Hazami Mahu Peminat Puas

20 Nov

SELEPAS 11 bulan memerah keringat menyiapkan album terbarunya, penyanyi dan komposer, Hazami kini lega berjaya menghasilkan Petikan Sedekad Hazami (PSH).

Album istimewa ini adalah susur galur perjalanan seninya sepanjang 10 tahun membina nama.

Ditambah dengan kehebatannya sebagai komposer, PSH memuatkan pilihan rangkaian lagu terbaik dan sangat bermakna bagi Hazami. Bahkan, peminatnya juga dibekalkan dengan naskhah penceritaan kariernya setebal 100 muka surat.

Hazami atau nama sebenarnya, Norakmal Hazami Ahmad, 36, berkata dia perlu tampil dengan idea kreatif dalam setiap albumnya demi peminat. Ujarnya sebagaimana dirinya puas, dia juga mahu peminat merasai perasaan apabila memilikinya.

“Saya sangat mementingkan kualiti, kehendak peminat dan kepuasan. Disebabkan itu, saya tidak kisah jika mengambil masa agak lama serta mengeluarkan belanja lebih untuk menyiapkan sebuah album serta. Saya mahu peminat terhibur.

“Pada harga jualan RM59.90 di pasaran, saya mahu peminat rasa berbaloi memiliki album ini sebagai koleksi simpanan mereka. Apapun, sebanyak tujuh lagu popular dimuatkan dalam album ini termasuk dua versi koir dan satu lagu baru.

“Antara lagu dipilih, Tekad, Tabah, Ku Cinta Padamu, Mungkir Bahagia, Kata Cinta Madah Dusta dan lagu baru, Andai Bisa Kau Rasa selain Kata Cinta Madah Dusta dan Tekad turut saya tonjolkan dalam versi koir sebagai bonus,” katanya.

Hazami berkata susunan muzik setiap lagu juga digubah semula dan dimantapkan dengan iringan instrumen seperti biola dan cello. Menurutnya, album PSH begitu sentimental kerana dia sanggup memperuntukkan masa, tenaga dan kreativiti.

“Oleh itu, setiap tahun saya tak boleh berputus asa tanpa mengeluarkan album. Sebagai insan seni, menjadi tanggungjawab saya muncul dengan sentuhan baru supaya nama tidak tenggelam. “Bukan mudah bina nama dan saya harus hargai. Bukan takut berhadapan saingan, tetapi penting bagi memastikan Hazami sentiasa muncul dengan imej dan kreativiti tersendiri. Malah, perkara ini (kreatif) memang diakui peminat saya.

“Ia berdasarkan maklum balas diberikan peminat dalam laman Facebook (FB) saya. Tidak dinafikan, saya kini berasa lebih dekat dengan peminat menerusi FB. Terima kasih pada komen dan pandangan yang diberi kerana ia sangat membantu,” katanya.

Sentiasa berpandangan jauh, Hazami nyata bijak mencari peluang untuk karier seninya menembusi pasaran luar negara.

Justeru, Hazami mengambil peluang menjalinkan kerjasama dengan dua penyanyi popular Filipina, Kyla dan Tony G. “Saya dan Kyla mendendangkan lagu Tekad dalam versi Tagalog berjudul Hanggang Wakas. Malah, saya sangat terharu apabila Hanggang Wakas menjadi siulan di Filipina dan pernah menduduki tangga juara carta radio selama beberapa minggu.

“Hasil kerjasama ini berjaya mengembalikan nostalgia kegemilangan lagu Tekad yang pernah saya dendangkan tujuh tahun lalu. Gandingan duet bersama Tony G pula, kami menyanyikan lagu Ku Cinta Padamu (Come Back To Me) versi Inggeris,” katanya.

Menurut Hazami, dia bersyukur apabila perjalanan kerjaya nyanyiannya selama ini dipermudahkan. Diterbitkan syarikatnya, Hazami Records Sdn Bhd, album PSH memilih syarikat rakaman Sony Music (M) Sdn Bhd sebagai pengedar.

Apapun, kata Hazami dia berharap albumnya dapat dipasarkan di seluruh negara termasuk promosi yang bagus. Album itu sudah berada di pasaran muzik tanah air sejak 8 November lalu.

“Mengikut maklum balas diterima daripada peminat saya di FB, album ini masih belum didapati di tempat mereka. Jadi, saya akan berbincang dengan Sony Music bagaimana bentuk promosi akan dilakukan. Saya akan pastikan album PSH sampai pada peminat,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: