Tuah Kahwin Kali Ketiga

14 Nov

Oleh Zaidi Mohamad

2010/11/14
pix_gal0
Pengacara RTM, Nurul Alis akhiri zaman janda dengan jejaka Inggeris, Qais Mitchell Abdullah

PERKAHWINAN pertama bekas personaliti dan pengacara sukan RTM ini dengan lelaki Melayu hanya mampu bertahan selama empat tahun. Hasil perkahwinan diatur keluarga, pasangan itu dikurniakan anak bernama Shamal yang kini berusia 14 tahun. Perkahwinan kedua wanita bernama Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki, 35, ini pula ditakdirkan bertahan selama lapan tahun saja.

Hasil perkongsian hidupnya dengan bekas suami kedua, yang juga berdarah Cina bernama Adian Yein itu dikurniakan dua anak perempuan bernama Sophea, 9, dan Sonya, 6. Dua tahun menjanda akhirnya finalis Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi 2008 itu dipertemukan dengan jejaka Inggeris berusia 40 tahun bernama James Mitchell.
James yang memeluk Islam dan menggunakan nama Qais Mitchell Abdullah itu sah bergelar suami Kiki pada 30 Oktober lalu, selepas Asar di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Pasangan secocok ini bercinta pada hujung 2008 beberapa bulan selepas Kiki berpisah dengan Adian sekitar September tahun yang sama. Suaminya itu pernah menjadi peneman ketika Kiki menghadiri kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands.
“Kami secara tidak rasminya mengikat tali pertunangan pada 31 Disember dan menjelang sambutan 1 Januari lalu di Langkawi ketika sama-sama bercuti di sana. Majlis perkahwinan yang kami buat pun secara kecil-kecilan. Selain keluarga, kawan, bekas suami saya yang pertama juga tidak lokek membantu melancarkan majlis.

“Kami tak bersanding, sebaliknya sejurus selesai acara akad nikah, turut diadakan majlis makan di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Pusat Konvensyen Sime Darby membabitkan tidak sampai 100 orang. Keesokannya, diadakan majlis keraian atau bertandang di rumah keluarga saya di Gombak. Majlis itu dihadiri dalam anggaran 700 orang saja,” katanya yang ditemui B’Pop baru-baru ini di The Gardens, Mid Valley.

Sekalipun sudah sah bergelar isteri kepada duda yang mempunyai dua anak lelaki itu, Kiki mengakui masih tidak dapat melupakan pengalaman perit berdepan dengan pereka fesyen terkenal yang ditugaskan menyiapkan baju kahwin dan jubah anak-anaknya. Bayangkan Kiki hanya mendapatkan bajunya dua hari sebelum majlis pernikahan berlangsung.

“Tugas pereka fesyen itu hanya menjahit saja berpandukan fesyen dan rekaan yang saya impikan. Kain saya beli sendiri. Kain itu dihantar kepadanya sejak sebelum bulan puasa lagi. Saya memilih pereka fesyen itu pun atas saranan kawan sendiri. Tapi tak sangka pula, gara-gara pereka fesyen yang satu ini, pening dan tertekan juga saya jadinya.

“Alasan yang diberikan pereka fesyen ini, dia sibuk dengan pertunjukan fesyen yang berlangsung di ibu kota. Kata baju siap pada tarikh tertentu, semuanya ‘nan adoo’. Malah, saya sampai terpaksa pusing satu Petaling Jaya dan ke sebuah tempat ‘jin bertendang’ bersama pereka fesyen itu untuk bertemu tukang jahit yang diberi mandat menyiapkan baju terbabit.

“Nak ikutkan memang makan hati dengannya. Malah kawan saya sendiri menyatakan kebimbangan andai baju itu tidak siap dan menyarankan saya mencari baju sandaran lain. Bagaimanapun, hati saya yakin berkata, baju itu akan siap juga seadanya. Alhamdulillah, siap juga. Boleh dikatakan saya masih berpuas hati dengan hasilnya sekalipun terpaksa menunggu lama,” kata Kiki yang mempunyai kemahiran dalam bidang fesyen kerana pernah menuntut di sebuah institut berkaitan bidang yang sama.

Penyatuan dua hati berlainan bangsa dan budaya ini secara jelasnya mengikuti jejak golongan selebriti lain seperti Anita Sarawak, Serina Redzuawan dan Ning Baizura yang memilih mat salih sebagai suami. Kata Kiki, tidak kira apa juga bangsa atau agama kita, kalau sudah namanya jodoh apa daya kita untuk menghalang.

“Kita tak boleh samakan semua orang, kalau bercakap soal tiada jodoh dalam perkahwinan. Sesama Melayu pun belum tentu kekal, apatah lagi yang berlainan bangsa. Saya sendiri pernah melalui fasa duka dalam perkahwinan pertama. Harapnya kebahagiaan akan menjadi milik mutlak saya bersama James. Dua tahun mengenalinya, saya boleh katakan sudah mengenali hati budinya.

“Keluarga saya gembira dengan pilihan ini. Selepas ini, tugas saya pula untuk mendekatkan hubungan dengan keluarga suami. Insya-Allah menjelang Krismas nanti, kami akan ke Brisbane untuk bertemu ibu angkatnya di sana. Mungkin dalam awal tahun depan kami bercadang ke Melbourne pula untuk bertemu ahli keluarga suami yang lain,” katanya yang sudah bersedia untuk menambah bilangan anak bersama Qais.

INFO:

Suaminya memeluk Islam pada Julai tahun lalu dan pernah bekerja sebagai pekerja Teknologi Maklumat dan menjadi perunding kepada bank di beberapa negara termasuk Kuwait. Kini Qais bertugas sebagai Pengurus Projek di sebuah bank di Kuala Lumpur.

Tiada wang hantaran yang diletakkan sebaliknya hanya bertukar sarung cincin dan hantaran lima dulang berbalas tujuh. Mas kahwin pula sebanyak RM80.

Baru saja berpindah dari Ara Damansara ke SS2 Shah Alam sejak Ogos lalu. Rumah di Ara Damansara itu sudah dijual dan apartmen yang dibelinya di Shah Alam itu boleh dianggap sebagai istana hinggap buat sementara waktu sebelum berpindah ke rumah di USJ Heights yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Kiki dan Qais turut berkongsi minat yang sama dalam sukan permotoran kenderaan berkuasa tinggi.

Kiki bergelar isteri menerusi perkahwinan pertamanya di usia 19 tahun.

Memanggil suaminya dengan panggilan Baby, manakala Qais pula memanggilnya dengan nama Sayang. Kata Kiki, Qais sudah banyak belajar perkataan dalam Bahasa Melayu.

Kiki bercadang untuk berbulan madu di Turki atau Morroco supaya dapat menerapkan lagi nilai Islam kepada suaminya itu.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: