Semai Cinta Di Lantai Tari

14 Nov

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

2010/11/14
pix_gal0
180 peserta sertai Pertandingan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010

LIUK tari mereka begitu membuai perasaan. Apa yang jelas, mereka mampu menyampaikan mesej atau makna tertentu melalui gerak tubuh. Enam pasangan penari profesional dipilih menjuarai pelbagai kategori dalam Pertandingan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010 yang berlangsung di Golden Palm Tree Resort & Spa Sepang Goldcoast, Sungai Pelek, Bagan Lalang, Selangor, baru-baru ini.

Pertandingan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010 menjanjikan pengalaman hebat apabila 180 peserta dari 18 negara di seluruh dunia merebut gelaran juara dalam enam kategori iaitu Junior Latin, Amateur Latin, Profesional Latin, Profesional Standard, Pre-Amateur Latin dan Amateur Standard.
Dalam pertandingan yang julung kali diadakan dan dianjurkan Golden Palm Tree Resort & Spa Sepang Goldcoast itu, pasangan Sam Hunter dan Charlotte Plant merangkul gelaran juara kategori Junior Latin, Massimo Acrolin dan Luba Mustuck (Amateur Latin), Alexandra Cameretto dan Nancy Berti (Profesional Latin), Warren dan Kristi Boyce (Profesional Standard), Michael Badong dan Solier Mahani Kamil (Pre-Amateur Latin) dan Mikhail dan Olesya Eremeera (Amateur Standard).
Selain tuan rumah, antara negara yang menyahut cabaran Pertandingan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010 ialah Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Jepan, China, Hong Kong, Taiwan dan Korea. Peserta lain dari England, Australia, New Zealand, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Jerman, Austria, Greece, Russia, Perancis, Ukraine, Macau dan Sweden juga mempamerkan kehebatan serta kreativiti mereka di pentas tarian. Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie.

Bagi Sam Hunter, 16, dari England, pengalaman dan didikan secara formal memberi kelebihan kepadanya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa, malah dia bersama pasangannya, Charlotte Plant, 14, sudah berada di pentas tari sejak berusia 10 tahun.

“Saya bersama Charlotte berlatih bersama sejak kecil lagi. Mungkin sedikit kelebihan buat kami apabila lahir dari keluarga seni. Kami mendapat tunjuk ajar dari ibu bapa yang juga penari profesional. Bukan hanya Malaysia, kami sudah menyertai pelbagai pertandingan di Amerika, Russia, Ukraine dan banyak negara lagi sejak bergiat aktif dalam dunia tari.

“Kami melakukan latihan bersama selama empat jam setiap hari, selepas pulang dari sekolah. Itu yang dipraktikkan sejak kecil lagi. Saya merasakan ada keserasian bersama Charlotte, mungkin disebabkan kami sudah bersama sejak kecil. Dan hari ini, minat dalam bidang tarian bertambah mendalam apabila kerap menyertai pertandingan.

“Saya dan Charlotte mahu menjadi penari profesional, tumpuan kami hanya dalam bidang tarian. Memang kadang kala terasa penat, kerana selain bersekolah, kami harus menumpukan pada latihan tarian, tetapi ia cukup memberi kepuasan apabila kami dapat menjuarai pertandingan,” katanya.

Bagi Charlotte, 14, dia juga kagum dengan pembangunan di Malaysia, malah gemar dengan makanan seperti mi. Dia tidak menyangka Malaysia mempunyai pusat peranginan seperti Golden Palm Tree Resort & Spa Sepang Goldcoast yang turut dikenali Syurga Pesisir Pantai Terpanjang Di Asia.

“Hembusan angin menyuntikkan rasa tenang dan damai. Pemandangan persekitaran yang menarik cukup merehatkan minda. Menambahkan lagi kekaguman ialah pemandangan pusat percutian yang memperlihatkan struktur villa terapung atas air, tersusun cantik serta membentuk pulau pokok palma seperti di Dubai. Saya difahamkan, Golden Palm Tree turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai resort pokok palma terpanjang,” katanya yang ingin kembali ke situ suatu ketika nanti.

Bagi Kristi, dia dan suaminya, Warren sudah menari bersama sejak 10 tahun lalu. Mereka menyertai Dance Club Levi sejak tahun 1975 lagi. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Glenn Richard Boyce, 9.

“Soal peribadi, biarlah ia menjadi rahsia. Bagi kami, apabila pasangan suami isteri menari bersama menjadikannya lebih mudah dan serasi. Kami tidak mahu melepaskan peluang menyertai apa saja pertandingan sejak hidup bersama, malah ini bukanlah kami pertama kami di Malaysia. Kami pernah menyertai pertandingan tarian Genting Highlands pada Ogos lalu.

“Setiap tahun pasti ada saja pertandingan yang disertai, kalah atau menang, itu bukan soalnya. Selain dapat bersama dan menikmati keindahan negara yang dilawati, kami percaya hubungan kami semakin kukuh. Bukan saya tidak percaya dengan suami, lantas melepaskannya dengan penari lain, tetapi kehidupan suami terurus dengan adanya isteri di sisi. Apatah lagi kami sama-sama meminati bidang tarian,” kata pasangan dari England itu. Mereka turut merahsiakan usia mereka.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: