Fida Nekad Jadi Penyanyi

20 Nov

JIKA ikutkan niat asal pelakon jelita, Rafidah Ibrahim, dia menceburi industri seni tanah air kerana mahu menjadi penyanyi. Namun, atas beberapa sebab yang berlaku sebelum ini, gadis manis itu terpaksa melupakan impiannya buat seketika.

Oleh itu, dia terus memberi ruang kepada bidang lakonan. Apapun, selepas lebih setahun aktif, Rafidah atau mesra dengan panggilan Fida masih tetap mencari peluang untuknya bergelar penyanyi. Sekali pun, ketika itu dia adalah artis residen MIG Production Sdn Bhd (MIG).

Fida yakin dia harus membuat pilihan. Jadi, antara dua karier diminatinya, hanya satu harus dipilih. Selepas berfikir panjang, Fida tahu apa sebenar yang diinginkan. Justeru, dia memberanikan diri bertemu penerbit, David Teo untuk menamatkan kontrak.

“Saya sedar mana satu pilihan hati. Justeru, walaupun berat untuk mengambil langkah keluar dari MIG, tetapi ia adalah jalan terbaik. Sepanjang bersama MIG, saya gembira kerana diberi banyak peluang berlakon drama terbitan syarikat itu.

“Namun, sampai bila saya harus menunggu. Realitinya, kehendak hati saya mahu menjadi penyanyi dan untuk mencapai impian itu, ada yang perlu dikorbankan. Tidak mahu menyusahkan pihak MIG pada kemudian hari, saya nekad angkat kaki dan cuba bergerak sendiri.

“Ia nyata bukan perkara mudah. Namun, saya yakin dengan pepatah Melayu, di mana ada kemahuan pasti di situ ada jalan. Lagi pun, saya percaya dengan rezeki yang dijanjikan Tuhan kepada hamba-Nya yang rajin berusaha untuk mengejar sebuah impian,” katanya.

Ketika bertemu Fida pada sesi fotografi Rap untuk ruangan Relaks dan Rehat di Platinum Walk, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini, cukup terserlah kegigihannya belajar bermain alat muzik. Mendapat peluang dan bimbingan daripada syarikat rakaman DP Entertainment Sdn Bhd, Fida semakin lega.

Bahkan, demi semangat ingin belajar yang membuak-buak, Fida sanggup mengeluarkan wang membeli peralatan muzik seperti keyboard. Sekarang tanpa mengira masa dan ruang kelapangan yang ada, Fida kerap berlatih bermain muzik di DP Entertainment.

Atas bantuan pengurusnya, Mitho, membuatkan Fida berharap impiannya bergelar penyanyi yang versatil menjadi kenyataan. Ditambah lagi, dengan menjadikan penyanyi terkenal dunia, Lady Gaga sebagai sumber inspirasi dirinya, Fida tampil penuh semangat.

Menurut Fida, dia tertarik dan berminat belajar bermain alat muzik ketika melihat persembahan video lagu Lady Gaga bermain muzik dan menyanyi secara ‘live’ di laman web terkemuka, YouTube. Katanya bermula dari situ, dia terus berhasrat membeli keyboard dan belajar bermain muzik.

“Pada mulanya, saya risau juga kalau apa yang diinginkan tak menjadi. Maklum saja, dalam usia yang kini mencecah 24 tahun, rasanya saya sudah terlalu dewasa untuk belajar bermain alat muzik. Apapun, demi meraih kejayaan saya harus berusaha membuktikan kemampuan diri.

“Berkat belajar setiap hari tanpa jemu, saya bersyukur kerana dalam tempoh dua minggu saya sudah mampu bermain muzik dan menyanyi serentak. “Kini, baru saya sedar jangan mudah berputus asa jika inginkan sesuatu. Sifat tidak mengaku kalah ialah kekuatan saya.

“Apapun, sekarang saya dalam proses mempersiapkan diri merakamkan semula lagu tema drama Epilog Syurga Cinta dan Ku Memohon Padamu yang dijadikan single pertama. Dalam rakaman terbaru nanti, lagu ini akan diberi nafas baru.

“Melodi dan susunan muzik lagu ini akan diperindahkan lagi termasuk memantapkan aspek vokal. Saya mahu pendengar lebih merasai perasaan yang disampaikan. Malah, jika tiada aral kemungkinan proses rakaman akan dilakukan tidak lama lagi.

“Saya harap taruhan pertama single, Ku Memohon Padamu, akan berjaya dan dapat diperdengarkan orang ramai pada awal tahun 2011.

“Ini kerana, sudah terlalu lama saya menunggu. Sekarang, semoga semua rancangan ini menjadi kenyataan,” kata Fida.

Menurutnya, semoga kemunculannya di pentas nyanyian diterima baik. Malah, ujarnya disebabkan mahu memastikan percaturan diambil itu berhasil, Fida turut memasang angan untuk tampil sekurang-kurangnya dengan dua single.

Bersandarkan cita-cita menjadi penghibur, Fida berkata, dia bernaung di bawah DP Entertainment kerana dia bebas berkarya. Ujarnya, syarikat itu tidak mengongkong dan membenarkannya ketengahkan karya sendiri. Kata Fida lagi, ada juga dia peroleh tawaran syarikat rakaman lain.

Jelasnya, memandangkan segala aktiviti seni diurus sepenuhnya sendiri, dia sudah selesa dengan DP Entertainment. Walau pun syarikat baru, ia bukan persoalannya. Apa yang diharapkannya ialah sinar pada karier seni terutama dalam nyanyian.

Baru selesai menjayakan penggambaran drama Telah Dihalalkan Epal Itu untuk siaran stesen TV Al-Hijrah, Fida juga duta jenama tudung Ratu. Sudah masuk dua tahun Fida mengikat kontrak sebagai duta busana muslimah itu. “Saya suka dan selesa menggayakan tudung Ratu kerana banyak pilihan. Di galeri butik Ratu di Platinum Walk yang selalu saya kunjungi ini pun ada lebih 300 koleksi pilihan tudung selendang dan skaf eksklusif terkini. Ditambah dengan pelbagai warna, saya tiada masalah untuk memilih.

“Setakat ini, Ratu sangat sesuai dan menepati cita rasa saya untuk bergaya. Bagi saya, koleksi tudung Ratu pastinya bertepatan dengan kehendak gadis muda. “Lagipun, harganya berpatutan dan boleh dimiliki sesiapa saja yang ingin bergaya. “Bagi saya, ia satu peluang kepada gadis remaja. Selain itu, harga yang agak mahal pun ada kerana bersesuaian dengan material kain digunakan. Sebagai duta produk ini, menjadi tanggungjawab saya membantu mempromosikan tudung Ratu,” katanya.

Menurut Fida, galeri Butik Ratu juga dibuka di Bangi, Damansara Semua House dan Shah Alam. Katanya, setiap kali mengunjungi galeri butik Ratu dia pasti rambang mata memilih koleksi yang ada. Menurutnya, ada kala dia sampai tak tahu hendak pilih yang mana satu.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: