Konsert Solo Francissa Peter

18 Nov

Ditulis oleh Nonie
  
  

Jarang sekali kedengaran kisah diva pada era 80-an ini. Alih-alih penyanyi yang popular dengan lagu Aku Hanya Pendatang dan Sekadar Di Pinggiran ini mahu bikin konsert pada awal tahun depan. Pastinya konsert ini menjanjikan kehebatan tersendiri, sementelah pula, diva ini sudah 33 tahun mengabdikan diri kepada dunia seni.

Kesempatan berjumpa diva ini di majlis pelancaran album Untaian Ilham Estetika Habsah Hassan yang turut memuatkan lagu-lagunya digunakan ManggaOnline (MO) sepenuhnya membicarakan aktiviti terbaru dan kehidupannya kini. MO sendiri membesar dengan lagu-lagu Francissa Peter yang ketika itu popular dengan gaya rambut kembang.

“Walau jarang muncul dalam media, saya tetap aktif dengan aktiviti seni dan selalu memenuhi jemputan korporat. Dan sebagai memenuhi permintaan peminat yang tak putus-putus memberi sokongan, ada pihak yang sudi menaja untuk mengadakan konsert solo saya sebagai menyambut ulang tahun ke-33 dalam dunia seni.

“Konsert ini mungkin akan diadakan pada awal tahun depan. Memang tak sabar nak buat konsert dan harapnya akan ada peminat yang sudi hadir. Saya jarang muncul di kaca televisyen dan inilah peluang untuk bersua semula dengan peminat.

“Ramai yang bertanya kenapa tidak buat konsert kerana masih ramai yang rindukan lagu dan suara saya. Sekarang impian ini bakal direalisasikan. Peminat amat penting untuk kerjaya saya,” ujarnya yang bakal muncul di pra Anugerah Juara Lagu dengan Sekadar Di Pinggiran.

Berjauhan Dengan Suami

Raut wajahnya tidak banyak berubah daripada yang MO kenali dulu di kaca tv. Peramah dan lantang ketika berbicara kisah kehidupan yang dilaluinya kini. Lebih senang memenuhi hari-hari dengan kesibukan kerja, Fran nyata cuba menyembunyikan kesunyiannya lantaran suami tercinta jauh terdampar di kota London.

“Bukannya sengaja duduk berjauhan. Suami saya bekerja dan tinggal di London. Dia memang biasa travel dan bekerja di pelbagai tempat. Selalunya kami berjumpa dua atau tiga kali dalam setahun.

“Saya tak mahu ikut suami sebab hati dan keluarga saya di Malaysia. Lagipun saya tak sanggup tinggalkan peluang yang ada di sini.

“Memang susah untuk kekalkan perkahwinan yang dibina sejak 1993, namun adalah amat penting untuk ada pasangan yang memahami. Namun saya amat bertuah ada ibu dan ibu mertua yang sangat baik. Pada merekalah selalunya saya rujuk masalah dan cuba mencari perspektif dalam perkahwinan.

“Nasihat saya untuk mereka yang belum berkahwin supaya kenali diri sendiri sepenuhnya. Kalau boleh stabilkan karier dulu sebelum membina keluarga,” ujar duta The International Aid Organisation World Vision in Malaysia.

FOTO oleh NOOR AZLINA BINTI JAAFAR

 

Mangga Online

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: