'Saya Tak Rasa Tua'

23 Nov

MENYAMBUT hari lahir yang ke-59 tahun pada 19 Oktober lalu, Jaafar Onn tidak pernah berasakan dirinya tua sebaliknya penambahan usia itu menyuntik semangat dan
kekuatan kepadanya untuk terus aktif dalam bidang seni terutama nyanyian dan lakonan.

Mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t berikan kepadanya, membuatkan Jaafar insaf melihatkan anak yatim yang hidup susah dan tidak berpeluang menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Sehubungan itu, Jaafar yang mengadakan majlis sambutan hari lahirnya dan hari raya Aidiladha di Selayang Mall, Selayang, Sabtu lalu turut menjemput anak yatim dan mereka dari keluarga susah yang menetap di Gombak ke majlisnya itu.

Jaafar tidak dapat menyambut hari jadinya pada Oktober lalu kerana ketika itu dia berada di Paris.

Bagi memeriahkan lagi sambutan hari lahirnya itu dan menghiburkan anak yatim, Jaafar turut mengundang rakan artis yang lain, Haiza, Maya, Shikin, Salwa Abdul Rahman dan Ibnor Riza serta Pengarah Urusan Kuzie Catering, Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku.

Menurut Jaafar, bukan senang hendak mengajak artis datang ke majlis seperti itu, ia memerlukan keikhlasan hati.

“Saya mengajak ramai juga artis ke majlis ini. Siapa yang hendak datang, mereka boleh datang. Kita tidak boleh melakukannya kerana terpaksa.

“Alhamdulillah, artis yang datang pada malam ini ada yang sanggup membatalkan jemputan persembahan di tempat lain semata-mata untuk meraikan anak yatim ini.

“Bukan senang mereka hendak berjumpa artis dan sudi pula menghiburkan mereka. Jadi apa salahnya rezeki yang saya dapat itu berkongsi dengan mereka.

Rasa bahagia tengok wajah mereka yang ceria,” katanya.

Tambah Jaafar, pada 2 Disember ini, dia sekali lagi akan menaja makan minum serta menghiburkan anak yatim dari Johor Bharu di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort.

“Walaupun hidup susah, mereka ini kanak-kanak yang cemerlang dalam pelajaran. Jadi mereka dibawa melawat Kuala Lumpur dan ada pihak yang menghubungi saya untuk minta tajaan makanan.

“Saya pun terus hubungi pihak pengurusan Bukit Kiara Equestrian dan mereka sudi menaja tempat serta memberikan diskaun yang menarik untuk harga makanan. Inilah yang dapat saya balas balik budi baik dan sokongan masyarakat terhadap kerjaya seni saya selama ini,” katanya.

Pada majlis hari jadi itu juga, tetamu dijamu dengan hidangan nasi beriani disediakan Jaafar Onn Food & Services.

“Perkhidmatan penyediaan makanan ini diuruskan anak saudara saya, Mohd Shahril.

Semua hidangan dimasak menggunakan resipi saya, begitu juga dengan kuih-muih. Mereka yang bekerja juga adalah saudaramara saya.

“Setakat ini, saya sudah memasak untuk beberapa majlis secara kecil-kecilan. Belum bersedia lagi untuk memasak pada skala yang lebih besar dan saya mulakan perniagaan ini atas tunjuk ajar Pak Engku.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan khidmat katering saya, hubungi 019-257 0007,” katanya.

Bercerita mengenai pemergiannya ke Paris pada Oktober lalu, jelas Jaafar, dia ke sana untuk mempromosikan produk makanan tempatan dari Muar, Johor, jenama Del Louyus. Pengeluar produk itu, Fadilah Ahmad dan suaminya Tuan Senawi Tuan Ngah, memberi kepercayaan kepada Jaafar untuk memperkenalkan Del Louyus ke luar negara.

“Saya ke Paris selama 10 hari dan berpeluang bertemu 30 syarikat Melayu yang juga mempromosikan pelbagai produk mereka di sana.

“Daripada pertemuan itu, ada yang berminat untuk mengambil saya menjadi duta barangan mereka. Agaknya mereka tertarik dengan cara saya mempromosikan produk yang dibawa.

“Syukur pada usia begini, masih ramai pihak yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membantu melariskan jualan barangan mereka. Pada 25 November ini, saya akan ke Bali selama lima hari untuk memperkenalkan pula produk kesihatan Health Builders kepada orang sana.

“Kemudian pada Februari 2011, saya akan ke London untuk menjalani penggambaran program masakan yang akan disiarkan pada Ramadan di Astro Ria,” katanya.

Berkongsi rahsia kesihatan dan kekal cergas pada usia senja, kata Jaafar, dia sentiasa menjaga makan dan setiap pagi dia minum air epal hijau dua biji serta melakukan senaman ringan.

“Saya elak makanan berlemak, kurangkan gula dan garam.

Siapa yang ingin mendapatkan apa saja maklumat daripada saya hubungi nombor telefon yang dinyatakan tadi,” katanya yang baru habis berlakon drama komedi Bawang Putih Bawang Merah bersama Memey Suhaizi Suhaimi untuk siaran Astro Warna.

Katanya lagi, dalam kesibukannya sebagai duta produk, tawaran berlakon pun semakin banyak.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: