Salam Terakhir Memang Dibuat Untuk Sudirman – Habsah Hassan

18 Nov

Ditulis oleh Nonie
  
  

“Saya memang rapat dengan allahyarham Sudirman. Bila rapat banyak perkara yang kami kongsi bersama dan di situ uniknya setiap lirik yang saya cipta untuk dia. Bila buat lirik kami boleh menangis bersama kerana setiap lagu ada cerita tersendiri.

“Sebenarnya Salam Terakhir dibuat lama sebelum allahyarham sakit lagi. Lirik ini memang saya buat khas untuk dia sebab Sudirman katakan dia mungkin tak akan hidup lama. Bila saya tanya kenapa, katanya dia hanya dapat merasakan perkara tersebut. Lirik itu dibuat sambil saya membayangkan apabila Sudirman sudah meninggal dunia.

“Lagu itu tak popular ketika keluar di pasaran. Salam Terakhir hanya menjadi siulan selepas allahyarham meninggal dunia,” begitulah luahan penulis lirik terkenal, Habsah Hassan pada majlis pelancaran album Untaian Ilham Estetika Habsah Hassan.

Salam Terakhir turut dimuatkan dalam album kompilasi istimewa bersama 32 buah lagu popular seperti Aku Hanya Pendatang (Francissa), Cinta Beralih Arah (Aishah), Cukuplah Sekali (Jay Jay), Cinta Nusantara (Sheqal), Suratan Atau Kebetulan (Kenny Remy & Martin), Wajah Rahsia Hati (Fauziah Ahmad Daud) dan banyak lagi.

Seindah Nukilan Habsah Hassan

Penglibatannya hanyalah sekadar kebetulan. Peluang mencuba bakat datang daripada penerbit dan komposer Din Osman dengan lagu Terkenang. Enggan menoleh ke belakang lagi, Habsah Hassan mula bergiat aktif menghasilkan lirik untuk Sudirman, Salamiah Hassan dan Dahlan Zainuddin. Sehingga kini lebih 1000 lirik telah dihasilkan sepanjang 30 tahun pembabitannya dalam bidang ini.

Petuanya hanya satu, mengungkap perasaan yang wujud dalam setiap insan. Itulah indahnya nukilan rasa insan yang lebih mesra disapa Kak Chah ini sehingga yang berjaya menyentuh lubuk hati yang mendengar dan merasa.

“Kak Chah tak ada rahsia dalam penulisan lirik. Apa yang penting adalah kita tahu sasaran pendengar yang terdiri daripada pelbagai jenis. Cuba cari apa yang ada pada semua pendengar iaitu perasaan.

“Cinta itu luas dan tafsirannya pelbagai. Kita perlu bersedia dengan hati dan perasaan untuk selaminya. Tahap sensitiviti kepada hidup dan apa yang berlaku di sekeliling membantu mendapatkan lirik yang bagus. Tak mungkin kita dapat merasai pelbagai perasaan seperti marah, sayang, benci dan cinta jika kita hanya dengan diri sendiri.

“Selalunya Kak Chah akan dengar melodi berkali-kali sehingga lagu itu hidup dalam diri, ketika itu senang untuk bekerja untuk lirik. Tapi kalau diri tak dapat menjiwai melodi itu, Kak Chah akan tolak sebab hasilnya tentu tak bagus nanti.

“Namun sebagai seorang wanita, Kak Chah tak dapat lari daripada perasaan emosi. Dan waktu emosi terganggu adalah yang paling sesuai untuk buat lirik kerana ekspresi terhadap perasaan adalah yang paling tinggi ketika itu.,” ujarnya bersyukur diberikan penghargaan oleh Warner Music yang membantu merealisasikan impian mengumpulkan lagu tulisannya dalam sebuah album.

Masih mengekalkan seni berbahasa dalam nukilannya, wanita berusia 61 tahun ini amat mementingkan kehalusan makna dalam setiap melodi. Namun luahnya, zaman berlalu menyebabkan lirik semakin hilang seninya.

“Banyak perbezaan lirik dulu dengan sekarang. Bahasa yang digunakan juga semakin jelas membayangkan maksudnya. Dulu ada kiasan atau perbandingan. Mungkin juga pendekatan yang digunakan sesuai dengan keadaan sekarang.

“Muzik adalah tren dan sentiasa berubah. Namun pada akhirnya, orang tetap mahukan lagu yang boleh membuai perasaan. Lagu yang menyentuh hati tetap akan dikenang sepanjang zaman seperti lagu allahyarham P. Ramlee,” katanya yang akan menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-38 pada 18 November ini bersama suami tercinta Mohamad bin Jusoh, 63.

FOTO oleh NORAZLINA JAAFAR

Mangga Online

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: