Crossing Guna Empat Bahasa

27 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZULHAFIZ HANAFIAH


PELAKON utama Crossing (dari kiri) Hansen Lee, Dira Abu Bakar dan Zakizamani Osman.

SALURAN televisyen ntv7 yang terletak di bawah seliaan Media Prima Berhad dikenali ramai dengan menyajikan rancangan-rancangan yang terdiri daripada pelbagai bahasa termasuklah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Justeru, bagi menarik perhatian para penonton, ada di antara rancangan yang disiarkan seperti drama bersiri Crossing turut menyelitkan penggunaan empat bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia berbilang bangsa.

Hansen Lee, 29, salah seorang pelakon Crossing berasa teruja apabila berlakon dalam drama 13 episod itu kerana ia merupakan drama bersiri paling panjang pernah dilakonkannya sejak bergelar pelakon pada tahun lalu.

‘Drama bersiri ini memang unik kerana ia menampilkan penggunaan pelbagai bahasa dalam sesuatu episod. Saya sendiri menggunakan bahasa Inggeris, Melayu dan Cina sewaktu melakonkan watak Danny dalam drama bersiri ini.

‘Ini adalah drama kelima lakonan saya dan yang paling mencabar sekali setakat ini. Ia menambahkan lagi penguasaan bahasa saya terutamanya dalam bahasa Melayu,’ katanya pada sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut Hansen, pengalamannya berlakon dalam Crossing menambahkan lagi keyakinannya untuk terus menceburi bidang itu selepas mencipta nama sebagai model peragaan, penyampai radio Fly FM dan pengacara di ntv7.

Katanya, bidang lakonan paling memberi cabaran buatnya kerana dia terpaksa memberi komitmen dan masa yang lebih banyak terutama sewaktu penggambaran Crossing sebanyak 13 episod yang mengambil masa agak panjang.

‘Karier saya dalam bidang lakonan bermula pada tahun lalu di Singapura apabila saya berlakon dalam drama Polo Boys yang ditayangkan di saluran 5 Mediacorp. Selepas itu, saya berlakon dalam drama bersiri Deja Vu.

‘Cuma apabila berlakon dalam drama untuk siaran saluran TV di sini saya lebih banyak menggunakan bahasa Melayu berbanding untuk siaran luar negara. Kalau di Singapura kebanyakan drama lakonan saya dalam bahasa Inggeris,’ ujarnya.

Crossing yang diarahkan oleh Prakash Murugiah mengisahkan Bob Boroi lakonan Zakizamani Osman, 35, yang mendapat kelebihan melihat roh orang yang telah mati selepas dia terbabit dalam kemalangan jalanraya.

Zakizamani yang melakonkan watak utama dalam drama yang mula disiarkan 1 Oktober lalu setiap Jumaat pukul 8.30 malam di ntv7 itu turut menganggap Crossing unik dan memberi erti dalam kariernya sebagai pelakon.

‘Melalui drama bersiri inilah saya pertama kali melakonkan watak utama sebagai Bob Boroi. Jalan ceritanya yang unik dan berada dalam genre komedi gelap yang banyak disiarkan di stesen-stesen TV di Amerika Syarikat.

‘Bagi yang pernah menonton drama bersiri berjudul Reaper mungkin mereka boleh menggambarkan genre yang diketengahkan dalam Crossing. Melalui watak itu, dialog saya kebanyakkannya dalam bahasa Melayu.

‘Sama seperti Hansen, sebelum berlakon saya juga menceburi bidang lain seperti menulis skrip untuk telefilem di mana ternyata bidang lakon memberi lebih kepuasan kepada saya,’ katanya berkongsi pengalaman berlakon drama itu.

Sebelum membintangi Crossing, Zakizamani pernah berlakon drama Adam Cinta Siapa arahan Mamat Khalid pada tahun 2008 dan ditayangkan di sebuah stesen TV Singapura dan Keabadian Cinta arahan Kabir Bhatia tahun berikutnya.

Seorang lagi pelakon utama Crossing, Dira Abu Bakar, 26, yang melakonkan watak Katie turut teruja apabila ditawarkan berlakon dalam drama bersiri itu kerana ia pertama kali menuturkan dialog dalam bahasa Inggeris.

‘Sebelum ini saya hanya berlakon dalam drama berbahasa Melayu sahaja. Bagaimanapun, Crossing tidak terlalu terikat dengan bahasa kerana adakalanya saya bertutur juga dalam bahasa Melayu.

‘Bagi saya, Crossing sebuah drama urban kerana ia merangkumi para pelakon dan penonton saluran ntv7 yang bukan sahaja berbilang bangsa tetapi juga lebih fokus untuk golongan yang tinggal di kawasan bandar,’ jelasnya.

Sepanjang terbabit dalam penggambaran Crossing selama dua bulan setengah dia berkata, telah melalui pelbagai pengalaman sebagai pelakon.

Katanya, selain masa penggambaran yang panjang ditambah komitmen dan masa yang tidak menentu menyebabkan dia semakin tabah dan bersemangat mengharungi perjalanan hidupnya sebagai pelakon sepenuh masa.

‘Saya menjadikan kerjaya berlakon secara sepenuh masa. Kalau ada penggambaran anak saya akan dijaga oleh pengasuh di rumah. Dengan peluang yang ada itulah saya akan mencari lebih banyak peluang berlakon.

‘Contohnya pada 10 Oktober lalu saya ditawarkan berlakon dalam pementasan teater Banduan Akhir Di Sel Akhir di Solaris, Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Saya harap selepas ini kerjaya saya dalam lakonan akan terus berkembang,’ katanya.

Selain tiga pelakon muda terbabit, Crossing juga menampilkan ramai pelakon undangan seperti Indie Nadarajah, Ako Mustapha, Yvonne Sim, Chew Kin Wah, James Lim, Alan Yun, Julia Ziegler dan Mustapha Kamal.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: