Raja Azmi Suruh Roslin Mandi Bunga

14 Nov

Oleh Zaidi Mohamad

2010/11/14
Serik untuk cari jodoh bekas jaguh badminton kebangsaan

SIAPA yang tak kenal dengan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman. Kelantangan suaranya berdebat mengenai sesuatu isu termasuk menghasilkan karya ‘panas’ sedikit sebanyak menghangatkan lagi nama isteri kepada Jailani Sidek itu.

Malah, di sebalik rumah tangga yang dibinanya bersama bekas jaguh badminton negara itu selama 26 tahun, nama Raja Azmi turut terpalit sama kononnya menjalinkan hubungan dengan jaguh badminton negara, Roslin Hashim. Ia timbul ekoran dua siri perkahwinan Roslin yang berakhir dalam tempoh yang pendek.
Gara-gara kisah itu pun Raja Azmi sampai kena masuk lokap selepas satu waran tangkap dikeluarkan hingga terpaksa bermalam semalaman di situ. Hal itu dikatakan terjadi kononnya selepas bekas isteri Roslin, Nurhayati Othman berjaya memerangkap mereka yang berada di sebuah hotel.
Menghubunginya baru-baru ini, dia yang sedang rancak mempromosikan fasa awal filem … Dalam Botol tidak melihat tuduhan skandal bersama Roslin yang dianggapnya sebagai adik mengganggu gugat bahtera perkahwinannya. Ternyata Raja Azmi dan Jailani Sidek masih bahagia.

“Tak ada apa yang perlu disembunyikan. Apa yang terjadi tidak langsung memberi kesan hubungan saya dengan suami. Suami saya sendiri tahu yang kami memang rapat. Tak ada makna kami mempunyai hubungan yang serius. Saya dan suami masih baik dengan Roslin.

“Tambah pula, kami sudah tinggal sebumbung sejak 11 tahun lalu. Cuma selepas ini, saya memang sudah serik untuk mencari jodoh buatnya lagi. Saya tidak akan mencampuri urusannya lagi dalam soal peribadi. Selepas ini, apa yang dia nak buat terpulang kepadanya.

“Apa yang saya dapat tahu, dia (Roslin) nak cari bakal isteri yang muda. Dengan apa yang terjadi kepada dua rumah tangganya sebelum ini, saya rasa memang dia perlu mandi bunga barangkali. Mungkin ada sumpahan atau badi dalam kehidupan keluarganya sebelum ini,” katanya.

Sekalipun tertekan dan malu hingga terpaksa merengkok di lokap, Raja Azmi mempunyai sebab untuk tidak terus melayan perasaannya. Apa yang lebih penting sekarang ialah menanti kehadiran dan maklum balas masyarakat terhadap buah tangan terbarunya yang diarahkan Khir Rahman iaitu filem … Dalam Botol.

Menurut Raja Azmi, filem itu dijangka ditayangkan pada Februari 2011. Difahamkan satu sesi pratonton filem terbabit kepada penulis blog diadakan baru-baru ini sebagai promosi awal. Filem yang menelan belanja mencecah RM1 juta itu diklasifikasikan bagi tontonan 18 tahun ke atas.

“Dalam setiap filem yang diterbitkan, tidak pernah wujud istilah puas hati. Namun apa yang boleh saya katakan, saya gembira dengan hasil filem … Dalam Botol. Saya juga tidak sesekali akan membandingkan filem terdahulu saya dengan yang terbaru.

“Lumrah dalam apa juga yang dilakukan, penghasilan filem ini tidak terkecuali membuatkan saya kecewa. Memang ada babak yang tak dapat ditunjukkan tapi tak banyak. Begitu juga dengan tajuk asal filem ini yang memaksa perkataan Anu itu digugurkan,” katanya mengenai filem yang diambil daripada kisah benar seorang kenalannya yang masih hidup di Kuala Lumpur.

Kata Raja Azmi, dia seperti biasa akan terus tegar untuk menerima sebarang kritikan pada masa mendatang terhadap filem itu. Raja Azmi juga tidak kisah jika filem itu tidak mendapat kutipan pecah panggung kerana apa yang lebih penting ialah niatnya untuk berdakwah dan memberi mesej serta pengajaran kepada masyarakat.

“Sama saja dengan kehidupan peribadi saya yang terus diperkatakan, filem ini juga saya yakin dan terbuka untuk menerima sebarang komen. Saya sendiri mengambil risiko mengambil pelakon baru. Tetapi semuanya muktamad kerana pelakon Arja Lee dan Wan Raja dipilih peminat sendiri berdasarkan undian SMS.

“Filem ini bukan soal keghairahan seks atau filem porno, sebaliknya subjek cinta itu yang perlu diutamakan. Tidak kiralah cinta sejenis atau normal kerana cinta itu menuntut pengorbanan yang amat besar. Cuma apa yang boleh saya katakan, cinta sejenis ini lebih dahsyat daripada orang biasa,” katanya yang tanpa berselindung mengagumi cinta golongan itu.

Ditanya mengenai watak utama yang dilakonkan Arja Lee sebagai Ruby dan Rubidin, Raja Azmi memberitahu dia sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan jejaka kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu. Memeranjatkan, Raja Azmi turut menyifatkan bakat Arja Lee lebih bagus daripada Rosyam Nor.

“Kalau tak percaya boleh tanya Khir Rahman sendiri yang melatih Arja berlakon. Hal itu memang sangat benar. Pada pandangan peribadi saya, Rosyam Nor sebenarnya belum cukup bagus sebagai pelakon. Tetapi kalau nak cakap popular itu, Rosyam memang amat dikenali,” katanya.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: