Warna Hidup Umie Aida

25 Nov

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar IZHAM JAAFAR


HEBAT… Aksi Umie Aida sebagai Che Aminah dalam pementasan teater Natrah tahun lalu.

MELIHAT Datin Paduka Umi Khalsum Rahmad Ali menyarungkan busana indah rekaan Salikin Sidek pada sesi fotografi tengah hari itu, terpancar jelas identiti wanita Melayu klasik yang selama ini dilabelkan kepadanya.

Memang sengaja mahu aktres ternama yang terkenal dengan nama komersial, Umie Aida ini berpakaian tradisional dalam sesi fotografi kali ini. Semuanya kerana mahu memberi kelainan untuk sesi fotografi.

Untungnya Umie, dia memiliki raut wajah wanita Melayu sejati yang jarang ada pada aktres lain. Lalu saya bertanya kepadanya, “Untung awak ya. Dikurniakan dengan paras rupa yang begitu klasik.”

“Syukur Alhamdulillah. Semuanya rezeki Allah. Kerana itu jugalah, banyak watak dan naskhah yang saya dapat selama 15 tahun menjadi anak seni semuanya adalah yang baik-baik.

“Kata mereka, wajah saya ini tidak boleh bawa watak jahat. Tetapi sebagai seorang aktres, saya perlu keluar dari kepompong dan mencuba watak yang berbeza. Hasilnya, saya dapat apa yang saya mahukan apabila diberi peluang membawakan watak antagonis dalam beberapa buah drama,” jawab Umie sambil tersenyum.

Cerita Umie sebelum bergelar aktres seperti hari ini cukup menarik. Mula menempa nama menerusi filem Memory arahan Datuk Rosnani Jamil, Umie sebetulnya menjadi bidan terjun dalam filem yang diterbitkan pada tahun 1991.

Katanya, watak dalam filem itu sepatutnya menjadi milik kakaknya, Erma Fatima tetapi kerana sebab-sebab tertentu, Erma tidak dapat membawa watak tersebut lalu nama Umie dicadangkan kepada Rosnani.

“Saya memang tidak sukakan bidang lakonan dan ia bukan sesuatu yang cukup saya suka. Perlu menunggu dan berada di lokasi dalam tempoh yang cukup lama, itu bukan diri saya.

“Ketika itu saya lebih minat menyanyi dan pernah menyertai beberapa pertandingan. Tetapi, kata orang tak kenal, maka tak cinta. Lama-kelamaan, saya menjadi yakin dengan diri untuk terus menjadikan bidang ini sebagai periuk nasi saya,” jelas Umie yang pernah merakamkan dua buah album, Redup Kerinduan dan Cinta Kita.

Tanpa selindung, Umie mengakui, di awal kemunculannya sebagai pelakon, dia rimas dan kurang selesa apabila sering dibandingkan dengan Erma. Lebih membuatkannya ‘geram’, apabila dia didawka menumpang populariti Erma yang ketika itu sangat masyhur.

Lalu, Umie tekad dan terus mara dengan mencari peluang untuk menonjolkan bakatnya terutama dalam drama televisyen yang akhirnya menyaksikan kemampuan sebenar dirinya sebagai anak wayang.

Drama-drama seperti Selamat Hari Jadi Su, Hartini dan Surah Terakhir merupakan antara lakonan Umie yang cukup hebat dan membuka mata ramai penerbit dan pengarah.

“Sejak itu, orang tidak lagi membandingkan saya dengan Erma. Saya mula berdiri atas nama saya sendiri dan dipercayai oleh penerbit untuk menerajui drama.

“Syukur Alhamdulillah juga apabila sepanjang 15 tahun dalam industri, saya kerap diberikan watak dan naskhah yang bagus sehinggakan saya tidak mampu untuk menolaknya.

“Tetapi, sekarang, dengan status saya sebagai seorang isteri, saya perlu menjadi lebih selektif jika mahu berlakon dalam mana-mana drama. Terus-terang saya katakan di sini, tawaran berlakon drama bersiri akan saya tolak mentah-mentah walaupun watak dan skripnya bagus.

“Dalam usia begini, tenaga saya sudah tidak sama lagi ketika zaman remaja yang boleh saya lakukan semuanya. Saya hanya akan menimbangkan untuk telemovie sahaja kerana masa penggambaran tidak lama. Kini, fokus kehidupan saya sudah berubah,” ujarnya yang pernah membintangi drama bersiri Romeo & Juliet serta Salam Taj Mahal.

Merumus perjalanan karier seninya, wanita berusia 37 tahun ini menyifatkannya, sebagai satu perjalanan yang cukup indah dan penuh warna-warni.

Katanya, dalam menyelusuri laluan seni itu, banyak pengalaman diperolehnya yang telah membuka mata dan mindanya mengenai erti kehidupan serta menjadikannya seorang yang cukup matang.

“Saya banyak belajar daripada watak-watak yang saya lakonkan sepanjang bergelar pelakon. Daripada situ, saya sedar kita tidak akan bertemu dengan pelbagai karakter manusia jika kita tidak kenal dan menyelami hati mereka.

“Mungkin ini dikatakan rahmat buat saya yang tidak sukakan dunia lakonan ini pada mulanya,” kata isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan ini dengan maksud yang mendalam.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: