Percubaan Kedua Jadi Penyanyi

26 Nov

PEMBABITAN Hamli Hamdan, 28, atau Idham sebagai penyanyi bermula lima tahun lalu menerusi album 7 Seru yang memuatkan tujuh lagu.

Namun entah di mana silapnya, dia gagal menyerlah di mata peminat. Kekangan dengan pekerjaan tetap mungkin menjadi punca pemuda berasal dari Bangi, Selangor ini gagal meraih tempat dalam dunia seni tempatan. Berbekalkan semangat yang kental, Idham tidak pernah kecewa menempatkan namanya sebagai penyanyi. Menerusi pemerhatian yang mendalam terhadap perkembangan semasa muzik tanah air, dia kembali dengan single Permaisuri ciptaan sendiri bersama Bakri serta disusuli single kedua, Cinta Berdaftar juga ciptaan mereka berdua dan lirik oleh Abot. Selepas itu, menyusul pula Tuju Laut dari album berkenaan. Kali ini, Idham yakin album keduanya yang memuatkan lima lagu akan diterima peminat. Apatah lagi dia terbabit sepenuhnya dalam pemilihan lagu dan konsep album.

“Album pertama saya dulu berkonsep pop dan diterbitkan komposer Arizal Thani. Ketika itu saya memang ikut cakap komposer semata-mata kerana masih baru dalam seni. “Mungkin kerana itulah juga album ini gagal diterima pendengar kerana lagunya tak sesuai dengan vokal saya.

“Bagaimanapun, apabila syarikat rakaman Intersounds mahu menerbitkan album kedua saya, kami mengadakan perbincangan dan mengenal pasti kelemahan sebelum ini. “Akhirnya, saya tekad tampil dengan konsep R&B dan jazz kerana yakin sesuai dengan cita rasa saya,” katanya.

Idham sedar penerimaan peminat terhadap lagu R&B dan jazz masih kurang berbanding pop, tetapi berani mengambil risiko kerana peminat irama berkenaan tetap ada. Tambah pula, muzik yang ditampilkan tidak lari dari elemen pop kerana diberi suntikan irama yang sangat mesra dengan peminat tempatan.

“Memang penggemar R&B dan jazz begitu terhad, tapi jika kena dengan lagu, peminat tetap akan mendengarnya. Kebanyakan lagu adalah ciptaan saya sendiri, jadi semestinya saya tahu apa yang terbaik untuk disajikan kepada pendengar. “Saya sudah menguji pasaran menerusi mini showcase anjuran Intersounds di Matic, Kuala Lumpur pada Julai lalu.

“Peminat yang datang kebanyakannya diundang dari laman sosial facebook (fb) saya. Alhamdulillah, ramai yang datang. Mereka beri respons positif mengenai lagu saya. “Apapun saya gembira kerana ramai yang menyokong terutama pelajar di institut pengajian tinggi.

“Selain menyanyi, sekarang saya melebarkan langkah dalam bidang seni apabila terbabit sebagai tenaga belakang tabir di studio untuk pembikinan album artis lain. “Saya banyak buat lagu untuk artis lain dan berhasrat hasilkan lagu untuk artis popular pula. Saya ada pengalaman bekerja dalam studio kerana sejak zaman belajar lagi sudah ada band sendiri,” katanya.

Album Cinta Berdaftar tidak di jual di kedai CD, sebaliknya dijual sendiri menerusi sesi promosi yang diatur di lokasi tertentu. Dengan cara ini dirasakan lebih berkesan kerana dapat kenal mesra dengan peminat. “Album pertama saya juga dijual dengan cara ini. Untuk artis bawah naungan syarikat kecil yang jarang keluar di media massa, cara begini dirasakan terbaik. “Malah, cara begini menuntut saya perlu ada skil komunikasi yang baik apabila bertemu peminat.

“Saya mengakui mula-mula dulu kecewa apabila album pertama tak diterima peminat. Tapi saya sedar masa itu saya tak kaji sepenuhnya kehendak mereka dan tak buat betul-betul.

“Sekarang saya puas hati kerana dapat apa yang dikehendaki. Saya berharap album yang akan menemui peminat pada Disember ini akan bawa kejayaan.

“Syukur buat masa ini saya banyak juga buat promosi dengan stesen TV dan diajak terbabit dengan Jom Heboh. “Peluang ini saya gunakan sebaik mungkin bagi memperkenalkan album Cinta Berdaftar kepada peminat. Saya juga boleh cari makan dalam bidang ini menerusi undangan menyanyi yang diterima secara kecil-kecilan,” katanya yang bekerja tetap di sebuah agensi kerajaan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: