32 Ilham Terbaik Kak Chah

20 Nov

BAGI pencinta dunia seni tanah air nama penulis lirik, Habsah Hassan, 61, tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan hanya berbakat dalam penulis lirik malah Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah pernah menulis beberapa karya skrip drama televisyen dan filem menarik seperti Hati Bukan Kristal, Soal Hati, Soalnya Siapa serta menghasilkan cerita dan lakonan layar untuk filem Qaisy & Laila.

Sentuhannya dalam penghasilan lirik juga terbukti apabila kebanyakan lagu ciptaannya mencatat sejarah dan menerima anugerah. Kerjasama Kak Chah bersama beberapa komposer terkenal tanah air juga mendapat maklum balas pelbagai daripada pendengar. Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang nyanyian Alyah yang dihasilkan dengan kerjasama Ajai turut mencatat sejarah tersendiri.

Pembabitan dalam penulisan lirik sejak lebih tiga dekad lalu membuatkan wanita yang mencatat sejarah sebagai penulis lirik lagu pertama yang dianugerahkan Piring Emas (Gold Disc) oleh Syarikat Rakaman WEA di Kuala Lumpur pada 1984 kerana berjaya menghasilkan paling banyak lirik lagu kesukaan ramai. Lirik lagu yang dihasilkan bukan hanya menyentuh perasaan dan berbekas di hati pendengar. Menurut Kak Chah dalam penghasilan lirik yang baik dia tidak mempunyai petua atau rahsia untuk menghasilkannya memandangkan ia antara kegiatan yang diceburi sejak sekian lama. Malah menganggap bidang seni diceburi itu sentiasa berkaitan dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan kaum.

“Pokok pangkal perasaan. Saya memang tidak ada rahsia dalam menghasilkan karya. Setiap karya yang saya hasilkan membabitkan perasaan seperti kisah dikhianati, suka, marah, berani dan sedih. Begitu juga apabila menyebut soal cinta kerana cinta cukup meluas membabitkan semua pihak. Cinta bukan hanya pada seseorang malah pada Yang Maha Esa, alam dan sebagainya.

“Apa yang lebih penting seseorang yang mahu menceburi bidang ini perlu ada bakat menulis. Bakat juga satu kelebihan. Bakat dalam penulisan juga perlu diasah. Seseorang itu perlu mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi. Suka mendengar dan rajin membaca. Apa yang saya sering lakukan ketika menghasilkan karya adalah mengikut naluri perasaan. Ada juga kisah yang ditulis dalam karya lagu membabitkan kisah dan pengalaman hidup saya sendiri serta kenalan,” katanya.

Menyorot pembabitan Kak Chah dalam penulisan lirik dia menjelaskan peluang untuk mencuba bakat dalam penulisan lirik datang daripada komposer terkenal, Din Osman. Pada mulanya dia agak keberatan, namun dengan bakat dan pengalaman menulis skrip drama yang ada padanya, dia akhirnya bersetuju menerima pelawaan Din Osman. Maka, terhasillah lirik Terkenang nyanyian Zulkiflee Ahmad (juara bintang RTM 1975) manakala melodinya dicipta Ooi Eow Jin pada 1976. Kak Chah kemudian menghasilkan lirik untuk Allahyarham Sudirman Arshad, Salamiah Hassan dan Dahlan Zainuddin yang bernaung di bawah label Warnada. Antara lirik terawalnya adalah Teriring Doa dan Suratku Yang Ini (Sudirman), Tak Guna Dikesalkan (Salamiah Hassan) dan Ditinggalkan (Dahlan Zainuddin).

Ditanya mengenai perbezaan lirik karya dulu dan sekarang, Kak Chah mengakui terdapat perbezaan termasuk daripada segi bahasa dan pendekatan. Mungkin disebabkan zaman. Berbanding pendekatan karya dulu kebanyakan membabitkan bahasa kiasan manakala sekarang yang kebanyakan lirik atau bahasa yang digunakan lebih jelas. Situasi itu mungkin disebabkan peredaran zaman. Muzik dan lirik bagaimana fesyen dengan pelbagai rentak serta melodi.

Baginya ia adalah lumrah, tinggal lagi cabaran yang perlu diharungi karyawan seni ialah memastikan lirik lagu yang dihasilkan benar-benar bertahan lama.

“Untuk menghasilkan lagu yang bagus dan sedap didengar mungkin tidak sukar. Namun, untuk memastikan lagu itu bertahan dan terus terpahat di hati pendengar cukup sukar. Sejauh mana lagu itu dapat diterima pendengar dalam jangka masa yang lama,” kata kak Chah ketika ditemui pada majlis sidang media dan pelancaran album Untaian Ilham Estetika Habsah Hassan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu komposer terkenal, Adnan Abu Hasan; penyanyi, Francisca Peter; Erra Fazira dan Razis Ismail. Album diedarkan syarikat rakaman Warner Music memuatkan 32 lagu popular lirik karya Kak Chah. Lagu dalam album itu dipilih berdasarkan koleksi lagu yang dipegang hak ciptanya oleh Warner Chappell Malaysia. Lagu yang dimuatkan dalam album ini antaranya Merisik Khabar nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Aku Hanya Pendatang (Francisca Peter), Wajah Rahsia Hati (Fauziah Ahmad Daud), Kau Yang Tersendiri (Jay Jay), Sendiri (Jamal Abdillah) dan Suratan Atau Kebetulan (Kenny Remy & Martin). Album yang dijual pada harga RM26.90 seunit yang mengandungi dua cakera padat (CD) sudah berada di pasaran sejak dua bulan lalu. Kak Chah turut tampil bersama album kompilasi Sudirman – Jauh Di Sudut Hati pada 1992 dan Coretan Habsah Hassan 1994.

Sementara itu, Pengurus Strategik Domestik Warner Music Malaysia, Larry Yusof berkata usaha menghasilkan album itu sudah dirancang sejak empat tahun lalu, tetapi hanya terlaksana pada tahun ini. Pemilihan Habsah Hassan pula kerana karyanya yang menarik selain lagunya juga mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Daripada ratusan lagu Kak Chah, hanya 32 lagu dipilih kerana kami melihat kepada nilai komersial terhadap lagu itu yang mempunyai daya penariknya sebagai sebuah karya ‘evergreen’. “Walaupun dia ada banyak lagu popular, buat masa ini kami hanya memilih rangkaian lagu yang dimiliki Warner Chappell Malaysia terlebih dulu. Tidak mustahil jika dapat sambutan, lagu Kak Chah yang dimiliki syarikat lain juga akan diterbitkan,” katanya.

Walaupun sambutan masyarakat terhadap pembelian album tidak menentu, pihaknya menaruh keyakinan tinggi album berkenaan akan mendapat maklum balas positif daripada peminat berdasarkan senarai nama besar dalam dunia seni suara serta judul lagu yang dinyanyikan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: