Kisah Dongeng Asia

23 Nov

BAGI penggemar kisah dongeng terutama dari negara Asia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 menyiarkan program menarik, Dongeng Rantau Asia setiap Isnin hingga Rabu jam 2.30 petang bermula 22 November ini.

Program sempena musim cuti sekolah pastinya sesuai ditonton semua lapisan masyarakat dengan konsep kekeluargaan dan siaran menarik dalam bentuk animasi. Siaran berkonsepkan pendidikan dalam setiap episod dari segi karakter, latar belakang, lagu tema dan pakaian direka khas dengan ciri-ciri negara Asia masing-masing. Sebanyak 200 watak karakter Asia di samping 13 jenis muzik tema digubah khas untuk rancangan ini. Menerusi 13 episod siarannya, penonton diajak mengikuti kisah dongeng dari Iraq, Korea, Malaysia, Iran, Burma, Arab, China, Thailand, Filipina dan Jepun. Selain memaparkan karakter yang menarik, jalan ceritanya ringkas mudah difahami dan menghiburkan.

Dalam episod Kasalamayar kisah teladan dari Iraq mengambil iktibar bagaimana seorang adik yang ingin merampas takhta daripada abangnya dengan mengupah seorang ahli sihir. Ahli sihir itu menukarkan abang serta pembantunya menjadi seekor burung. Sewaktu menjadi burung itu abangnya bertemu dengan seekor buruk belatuk yang sebenarnya adalah seorang puteri raja yang disumpah. Abangnya berjaya melepaskan diri dari sumpahan itu dan menuntut semula takhta. Mesej yang ingin disampaikan kepada penonton setiap perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Kasalamayar adalah contoh yang tepat untuk menyatakan maksud buat baik dibalas baik dan tiada ruginya jika kita sentiasa berbuat baik.

Dua episod dari negara Korea iaitu Si Penyu Dan Arnab dan Permaisuri Burung Layang-Layang. Kisah Si Penyu Dan Arnab berkisar kepada kehidupan seekor penyu yang ditugaskan oleh permaisuri ikan mencari hati arnab untuk dijadikan ubat bagi penyakitnya. Pengembaraan penyu hampir berjaya apabila arnab hampir menjadi korban. Begitupun, atas kebijaksanaan arnab dapat menyelamatkan diri. Mesej menerusi kisah ini kejujuran amatlah penting dalam menjalinkan perhubungan persahabatan.

Permaisuri Burung Layang-Layang pula mengisahkan Hung Bu seorang yang miskin. Pada satu hari dia menyelamatkan burung cedera. Kemudian, burung itu memberinya balasan yang baik. Dia menjadi kaya. Berita itu didengar oleh No bul. Dia mula bersikap dengki lalu mencari satu sarang burung. Dia mencederakan burung itu lalu mengubatinya semula dengan harapan dapat menjadi kaya tetapi burung itu membalasnya dengan keburukan. Kemudiannya menyusul dua episod dari Thailand iaitu Sun Tong Putera Kerang, kisah Permaisuri Chanthathewi melahirkan sebiji kerang gergasi. Kerana dihasut Cik Puan Suwan dan nasihat dari tabib, Raja Prommathat menghalau Permaisuri dan kerang gergasi dari istana. Permaisuri dan kerang gergasi tinggal bersama perempuan tua yang baik hati. Setelah dewasa Suntong iaitu putera kerang, disuruh oleh permaisuri untuk menuntut ilmu sakti untuk menuntut haknya sebagai putera. Kisah Anak Harimau Dan Anak Lembu pula memaparkan watak Honvinjai dan Khavi anak harimau dan anak lembu yang ditukarkan menjadi manusia oleh nenek kebayan. Selepas menjadi manusia, Honvinjai dan Khavi mengembara ke serata tempat dan menempuhi berbagai rintangan. Dengan pemberian pedang ajaib dari nenek, mereka dapat melepasi segala halangan dan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. Antara lain yang menarik termasuk kisah dongeng dari negara Cina iaitu Berus Emas Ajaib (kisah ini menceritakan akibat daripada sifat tamak yang akhirnya memakan diri sendiri) dan Permaidani Ajaib (kisah anak yang baik akan membalas jasa ibu bapanya). Manakala Si Kerdil Yang Nakal (Filipina) menceritakan akibat dari perbuatan menyusahkan orang lain yang akhirnya memberikan akibat yang buruk pada pelakunya. Sebaliknya jika kebaikan yang dibuat balasannya sudah tentulah kebaikan juga, malah mungkin berlipat kali ganda. Usah ketinggalan juga menyaksikan episod Okuni Dan Si Arnab Putih (Jepun), kisah seekor arnab yang mendapat balasan yang baik selepas dia menolong arnab yang ditimpa kesusahan.

Monyet dan Kura-Kura (Malaysia) kisah monyet yang mengkhianati kawannya, seekor penyu dan menerima balasan. Mushkil Gusha (Iran) pula mengisahkan seorang lelaki miskin mendapat pertolongan yang tidak disangka-sangka. Selepas menjadi senang dia lupa akan janjinya terhadap orang yang menolongnya lalu dia ditimpa kesusahan. Selepas itu dia sedar kesilapannya lalu menunaikan janjinya. Nasibnya kembali baik. Kemudiannya episod Si Comel Berhati Mulia (Burma) mengenai kisah seorang ibu melahirkan seekor katak. Tetapi katak itu disayang oleh semua orang. Apabila ibu meninggal dunia, ayahnya berkahwin lain. Ibu tiri katak itu sangat jahat. Suatu hari ada satu pertandingan, katak itu menang dan berkahwin dengan putera raja. Diakhiri dengan episod Pengembaraan Tiga Beradik (Arab), kisah pengembaraan tiga beradik yang mempunyai kepakaran masing-masing. Mereka mengembara untuk mencari pengalaman hidup.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: