Cabaran TV Islam

23 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar IZHAM JAAFAR


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir (kanan) berbual dengan pegawai pengurusan AlHijrah sewaktu mengadakan lawatan ke stesen itu baru-baru ini.

ISLAM agama yang syumul atau menyeluruh dalam segala aspek kehidupan seharian telah menggunakan pelbagai medium bagi menggambarkan kesyumulannya.

Ia antaranya menerusi bahan-bahan siaran di televisyen seperti membabitkan aspek-aspek sosial, politik dan ekonomi yang disampaikan mengikut syariat-syariat Islam.

Stesen televisyen tempatan baru, AlHijrah misalnya, mendokong usaha-usaha murni itu dan pada masa sama terpaksa bersaing dengan stesen-stesenlain yang sedia ada.

Memulakan siaran percubaannya pada 1 November lalu, stesen yang berpangkalan di sebelah Masjid Negara, itu menyajikan kelainan dalam bahan-bahan siarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah Media Corporation, Bukhari Che Muda yang mengendalikan AlHijrah tidak menafikan cabaran yang dipikul dalam mengetengahkan konsep itu.

Katanya, persepsi masyarakat yang tertanya-tanya akan konsep rancangan berunsur keislaman antara perkara yang harus dijelaskan kepada para penonton saluran tersebut.

‘Apabila bercakap tentang AlHijrah, masyarakat paling banyak bertanya bahan-bahan siaran berunsur Islam bagaimanakah yang akan disiarkan melalui stesen televisyen ini?

‘Apa yang boleh saya katakan ialah semua bahan siaran di stesen ini berpandukan nilai-nilai Islam. Ia termasuklah soal pakaian dan mesej di sebaliknya.

‘Pendekatan kami terbuka dan mengikut trend semasa asalkan ia tidak tersasar daripada syariat Islam,’ katanya sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, ujar Bukhari, sebagai stesen televisyen baru, ramai yang bertanya cara untuk mendapatkan siaran AlHijrah ekoran kelainan yang disajikan berbanding stesen-stesen lain.

Justeru katanya, pihaknya kini sedang giat berusaha meluaskan siaran stesen percuma itu supaya ia boleh ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

‘Sebagai permulaan AlHijrah kini boleh ditonton di kawasan sekitar Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak di mana usaha terus dilakukan bagi meluaskan lagi siarannya.

‘Tahun depan kami akan luaskan siarannya ke Kelantan, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Johor secara berperingkat-peringkat dan kalau boleh ke seluruh negara,’ ujarnya.

Sebagai permulaan AlHijrah bersiaran setiap hari dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam sebelum siaran penuhnya akan bermula 1 Disember ini dengan pelbagai lagi bahan siaran.

Siar bahan berkualiti

Meskipun baru dua minggu bersiaran tetapi AlHijrah amat menitikberatkan soal kualiti dan mesej-mesej di sebalik bahan-bahan yang disiarkan di saluran televisyen itu.

Sama ada rancangan itu dibeli dari luar negara atau daripada syarikat produksi tempatan, kualiti gambar, bunyi dan bahan penceritaan yang disiarkan juga menitikberatkan soal tersebut.

Dalam usaha mencapai hasrat itu, Pengurus Perolehan dan Pengurusan Kandungan AlHijrah, Mohd. Mokhtar Abdul Rahman berkata, pihaknya memperuntukan bajet yang agak besar.

Beliau memberi contoh kadar bayaran yang dibayar kepada para pembekal rancangan televisyen tempatan agak tinggi bagi memastikan mereka membekalkan rancangan yang berkualiti.

‘Kita sanggup keluar duit lebih sedikit asalkan rancangan yang dibeli itu berkualiti. Kami misalnya membayar RM32,000 untuk satu episod drama di bawah sejam.

‘Kadar harga itu tidak jauh beza dengan yang dibayar oleh stesen-stesen lain bagi mendapatkan bahan-bahan siaran mereka. Ia juga sebagai galakan buat para penerbit terbabit,’ ujarnya.

Selain mendapatkan bahan-bahan tempatan, Mohd. Mokhtar juga berkata pihaknya pergi ke luar negara bagi mendapatkan bahan-bahan tersebut.

Dengan 40 peratus daripada bahan-bahan siarannya diimport, AlHijrah katanya, turut mempunyai unit penilaian bagi menilai kualiti bahan-bahan siarannya.

‘Kami ada unit penilai sendiri di mana kami telah pergi sendiri ke Kaherah, Jedah dan Dubai pada Ogos lalu bagi membeli rancangan-rancangan daripada para penerbit di sana.

‘Kami juga dibantu oleh para pegawai dari LPF (Lembaga Penapis Filem Malaysia) bagi menapis adegan-adegan yang dirasakan kurang sesuai untuk tontonan stesen ini,’ jelasnya.

Setiap stesen televisyen memperolehi sumber keuntungan antaranya melalui iklan-iklan yang disiarkan di saluran masing-masing dengan pelbagai produk yang ditawarkan.

AlHijrah tidak terkecuali dengan objektif itu tetapi stesen tersebut cukup selektif bagi memastikan produk-produk yang mereka iklankan tidak melanggar batas syariat Islam.

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasarannya, Marina Sulaiman berkata, dalam hal perniagaan Islam menghalalkan apa juga jenis perniagaan yang hal di sisi agama itu.

‘Stesen ini juga tidak terkecuali berurusan dengan pelbagai syarikat atau produk seperti sistem perbankan. Bagaimana pun kita perlu bijak memilih dalam perkara seperti ini.

‘Contohnya dengan mengadakan kerjasama dengan bank-bank yang mengadakan sistem jual beli atau perbankan Islam supaya lebih ramai anggota masyarakat menggunakannya.

‘Tidak semua produk boleh diiklankan di AlHijrah. Kalau ia tidak sesuai dengan konsep dan penjenamaan stesen ini kita akan tolak kerana keuntungan bukan matlamat 100 peratus kami.

‘Ini kerana, kami menyahut seruan kerajaan terutamanya di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menyediakan ruang atas tertubuhnya AlHijrah ini demi syariat Islam,’ katanya.

Sedia digital HD

Dunia penyiaran yang semakin berkembang maju menyebabkan stesen TV seperti AlHijrah tidak ketinggalan mengikuti perkembangan biarpun baru dua minggu lebih bersiaran.

Selain menampilkan sistem analog dalam bahan-bahan siarannya, tetapi stesen itu juga tidak ketinggalan mengadakan persiapan dengan sistem digital definisi tingginya.

Pengurus Besar Kejuruteraan Penyiaran dan Teknologi Maklumat AlHijrah, Mohamed Redzwan Yahya berkata, stesen itu akan mengadakan siaran digital definisi tingginya mulai 2015.

‘Persediaan ke arah itu sedang dijalankan secara berperingkat-peringkat. Kami yakin mampu mencapainya berdasarkan penubuhan AlHijrah yang diadakan dalam masa empat bulan.

‘Dengan hanya sembilan kakitangan di bahagian ini kami mampu menjalankan operasi siaran AlHijrah di mana kos operasinya juga hanya menelan belanja RM29.5 juta.

‘Kami yakin dengan adanya persediaan dan pengalaman daripada tenaga kerja kami, matlamat itu mampu dicapai. Semuanya bagi memenuhi kepuasan para penonton,’ ujarnya.

Paling membanggakan kata Mohamed Redzwan, semua tenaga pakar yang terbabit dalam operasi pengendalian siaran AlHijrah terdiri daripada anak-anak tempatan.

Katanya daripada kontraktor hingga pembekal peralatan teknologi yang digunakan menggunakan khidmat pakar tempatan yang terbukti sama kualitinya dengan tenaga dari luar negara.

‘Hasil kerja kami itu sudah boleh dilihat melalui siaran percubaan AlHijrah sekarang ini. Saya harap hasil sebenar hasil kerja kami itu akan lebih baik mulai 1 Disember ini,’ jelasnya lagi.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: