Astro Tidak Pilih Kasih

26 Nov

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN dan ihsan ASTRO


AHMAD NABIL AHMAD

MEMANG tiada siapa yang mampu menidakkan kehebatan dan kejayaan yang dikecapi oleh Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil sebaik dia dinobatkan sebagai juara Raja Lawak (RL) musim kedua.

Bermula detik itu, dia menjadi rebutan pelbagai pihak yang mahu menggunakan khidmatnya dalam apa jua cabang seni seperti lakonan, pengacaraan, nyanyian serta dipilih menjadi duta.

Sehinggakan, populariti Nabil itu sendiri telah menenggelamkan juara RJ pertama, Yusry Edoo atau Yus yang kini bayangnya jarang dilihat.

Bukan itu sahaja, kuasa Nabil juga tidak mampu ditandingi oleh dua juara RL selepas itu yakni kumpulan Sepah dan kumpulan Kecik.

Apakah ‘kegagalan’ tiga juara itu kerana mereka tidak diberi peluang seperti mana yang diperoleh oleh Nabil?

Atau mungkinkah tiga juara itu sendiri tidak mempunyai aura seperti Nabil dalam menyakinkan pihak-pihak tertentu untuk terus memberikan mereka ruang meluaskan lagi bakat mereka?

Bagi menjawab soalan itu, Hits bertemu dengan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani dan ketika tanya persoalan itu, Nizam mempunyai jawapannya sendiri.

Kata Nizam, sebagai penyiar, pihaknya sudah pun menyediakan platform terbaik untuk setiap peserta yang menyertai RL.

Tetapi, ia terpulang kepada mereka untuk mencari peluang selepas RL berakhir untuk menonjolkan bakat mereka kepada khalayak.

“Memang populariti Nabil cukup hebat dan kerana itu, kita dapat melihat kelibatnya dalam mana-mana medium yang berjaya mempopularkan lagi namanya.

“Bagi juara mahupun peserta yang lain, memang tidak pernah timbul kami cuba untuk menjadi pilih kasih atau meminggirkan mereka.

“Sebaliknya, kami sendiri bertindak sebagai penasihat dan memberi panduan serta tunjuk ajar kepada mereka dalam memilih cabang terbaik untuk meneruskan karier seni mereka,” ujarnya lagi.

Nizam berkata demikian ketika ditemui pada sesi uji bakat terakhir RL musim kelima yang berlangsung di The Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, pihaknya percaya dengan setiap bakat yang ada dalam semua peserta yang pernah menyertai RL dan tidak pernah timbul isu ketidakadilan terhadap mereka.

Dalam konteks ini, Nizam memberikan contoh terbaik terhadap Zizan dan Johan yang begitu serius membina nama mereka sebagai seorang anak seni.

Biarpun tidak bergelar juara, dua finalis RL musim pertama itu bijak mencari peluang serta rajin bertanya kepada Astro bagaimana cara untuk menonjolkan lagi bakat mereka.

“Zizan bermula dari bawah dan perlahan-lahan, dia membina namanya sehingga menjadi seperti hari ini. Begitu juga dengan Johan yang bukan sekadar menjadi pengacara tetapi kini juga bergelar seorang pelakon.

“Dalam kes Yus pula, mungkin dia tidak sepopular Nabil, Johan mahupun Zizan, tetapi rezekinya banyak kepada bidang lakonan dan wajahnya dapat ditonton menerusi drama-drama terbitan Astro.

“Sama juga seperti kumpulan Charm yang dianggotai oleh Azrul dan Along, masing-masing meneruskan karier dalam bidang yang mereka minat.

“Sebetulnya, kebanyakan alumni RL masih mendapat tempat dan tawaran dalam bidang seni ini,” katanya yang cukup bangga dengan pencapaian alumni RL dalam bidang masing-masing.

Nizam turut memberitahu, kumpulan Sepah juga sibuk dengan penggambaran telemovie serta musim terbaru, Bujang Sepah.

Sementara kumpulan Kecik pula akan muncul dengan sebuah program baru di saluran Astro Warna sementara salah seorang finalis RL musim keempat, Idlan pula sibuk membintangi sitkom.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: