Shamrin Fotograf Meninggal Dunia

11 Nov

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Vokalis Fotograf, Shamrin Abdul Samad meninggal dunia secara mengejut ketika bermain bola sepak petang tadi.

Allahyarham, 45, mengalami kekejangan otot dan terduduk di padang selepas 15 minit perlawanan persahabatan artis dengan sebuah syarikat insurans di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Dia telah dibawa ke Hospital Perubatan Islam Kampung Baru dan disahkan meninggal dunia di sana sekitar jam 6.40 petang.

Shamrin meninggalkan tiga anak dan isterinya Jazrizatul Akma Abu Saman, 29, yang sedang sarat mengandung. Penyanyi lagu Di Alam Fana Cintamu ini baru sahaja merakam single duet bersama Farah Asyikin berjudul Kamu Aku Satu.

Menurut rakan arwah, Johan Aziz yang turut bermain bola sepak bersama, Shamrin tiba-tiba terduduk dan mengadu kekejangan otot.

“Arwah ada mengadu penat sebelum turun bermain bola. Dia betul-betul di depan saya semasa terduduk,” kata Johan.

Difahamkan arwah kepenatan kerana memenuhi undangan mengadakan persembahan malam tadi.Pagi ini arwah terlibat dalam majlis pelancaran syiling peringatan P.Ramlee di Balai Seni Lukis Negara.

“Arwah nampak beriya-iya bermain bola walaupun dia mengadu penat,” kata Joey BPR yang juga bersama-sama dalam perlawanan persahabatan itu.

Sementara itu, pemuzik Lola sangat terkejut kerana dia terlibat mengiringi arwah di Balai Seni Lukis Negara.

“Arwah sangat riang dan tak menunjukkan tanda-tanda dia mahu pergi. Malah dia tergesa-gesa mahu ke padang bola selepas tamat acara,” katanya.

Penyanyi Salwa Abdul Rahman yang sama-sama berada dalam majlis pelancaran syiling tersebut terkejut apabila mendapat berita kematian Shamrin kerana dalam pertemuan beberapa jam sebelum itu arwah sangat riang dan banyak berbual dengannya.

“Arwah juga ada bertanya pasal bayaran show yang dia belum terima sedangkan saya dan artis lain sudah mendapat bahagian. Banyak sangat kami berbual masa itu. Tak sangka dia dah nak pergi. Itulah rasa ralat pun ada juga. Lain kali kalau seseorang itu sihat sekalipun sebelum berpisah dalam mana-mana majlis, kenalah bersalaman dan bermaafan dulu,” kata Salwa.

Fotograf telah menghasilkan lima buah album dan popular dengan lagu Luka Seribu Rindu, Nafas Kekasih, Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata dan Aku Yang Kecewa.

Allahyarham baru sahaja disunting menjadi artis naungan Alibi Music dan merancang untuk kembali aktif dalam bidang seni. Bagaimanapun, Allah lebih menyayangi allahyarham dan menjemputnya lebih awal kembali ke rahmatullah.

Jenazah akan dikebumikan pagi esok di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya. Semoga allahyarham ditempatkan di kalangan insan yang beriman. Al-fatihah.

 

Mangga Online

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: