Alif Tembusi Pasaran Filipina

27 Nov

PENYANYI Alif Satar sentiasa memegang prinsip tidak lekas berpuas hati untuk
berjaya.

Justeru, penyanyi lagu Jangan Nakal itu mengambil inisiatif berpadu suara sebagai usaha memperkenalkan nama di luar negara.

Menerusi kolaborasi bersama penyanyi remaja Filipina, Julia Abueva, mereka merakam lagu Inggeris bertajuk Timeless yang akan dipasarkan secara digital.

Lagu duet itu yang pernah dipopularkan Kelly Clarkson dan Justin Guarini itu akan diputarkan di stesen radio Malaysia dan Filipina tidak lama lagi.

Kata Alif, 21, lagu Timeless menjadi pilihan bersama syarikat rakaman kerana adanya pengaruh Latin serta R&B yang memikat.

“Selepas berbincang dengan syarikat rakaman, kami bersetuju memilih lagu itu. Saya dan Julia hanya meluangkan masa selama sehari untuk merakamkannya di studio.

“Julia berkata, lagu itu memang seronok dinyanyikan.

Apa yang kami buat adalah mendapatkan rentak melalui dram.

“Saya sempat mengajar Julia sedikit rentak melalui dram. Dia mencuba dan akhirnya proses rakaman berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” kata Alif selepas proses rakaman lagu itu di Studio 101, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Walaupun sebuah lagu, Alif berkata, perancangan Timeless mengambil masa tiga bulan. Rancangan asal dibuat di Filipina, tetapi terpaksa dilakukan di Malaysia kerana masalah teknikal dan komitmen yang dihadapi pelbagai pihak.

Alif berkata, langkah berduet dengan artis luar adalah salah satu matlamat menembusi pasaran Filipina dan pada masa sama, Julia dapat juga dikenali dalam industri muzik Malaysia.

“Jadi, lagu berkenaan bukan saja memberi peluang kepada kami menggabungkan keserasian vokal, tetapi diberi nafas susunan baru oleh penerbit tempatan, Nai Kong. Jika tiada aral melintang, lagu Timeless akan ke udara melalui radio tempatan. Lagu akan dimuatkan dalam album kedua saya dan album sulung Julia,” kata Alif, menempa nama melalui program realiti TV, One In A Million (OIAM).

Menjawab soalan mengenai pencapaiannya dalam industri hiburan tempatan, Alif menyifatkan peminat remaja memberi reaksi positif terhadap album sulungnya, Nakal.

“Saya harap peminat muda sedia ada akan terus kekal bersama saya. Saya mahu membesar bersama mereka dan sokongan mereka memberi inspirasi meneruskan karier. Karier saya sekarang bukan sekadar nyanyian sebaliknya turut tampil sebagai pengacara televisyen,” katanya.

Julia atau Julia Roman Abueva, 15, anak jati Manila, masih menuntut dalam gred empat di Singapore American School (SAS), Woodlands, Singapura.

Dia antara bintang remaja baru sedang meningkat naik di Filipina. Julia dikenali menerusi dua lagu nyanyiannya, Awake dan Endlessly, dalam bahasa Inggeris dan Tagalog.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan Alif. Sebaik sampai di studio rakaman, dia sempat mengajar saya bermain dram dan memberi sedikit tunjuk ajar bagaimana lenggok nyanyian Timeless.

“Saya memberi sepenuh hati sepanjang proses rakaman, malah sanggup mengambil cuti khas mendapatkan pelepasan daripada pengurusan sekolah.

“Saya harap kolaborasi bersama Alif satu permulaan baik memperkenalkan nama kepada peminat di Malaysia.

Buat masa ini, saya belum dapat merancang sama ada mahu terus berduet dengan Alif atau artis Malaysia lain pula.

“Saya berpuas hati lagu ini akan berada di Malaysia, Filipina dan Singapura,” katanya.

Julia mula menyanyi pada usia tujuh tahun, pernah mengadakan persembahan di hadapan pemimpin dunia turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ketika Persidangan Kemuncak Apec tahun lalu.

Anak bongsu tiga beradik itu pernah menghiburkan peminat pada Sukan Sea Filipina 2005 dan temasya sama di Laos pada 2009.

Sebelum ini, penyanyi jazz, Noryn Aziz turut merakam lagu Anugerah Cinta dalam bahasa Malaysia bersama artis kacak Filipina, Christian Bautista.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: