.

“Saya menceburi bidang nyanyian ini bermula dengan New Boyz. Malah, banyak pengalaman manis kami bersama yang mana ketika itu jualan album pernah mencecah 80,000 hingga 100,000, jadi mana mungkin memori indah ini dilupakan.

“Apapun, sekarang fokus saya lebih kepada album solo dan New Boyz terpaksa dilupakan sementara. Namun, hubungan kami semua sesama anggota masih baik dan saling memberi sokongan. Sedikit sebanyak, ia pembakar semangat saya,” katanya.

PROFIL

NAMA: Shah Indrawan Ismail

NAMA KOMERSIAL: Tomok

TARIKH LAHIR: 17 Mei 1984

UMUR: 26 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

MULA TERBABIT SENI: 1999 bersama New Boyz dan menghasilkan enam album dan satu album The Best Of

KERJAYA: Penyanyi dan pelakon

LABEL REKOD: Monkey Bone Records

GENRE: Pop Rock

TELEMOVIE: Pulau Inspirasi dan Meraung

FILEM: Mantera (Belum ditayangkan)

PENCAPAIAN: Juara OIAM musim ke-3, Duta Puma, Finalis AIM 17, Finalis GAH 1, Finalis AJL 24 dan berjaya ke AJL 25 menerusi lagu Berlari

Harian Metro

IYAZ Anak Manja

30 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

BIARPUN popular sebagai penyanyi dan meraih pendapatan lumayan sejak dua tahun lalu, namun kerana masih muda iaitu pada usia 22 tahun, Iyaz masih bergantung kepada ibunya dalam menjalani kehidupan seharian.

Menurut Iyaz atau nama sebenarnya Keidran Jones, dia sentiasa berhubung dan jarang berjauhan dengan ibunya termasuklah sewaktu mengadakan persembahan di luar negara yang mengambil masa agak lama.

“Saya mudah rindukan rumah dan ibu saya. Banyak perkara yang saya fikirkan apabila berjauhan dengan ibu saya seperti biskut yang dimasaknya sewaktu di rumah. Apabila berjauhan seperti ini saya pasti terkenangkannya.

“Sebab itulah ada yang menggelarkan saya sebagai anak emak,” katanya pada sidang akhbar sempena persembahannya pada Anugerah Shout! yang diadakannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada kunjungan kali pertama ke negara ini, Iyaz diundang mengadakan persembahan pada Anugerah Shout! 2010 anjuran stesen televisyen 8TV di Stadium Putra, Bukit Jalil bersama artis-artis tempatan yang lain.

Iyaz yang kini popular menerusi lagu Replay dan Gonna Get This itu berkata, dia berbesar hati diundang beraksi pada anugerah itu biarpun terpaksa berjauhan dengan ibunya yang banyak memberi dorongan selama ini.

“Saya memang rapat dengan ibu saya di mana banyak perkara saya luahkan kepadanya. Misalnya soal teman wanita. Malah, segala perbelanjaan yang saya gunakan turut saya ceritakan kepada ibu saya untuk pengetahuannya,” ujarnya.

Namun, demi kerjayanya penyanyi yang berasal dari British Virgin Island, Amerika Syarikat (AS) ini tidak menjadikannya suatu halangan sebaliknya peluang bagi meluaskan lagi populariti lagu-lagunya di rantau Asia Tenggara.

Justeru, apabila diundang mengadakan persembahan pada Anugerah Shout! 2010, Iyaz tidak menoleh ke belakang kerana daripada situ dia dapat mengenali artis-artis tempatan yang sedang popular ketika ini.

“Saya berasa berbesar hati apabila dijemput mengadakan persembahan pada anugerah itu. Sejujurnya saya tidak mengenali artis-artis di negara ini tetapi berbangga apabila dapat berkongsi pentas dengan mereka.

“Pada masa sama, para peminat di negara ini akan lebih mengenali lagu-lagu saya. Secara tidak langsung ia akan mempromosikan lagi album single terbaru saya berjudul Solo. Kalau dijemput lagi saya akan datang ke sini lagi,” jelasnya.

Sungguhpun dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu pop, tetapi Iyaz begitu terbuka dengan genre muzik lain termasuklah meminati kumpulan punk rock terkenal (AS), Green Day yang disifatkannya begitu unik dan hebat.

Lantaran itu, maka tidak hairanlah penyanyi kulit hitam yang pernah berduet dengan Charice melalui lagu Pyramid ini turut menyimpan angan-angan untuk berkolaborasi dengan Green Day pada suatu hari nanti.

“Saya adalah salah seorang peminat Green Day. Saya suka menonton konsert mereka termasuklah apa juga perkara yang mereka lakukan. Ia begitu unik sekali. Kalau ada peluang saya ingin berkolaborasi dengan Green Day.

“Selain itu, saya juga meminati Michael Jcakson dan hajat saya untuk berkolaborasi dengannya dalam lagu. Sayangnya dia sudahpun meninggal dunia. Beliau merupakan penyanyi pop yang terhebat di dunia,” katanya.

Pada 2009 Iyaz yang diperkenalkan oleh penyanyi Sean Kingston itu tampil dengan album single berjudul Replay. Lagu itu menduduki tempat kedua dalam carta Billboard Hot 100 di United Kingdom dan Australia.

Utusan

Album Tomok RM200,000

30 Nov

SEKALIPUN mengambil tempoh lama menghasilkan album, siapa sangka bajet pelaburan menghasilkan album Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail mencecah RM200,000.

Lebih berani lagi, syarikat rakaman Monkey Bone memuatkan lebih 10 lagu walaupun pasaran album masih bermasalah.

Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian berkata, pihaknya yakin album Tomok mampu mencapai jumlah jualan memuaskan.

Ini kerana, beliau yakin Tomok mempunyai kelompok peminatnya.


“Biarpun kita sedia maklum keadaan pasaran album sekarang kurang baik, tetapi masih ada saluran lain seperti muat turut lagu dan nada dering.


“Namun, saya tetap berharap peminat Tomok akan membeli album ini di pasaran.

“Disebabkan itu, nama Tomok turut dikekalkan memandangkan peminat sudah mengenalinya. Jika tukar nama baru, peminat keliru.

“Malah, ketika persembahan di Indonesia baru-baru ini pun, peminat kenal Tomok dengan nama ini,” katanya.

Monkey Bone juga dalam perancangan untuk memasarkan album Tomok di Indonesia memandangkan ada lagu berjudul Cintaku Di Indonesia ciptaan Tomok.

Bagaimanapun, Edris menafikan lagu itu dimuatkan sebagai strategi menembusi pasaran Indonesia.

Harian Metro

Dr. Mahathir Sumber Inspirasi Siti Nurhaliza

30 Nov

KEPUTUSAN drastik yang diumumkan Siti pada sesi sidang akhbar pertama ABPBH yang diadakan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini sebetulnya mengejutkan ramai pihak.

Bahkan, keputusan dibuat Siti itu dianggap ada baik dan buruknya, tetapi ia harus dihormati.

Ujar Siti, keputusannya itu adalah muktamad dan berharap semua pihak merestuinya.

“Siti akui ia satu keputusan yang agak sukar kerana sedar, pelbagai kecaman atau spekulasi akan timbul.

“Tapi, Siti tetap dengan keputusan ini dan berharap, ia tidak mendatangkan keburukan dalam karier seni saya.

“Ahli kelab peminat Siti, CT Zone juga telah diberitahu terlebih awal mengenai perkara ini dan mereka menghormati kehendak Siti.

“Siti berterima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan seni saya selama 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan,” jelas Siti merendah diri.

Tambah anak jati Kuala Lipis, Pahang itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi sumber inspirasi dan kekuatannya ketika dia membuat keputusan untuk menarik diri daripada acara tahunan itu.

Katanya, sewaktu Dr. Mahathir ingin bersara dahulu, tokoh itu berada di puncak pentadbirannya.

Namun, legenda negara itu tekad berundur selepas mentadbir negara dengan cemerlang.

“Begitulah juga situasi yang saya kaitkan dengan diri Siti. Siti sudah berpuas hati dengan pencapaian Siti sepanjang bergelar anak seni.

“Siti juga sedar, sebagai penyanyi, Siti tidak akan berada di puncak untuk selama-lamanya. Jadi, tibalah masanya untuk Siti memperlahankan aktiviti seni Siti ketika ini dengan membuat keputusan tersebut,” jawab Siti menjelaskan keputusannya itu.

Penyanyi dan usahawan kosmetik itu juga akur, sekalipun keputusannya itu turut menyebabkan beliau tidak boleh dicalonkan lagi dalam penganjuran ABPBH edisi seterusnya, itu tidak menjadi isu kepadanya.

Utusan

Siti Percaya Pengganti Ditemui

30 Nov

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL


UNTUK edisi ABPBH kali ini, Siti Nurhaliza tidak sabar mahu hadiri sebagai penonton.

DARI mata kasar, kita semua sering melihat penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sempurna sebagai seorang anak seni.

Banyak rekod dilakar penghibur terkenal itu dan antara yang sukar digugat mana-mana penyanyi.

Paling diingati ramai ialah, beliau memegang rekod 14 kali meraih anugerah kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Selepas puas turun naik pentas menerima anugerah berkenaan, kali ini, penghibur kesayangan negara itu memilih untuk berundur diri daripada namanya disenarai sebagai calon untuk majlis anugerah popular itu.

Keputusan yang dibuat itu bukanlah didorong oleh rasa merajuk atau berkecil hati dengan mana-mana pihak.

Tidak juga terlintas di fikirannya, keputusannya berundur semata-mata untuk menguji kredibiliti artis lain yang boleh menggantikan tempatnya selaku penyanyi popular di Malaysia.

“Siti seorang yang sangat realistik. Siti percaya suatu hari nanti akan ada pengganti Siti Nurhaliza.

“Tapi itu bukanlah tujuan utama saya membuat keputusan ini. Semua artis layak menang sekiranya mereka mendapat sokongan padu peminat,” jelas Siti menjawab setiap inci soalan yang diajukan kepadanya.

Paling utama juga, keputusan berundur daripada dicalon dalam mana-mana kategori ABPBH itu juga tegas Siti, bukanlah disebabkan kebimbangannya berhubung popularitinya.

Ada dakwaan yang menyebut, Siti bimbang namanya tersingkir daripada senarai pilihan peminat jika terus dicalonkan.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Cuma impian saya pada edisi ABPBH kali ini dan seterusnya hanyalah untuk melihat bakat baru mewarnai ABPBH. Itu saja,” tegas Siti menjelaskan salah faham segelintir pihak.

Untuk edisi ABPBH kali ini juga, apa yang dinantikan Siti ialah untuk melalui pengalaman menjadi penonton dan berteka-teki siapakah bakal pemenang bagi setiap kategori.

“Saya percaya, debaran kali ini pastinya berbeza berbanding sebagai calon. Dan saya teruja untuk menjadi penonton dan penyokong kuat acara ini,” kata Siti mengenai keinginannya itu.

Pada masa yang sama, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Cindai itu menyuarakan harapannya agar keputusannya itu dihormati oleh semua pihak termasuk pemujanya.

Utusan

Erma Belum Puas Dengan Natrah

30 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar oleh ZAKARIA IDRIS


Erma Fatima

TAHUN lalu, naskhah Natrah mencatat rekod sebagai pementasan teater tempatan yang paling mendapat sambutan hangat sewaktu ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Dengan pementasan sebanyak 14 kali dan mengaut kutipan tiket mencecah RM500,000 dengan bilangan penonton seramai 18,000 ia bukti sambutan baik daripada peminat teater Melayu.

Kerana itu juga, tidak hairanlah atas permintaan ramai, Natrah yang diarahkan oleh Erma Fatima dipentaskan semula mulai 25 November lalu hingga hingga 5 Disember ini di IB.

Biarpun mula dipentaskan di Panggung Sari untuk musim kedua, namun sutradara itu belum berasa puas dengan teater yang mengisahkan penderitaan gadis Belanda bernama, Natrah.

Menurut Erma, teater konflik dan dilema gadis malang itu mengenai cinta serta agama anutannya masih banyak yang perlu diperbaiki.

‘Saya belum puas hati dengan pementasan kali ini. Saya akan jawab sama ada akan terus tidak puas hati atau tidak pada pementasan malam-malam berikutnya atau salah satu daripadanya.

‘Apatah lagi, dengan adanya sedikit masalah teknikal pada pementasan malam ini yang khusus untuk wakil-wakil media massa menambahkan lagi rasa tidak puas di hati saya.

‘Rasanya cukuplah setakat ini sahaja musim pementasan Natrah. Lagi pun sudah dua musim ia dipentaskan,’ katanya sewaktu ditemui selepas pementasan itu di IB baru-baru ini.

Elemen hiburan Bollywood


SUASANA ceria kanak-kanak dan lagu-lagu latar termasuklah yang berentak Bollywood menceriakan pementasan Natrah.

PEMENTASAN teater kisah hidup wanita yang pernah menggemparkan negara sebelum Merdeka itu sebetulnya harus dilihat dari aspek yang lebih luas.

Erma sebagai teraju utama pementasan itu dilihat sangat berhati-hati dalam mementaskan naskhah yang sarat dengan sejarah dan fakta yang penting.

Lantaran itu, enggan audiens yang menonton teater itu penat berfikir sepanjang hampir 150 minit persembahan itu menyebabkan Erma menyelitkan unsur-unsur hiburan.

Paling menonjol tentunya elemen Bollywood dalam lagu yang diselitkan dalam teater berkenaan.

Jelas Erma, elemen lagu-lagu yang dikatakan persis lagu-lagu Hindi itu diselitkan tidak lebih sebagai hiburan dan ia masih bersesuaian dengan jiwa para penonton teater tersebut.

‘Saya selitkan lagu-lagu yang berentak begitu supaya para penonton tidak tertekan dengan ‘masalah’ yang dihadapi oleh Natrah. Ia sebagai ‘juadah’ untuk rehat seketika.


NATRAH masih mengekalkan Maya Karin dan Remy Ishak sebagai pelakon utamanya.

‘Lagi pun sejak zaman P. Ramlee lagi kita sudah biasa dengan lagu-lagu macam itu. Zaman mak bapa saya bercinta dulu pun dengan lagu-lagu yang ada pengaruh lagu-lagu Hindustan.

‘Jadi saya rasa tidak salah kalau saya menyelitkan lagu-lagu yang berirama sedemikian. Ia masih sesuai dan mampu menghiburkan para penonton,’ jelas Erma mengenai rasional dia berbuat demikian.

Sementara itu, pada masa sama beliau juga masih bersemangat mengarahkan Natrah biarpun sebelum ini pernah berhasrat melupakan karya itu kerana dikritik oleh pihak-pihak tertentu.

Erma antaranya dikatakan tidak memahami karya sejarah seperti elemen yang banyak terkandung dalam Natrah sehingga ia dikatakan hampir melemahkan semangatnya.

‘Dalam isu itu saya sudah buangnya jauh-jauh dalam tong sampah. Isu itu pernah jatuhkan semangat saya tetapi saya bangkit semula.

‘Bagi saya, naskhah Natrah harus dibaca bukan sahaja daripada mata kasar tetapi daripada sudut mata hati. Natrah bukan karya sejarah. Sejarah hanya latar belakangnya sahaja,’ ujarnya.

Utusan