Natrah Terus Hidup Di IB

26 Nov

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Semasa pelakon dan pengarah teater Natrah sedang sibuk menjalani latihan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, penulis buku Natrah, Datin Seri Fatini Yaacob membuat kacau dengan membangkitkan isu sensitif apabila mengkritik hasil kerja pengarahnya, Erma Fatima.

Bermula semalam pementasan teater tersebut bermula dan Natrah kembali hidup dalam perspektif Erma yang digarap melalui watak-watak utama dalam teater yang sudah masuk musim kedua itu.

Saya sempat meluangkan masa menonton pada persembahan malam pertama. Semasa melangkah ke lobi depan pintu masuk Panggung Sari, tempat pementasan dijalankan mata terlihat sekumpulan anak muda menjual buku Natrah tulisan Fatini.

Memang terkejut apabila melihat ada pihak yang mengambil kesempatan menjual buku Fatini walaupun sebelum itu bagai petir Fatini memanah Erma kerana kecewa dengan hasil teater yang dirasakan tidak sama dengan pemahamannya terhadap kisah Natrah itu sendiri.

Rupa-rupanya persetujuan penjualan buku itu telah dipersetujui awal oleh pihak Istana Budaya dengan penerbitnya. Persetujuan untuk membenarkan penerbit membuka kaunter jualan buku dipersetujui sebelum isu perdebatan Fatini-Erma muncul.

Tak perasan pulak sama ada penonton teater itu tergerak hati memiliki naskhah buku Natrah selepas menontonnya.

Apa kelainan musim kedua?

Bagi yang pernah menonton pementasan berjaya musim pertama, pasti menanti apakah kelainan atau pembaharuan yang Erma lakukan. Cerita masih sama tapi ada watak lain yang dibawa ke pentas dengan penonjolan yang lebih.

Kali ini nampaknya Erma membanyakkan monolog membabitkan watak Natrah lakonan Sofia Jane dan Maya Karin serta penampilan istimewa Sharifah Sofia (Natrah usia 40-an) dan Lufya (Natrah berusia 20-an). Adeline Hertogh (Susan Langkester) dan Che Aminah (Datin Paduka Umie Aida) serta watak peminpin Melayu lakonan Fizz Fairuz juga ada bab monolog.

Terlalu banyak monolog kadang-kadang boleh menerbitkan sedikit rasa bosan. Saya sendiri hampir kebosanan, tapi dek kerana ceritanya yang meruntun hati, tahap klebosanan tidaklah terlalu tinggi. Namun keceriaan menonton kembali segar apabila ia diselangi muzikal. Lagu-lagu dalam teater Natrah memang menarik. Paling menarik apabila aksi cinta Hindustan yang Erma tampilkan.

Ternyata adegan cinta menggambarkan kemeriahan pernikahan Natrah dan Mansor Adabi (Remy Ishak) turut menarik perhatian penonton pada malam itu. Mereka terhibur melihat Remy dan Maya menari ala-ala Bollywood. Itulah satu-satunya bab yang membuatkan penonton serentak menepuk tangan. Tandanya mereka terhibur.

Agaknya mereka tak sangka Remy Ishak yang melakonkan watak lelaki bersopan santun dalam filem itu boleh menari ala-ala Hindustan. Tak salah kalau mahu dikatakan babak itu antara tarikan utama kali ini. Sebabnya banyak sangat adegan yang membuatkan jiwa penonton sedih kerana kisah hidup Natrah atau Maria Hertogh itu sendiri sebuah kisah tragis dan air mata.

Apakah pegangan Natrah-Maria?

Erma mahu penonton sendiri membuat keputusan apakah agama pegangan Natrah saat dia meninggal dunia. Natrah yang bukan seorang yang waras akibat tekanan jiwa dengan kehidupannya mungkin masih seorang Muslim. Itulah yang cuba diserapkan menerusi watak Natrah diusia 70-an lakonan Datin Sofia Jane.

Mungkin juga dia kembali ke agama asal keluarganya, Roman Katholik  setelah dibawa ke Belanda. Tapi di akhir cerita Natrah melalui satu loong di tengah-tengah gereja dan masjid semasa melangkah masuk. Dia meninggalkan persoalan itu untuk dijawab oleh penonton.

Adakah dia masih berjiwa Natrah yang sayangkan Islam ataupun kembali sebagai Maria? Hanya Natrah dan Allah sahaja yang tahu apa yang ada di dalam jiwanya dan kepada siapa dia beriman.

Tiket masih ada

Sambutan Natrah musim kedua sangat menggalakkan. Namun masih ada tiket untuk peminat yang belum membuat tempahan. Jadi jangan lupa mendapatkan tiket anda dengan datang terus ke Istana Budaya bila anda ada masa lapang. Rugi tidak menonton sebuah kisah yang merangkumkan eleman cinta, perjuangan dan air mata.

Kita tak sempat melihat bagaimana penderitaan yang dilalui olah Natrah serta bagaimana pejuang dulu sepakat menegakkan pegangan agama seorang anak wanita Belanda yang mahu dikembalikan kepada ibu bapa kandung dengan didikan mengikut anutan mereka. Kisah Natrah yang pernah menimbulkan kekacauan dan pertumpahan darah di Singapura kembali hidup di Istana Budaya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mangga Online

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: