Mahu Penonton Nilai Sendiri

23 Nov

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan COMPASS COMMUNICATIONS


KELUARGA bahagia Mel B yang dapat ditonton menerusi program realiti, Mel B: It’s A Scary World.

SELAMA 14 tahun, wanita seksi ini membina empayar seninya, sudah terlalu banyak kisahnya dipaparkan di media massa. Memang harus diakui, di sebalik kisah kerjayanya, kehidupan peribadinya juga tidak pernah terlepas daripada menjadi mangsa sasaran pihak media.

Melanie Janine Brown atau lebih dikenali sebagai Mel B boleh dikatakan antara anggota kumpulan Spice Girls yang tidak pernah lari daripada kontroversi.

Kisah hidupnya misalnya, antara paling banyak yang diperkatakan terutama apabila dia pernah menjalinkan hubungan intim dengan pelawak tersohor, Eddie Murphy.

Hubungan kontroversi yang berlangsung selama beberapa bulan pada tahun 2006 itu telah melahirkan zuriat mereka iaitu seorang anak perempuan yang diberi nama Angel Iris Brown.

Sebelum ini, Mel B sudah pun memiliki seorang anak, Phoenix Chi menerusi perkahwinan singkatnya bersama seorang penari, Jimmy Gulzar pada tahun 1998.

Walaupun apa yang diperkatakan tentang Mel B atau lebih popular juga dengan panggilan Scary Spice itu, dia mengakui kehidupannya kini cukup lengkap bersama suami dan dua orang anaknya.

Lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga bersama teman lamanya yang juga seorang penerbit filem, Stephen Belafonte pada tahun 2007, Mel B melihat perjalanan hidupnya kini cukup teratur.

Atas alasan itu jugalah, dia kini tampil dengan program realitinya sendiri berjudul Mel B: It’s A Scary World yang sudah pun ditayangkan di E! Entertainment (saluran 712, Astro) bermula 1 November lalu.

Bukan mahu mencari glamor dan meraih populariti murahan dengan memaparkan keluarganya dalam program itu, tetapi Mel B mahu audiens membuang segala prasangka buruk terhadap dirinya selama ini.

“Kisah kehidupan peribadi saya terlalu banyak diperkatakan sehinggakan timbul pelbagai versi yang saya sendiri hanya mampu ketawa mendengarkannya.

“Atas faktor itulah, saya membenarkan kamera memasuki rumah saya dan merakamkan segala yang berlaku dalam keluarga saya.

“Saya memutuskan kalau masyarakat mahu menghukum saya tanpa usul periksa, saya rela untuk mereka menonton sendiri keadaan sebenar dalam kehidupan keluarga saya.

“Keluarga saya memang cukup menghiburkan dan tiada apa yang perlu kami sorokkan,” katanya dalam satu temu bual menerusi telefon bersama media Malaysia yang diaturkan Compass Communications, baru-baru ini.

Ketika diminta untuk menggambarkan keluarganya secara terperinci, Mel B tidak menolaknya malah dengan penuh bangga dia berkongsi dengan pihak media.

Katanya, keluarganya boleh dianggap sebagai sebuah keluarga yang moden di mana dia dan suaminya menerapkan gabungan budaya kehidupan yang diamalkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain dua orang anaknya, dia juga mempunyai seorang anak tiri bernama Giselle yang kini berusia lima tahun iaitu hasil perkahwinan Stephen dengan bekas isterinya.

“Memang tidak susah membesarkan dua orang anak saya dan Giselle kerana semuanya berlangsung dalam keadaan yang sungguh baik dan harmoni.

“Saya hanya memerlukan empat hingga enam jam sehari untuk mendapatkan tidur yang cukup agar saya berasa segar keesokannya. Saya akan bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan untuk keluarga saya.

“Kerana itu saya tidak memerlukan pembantu atau penjaga kanak-kanak kerana saya mampu melakukannya sendiri. Ketiga-tiga anak saya memiliki personaliti yang menarik dan ia benar-benar membuatkan saya gembira melihat mereka membesar di depan mata,” katanya penuh bersungguh.

Kelihatan sungguh anggun dan memiliki sosok tubuh yang masih lagi bergetah seperti anak dara, pasti ramai yang cemburu dengan Mel B.

Sambil ketawa, dia memberitahu dia tidak mengamalkan apa-apa diet khusus sebaliknya berdisiplin dengan melakukan senaman selama dua jam setiap hari.

Dalam masa yang sama juga, Mel B tidak menolak kemungkinan bahawa dia dan suaminya merancang untuk memiliki anak selepas ini.

“Kami pernah berbincang tentang perkara itu (anak) tetapi bukanlah untuk masa terdekat ini. Mungkin dalam tempoh setahun dua lagi. Kami tidak kisah sama ada anak itu lelaki atau perempuan asalkan bayi itu sihat,” ujarnya optimis.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: