Sedia Berlakon Filem Bollywood

20 Nov

pix_middle

SELAIN aktor Daniel Radcliffe dan Rupert Grint, trio bintang utama filem Harry Potter tak lengkap tanpa aktres jelita, Emma Watson. Bahkan, bagi peminat setia filem ahli sihir muda ini pastinya sudah sinonim dengan tiga nama itu sejak 2001.

Malah, setiap tahun fenomena Harry Potter akan melanda seluruh dunia dengan kesinambungan sirinya yang cukup menarik dan hebat. Lebih membanggakan Hollywood apabila filem pengembaraan ini mencatat kutipan ‘pecah panggung’.

Hanya bersandarkan satu filem juga, pelakon Harry Potter tersenarai dalam kelompok remaja terkaya Hollywood. Malah, pendapatan Emma atau nama sebenarnya, Emma Charlotte Duerre Watson tahun ini saja sebanyak RM105.4 juta ($AS34 juta).

Apapun, seiring dengan peningkatan usianya Emma muncul dengan gaya berbeza dan unik setiap tahun. Bahkan, pada tayangan perdana filem baru Harry Potter And The Deathly Hallows: Part 1 di New York, baru-baru ini, Emma tampil berambut pendek.

Menerusi penampilan baru itu juga, Emma dilabelkan ‘ikon fesyen’ Hollywood. Bagaimanapun, pelakon kelahiran Britain ini memaklumkan dia berasa gementar dengan jolokan diterima. Ujarnya dia sekadar bergaya seperti gadis kolej.

“Apa yang saya gayakan ini biasa saja, sama sebagaimana di kolej. Saya memang tak suka mengambil masa lama untuk berhias. Saya seorang yang sangat malas bersolek. Asalkan ia ringkas dan selesa, saya pakai saja.

“Saya tak sangka pula dengan bergaya seperti ini boleh dilabel sebagai ‘ikon fesyen’. Bagi saya, fesyen ini sesuai dengan usia. Pada usia 20 tahun sekarang, saya fikir dipilih tidaklah keterlaluan dan paling penting menyerlahkan penampilan.

“Padanan gaun yang digayakan ini sangat tepat untuk saya muncul pada majlis tayangan perdana filem. Ini kerana, saya sedaya-upaya berusaha tidak mahu mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata untuk bergaya. Tak perlu boros untuk kelihatan cantik.

“Perkara penting dan utama bagi saya adalah perasaan gembira hadir pada majlis itu. Justeru, tolong jangan labelkan saya sebagai ‘ikon fesyen’ kerana gelaran itu terlalu besar dan bermakna. Malah, saya sangat gementar dengan jolokan ini,” katanya.

Emma berumur 11 tahun ketika dia mula membintangi filem pertama Harry Potter And The Sorcerer’s Stone, sembilan tahun lalu. Katanya dia membesar dengan filem itu dan wajar baginya mempelbagaikan penampilan untuk tonjolkan kematangan.

“Saya tidak boleh terus bergaya seperti kanak-kanak kerana zaman itu sudah lama berlalu. Malah, peminat Harry Potter sendiri pun sudah sedia maklum watak Hermione Granger semakin meningkat dewasa. Saya perlu ambil kira banyak sudut.

“Oleh itu, saya seronok dengan proses kematangan dilalui sekarang. Bahkan, saya tidak nafikan tahap keyakinan diri juga kian meningkat. Saya tahu apa yang diinginkan dalam hidup ini dan diharap semoga berjalan dengan lancar.

“Bagaimanapun, penampilan ini juga adalah kejutan saya buat peminat. Melihatkan ramai yang teruja, saya berasakan sudah berjaya tampil dengan imej baru. Emma Watson mampu bergaya ringkas dan serba sederhana,” katanya.

Tersenarai dalam kelompok salah seorang aktres seksi United Kingdom (UK), Emma berkata dia menyimpan impian untuk menyambung pelajarannya di kolej semula. Katanya, belajar di kampus dan berbasikal bersama rakan sekelas sangat menyeronokkan.

“Ia pengalaman yang sangat bermakna. Suasana berbasikal bersama rakan ke kampus ini pernah saya tonton dalam beberapa filem Bollywood. Oleh itu, jujurnya saya tidak malu mengaku kagum dengan industri perfileman Bollywood yang ceria.

“Biarpun garapan babak nampak ringkas seperti mengayuh basikal, ia sebenarnya begitu menyentuh perasaan. Bagi saya, ia sangat seni termasuk aksi tariannya. Pergerakan kaki yang nampak cantik itu bukanlah mudah dan perlu dipelajari,” katanya.

Apakah dia mahu berlakon di Bollywood? Emma berkata, sehingga kini tiada tawaran diterimanya. Apapun, seandainya peluang itu datang, dia takkan menolak dan sedia untuk mencuba. Jelasnya, manalah tahu ada rezeki suatu hari nanti. Menurut Emma, jika dia berpeluang bekerja dengan produksi India, sudah pasti dia mengharapkan karakter yang benar-benar menguji kemampuan. Namun, yang penting dia perlu yakin dengan apa dilakukannya.

Mengenai filem Harry Potter And The Deathly Hallows: Part 1 yang kini sudah menjengah pawagam tanah air adalah siri kemuncak pertama sebelum bahagian keduanya ditayangkan 15 Julai 2011 di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan UK.

Dalam filem arahan David Yates ini juga banyak aksi, drama dan ilmu sihir dipaparkan untuk tatapan penonton. Kisah penuh debaran bermula apabila Harry dan rakannya berdepan situasi bahaya dalam hutan yang menyimpan 1,001 rahsia dan misteri.

Selain itu, tiga ahli sihir muda terbabit perlu berdepan dengan musuh tradisi mereka, Lord Valdermont yang bermaharajalela melebarkan kekejamannya. Bukan itu saja, pengajian Harry bersama Hermione dan Ron juga terkandas di Hogwarts.

Semuanya berpunca disebabkan kejatuhan Kementerian Magik dan kebangkitan kuasa jahat Lord Valdermont. Mampukah Harry mengubahnya? Apakah yang berlaku seterusnya dalam filem aksi yang diadaptasi dari buku tulisan JK Rowling ini?

>PROFIL:
NAMA: Emma Charlotte Duerre Watson
PANGGILAN KOMERSIAL: Emma Watson
TARIKH LAHIR: 15 April 1990
UMUR: 20 tahun
TEMPAT LAHIR: Paris, Perancis
KARIER: Aktres, model
AKTIF BERLAKON: Pada 2001
JUMLAH PENDAPATAN 2010: RM105. 4 juta (AS 34 juta)
FILEM: Harry Potter And The Philosopher’s Stone (2001), Harry Potter And The Chamber Of Secrets (2002), Harry Potter And The Prisoner Of Azkaban (2004), Harry Potter And The Goblet Of Fire (2005) Harry Potter And The Order Of The Phoenix (2007), Ballet Shoe (2007) The Tale Of Despereaux (2008), Harry Potter And The Half-Blood (2009), Harry Potter And The Deathly Hallows : Part 1 (2010), Harry Potter And The Deathly Hallows : Part 2 (2011) dan My Week With Marilyn (2011)
PENCAPAIAN: Young Artist Awards (2002), Otto Awards (2003, 2004), Total Film (2004), ITV National Film Awards (2007), UK Nickelodeon Kids’ Choice Awards (2007), Constellation Award (2008), Otto Awards (2008) dan SyFy Genre Awards (2008)

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: